Pages

Tuesday, April 19, 2011

Tentera terus bedil pemberontak



MENGAWAL KEDUDUKAN: Anggota pemberontak mengawal kedudukan mereka di tengah-tengah ribut pasir di pintu masuk timur Ajdabiyah kelmarin. -- Foto REUTERS




Ketua PBB gesa lagi diadakan gencatan senjata segera dan huraian politik
BEIRUT: Askar-askar yang taat kepada pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi, membedil bandar Misrata semalam, sehari selepas 17 orang terbunuh dalam pembedilan serupa, kata seorang jurucakap kumpulan pemberontak.
Bandar ketiga terbesar di Libya itu - kubu utama terakhir kumpulan pemberontak di barat negara tersebut - diserang askar-askar pro-Gaddafi sejak sekitar tujuh minggu lalu.Ratusan orang dipercayai terbunuh dan ribuan pekerja asing terkandas di sana dalam keadaan yang sukar. Mereka cuba keluar dari situ melalui kapal-kapal bantuan yang dihantar oleh badan bantuan kemanusiaan.'Askar-askar Gaddafi membedil Misrata sekarang. Mereka melancarkan roket dan artileri di bahagian timur - Nakl el Theqeel (jalan raya) dan kawasan perumahan sekitarnya,' kata Abdubasset Abu Mzeireq dari bandar tepi itu.Menurutnya, kira-kira 100 orang, kebanyakannya orang awam, cedera dalam pertempuran kelmarin. Namun agak mustahil mengesahkan maklumat itu secara bebas.Sebuah kumpulan hak asasi berpangkalan di Amerika Syarikat berkata tentera pemerintah telah melancarkan serangan roket dan mortar bertubi-tubi ke atas kawasan perumahan di Misrata, termasuk satu yang membunuh lapan orang awam yang sedang beratur untuk mendapatkan roti Khamis lalu.Sekurang-kurangnya 16 orang awam terbunuh dalam serangan sejak 14 April lalu, berdasarkan maklumat saksi dan pemeriksaan ke tempat-tempat yang diserang, kata kumpulan Human Rights Watch (HRW) dalam satu kenyataan dari Misrata.'Satu lagi serangan, yang dilakukan dengan mortar, kena sebuah klinik perubatan dan mencederakan empat orang,' katanya.HRW memetik kenyataan para saksi sebagai berkata para pemberontak tidak kelihatan di kawasan-kawasan tersebut apabila serangan dilakukan.Sementara itu, di Budapest, Hungary, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ban Ki-moon, menggesa semalam agar diadakan gencatan senjata segera dan huraian politik bagi konflik di Libya itu.Beliau juga berkata PBB akan memulakan misi kemanusiaan di Tripoli.'Kami mempunyai tiga matlamat: pertama, satu gencatan senjata segera dan berkesan; kedua, menyediakan bantuan kemanusiaan kepada yang memerlukan; ketiga, kita harus terus mengadakan dialog politik dan penyelesaian politik bagi isu ini,' kata Encik Ban kepada wartawan semasa lawatan tiga harinya ke Hungary.'Memandangkan besarnya krisis ini jika pertempuran berterusan, pihak berkuasa Libya amat perlu menghentikan pertempuran dan pembunuhan rakyatnya,' kata beliau lagi.Dengan usaha mencari penyelesaian politik diteruskan, Encik Ban menggesa agar diadakan satu tindakan antarabangsa yang 'bersepadu dan terselras bersama rakyat Libya'.'Apabila gencatan senjata itu sudah dicapai, Libya akan memerlukan usaha menyeluruh bagi mencapai keamanan dan pembinaan semula,' ujar beliau sambil menambah bahawa ada puluhan ribu orang memerlukan bantuan kemanusiaan.'Kita mempunyai masalah serius,' ujarnya, 'khususnya di bandar-bandar terbabit dalam pertempuran itu'.Encik Ban berkata PBB - yang sudah pun mempunyai pangkalan bantuan kemanusiaan di Benghazi bagi menangani hampir setengah juta penduduk yang lari dari rumah mereka - akan mengadakan juga satu misi di Tripoli dengan Persatuan Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit. -- Reuters, AFP., cyberita

No comments: