Pages

Friday, April 1, 2011

15,000 pelancong terkandas


Foto
PELANCONG tiba di markas tentera Sattahip selepas dibawa kapal tentera laut dari pulau Koh Tao yang dilanda banjir.


Foto
PEKERJA bantuan membawa mayat mangsa lumpur runtuh di daerah Khao Phanom selepas banjir melanda selatan Thai.




Korban banjir selatan Thai meningkat, askar turun padang

BANGKOK: Sekurang-kurangnya 15,000 pelancong asing terperangkap di beberapa pulau percutian Thailand selepas ribut dan banjir luar musim melanda selatan negara itu menyebabkan 21 maut dan banyak perkampungan musnah.
Mangsa dihanyutkan air deras atau tertimbus akibat lumpur runtuh selepas hujan lebat menjadi punca bah yang menenggelamkan kediaman serta tempat perniagaan membabitkan sejuta orang sedangkan cuaca sepatutnya panas, lapor Sydney Morning Herald, semalam.

Daripada jumlah itu, 13,000 pelancong terkandas di Koh Samui dan jurucakap persatuan pelancongan memberi amaran bahawa makanan dan bahan api mungkin kehabisan jika cuaca buruk itu berterusan.

“Kami nasihatkan pelancong tidak keluar hotel dan tidak cuba pergi ke lapangan terbang hingga keadaan pulih,” katanya kepada agensi berita.

Datuk Bandar Koh Samui, Ramnate Chaikwang, memberitahu akhbar Bangkok Post bahawa ramai yang sudah mencari perlindungan di tempat lebih tinggi manakala hotel, restoran dan kedai ditutup.

Penerbangan Bangkok Airways setakat kelmarin sudah membawa keluar 2,000 orang dari pulau itu.
Terbaru, tentera Thailand dikerah membantu kerja mencari dan menyelamat mangsa banjir dan tanah runtuh di selatan dengan angkatan lautnya membawa keluar beratus-ratus pelancong yang terperangkap di beberapa pulau percutian di negara itu.

Jurucakap tentera Kolonel Sunsern Kaewkumnerd berkata kira-kira 150 askar dengan anjing pengesan bertungkus-lumus mencari mangsa yang terbunuh atau hilang di Krabi selepas tanah runtuh di wilayah Krabi. Sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan hilang selepas kejadian itu.

Kapal laut yang berlabuh di pangkalan laut Sattahip membawa 734 pelancong, 532 daripada mereka warga asing yang diselamatkan dari pulau Koh Tao dan Koh Phangan.

Hujan lebat berterusan selama seminggu di wilayah selatan Thailand menyebabkan jalan darat dan kereta api terputus hubungan selepas ditenggelami air, manakala beratus-ratus pelancong terkandas di beberapa buah pulau di Teluk Thailand dan Laut Andaman selepas pengangkutan menggunakan feri dibatalkan.

Usaha untuk menyelamatkan pelancong mula berhasil selepas penerbangan ke Koh Samui kembali pulih, manakala pesawat pengangkut tunggal negara itu juga menyertai kerja menyelamat. – AFP
Berita Harian Online | 15,000 pelancong terkandas

No comments: