Pages

Tuesday, March 15, 2011

Turki minta Gaddafi lantik presiden




BEBERAPA penentang Muammar Gaddafi menunjukkan cara-cara menggunakan sebuah pelancar roket kepada penduduk di bandar Benghazi semalam.


ANKARA - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan meminta pemimpin Libya, Muammar Gaddafi melantik seorang presiden baru yang mendapat sokongan penduduk dalam usaha menamatkan pergolakan di negara itu, lapor stesen televisyan, Al Arabiya semalam.
Menurut Erdogan, beliau menjangkakan Gaddafi akan mengambil langkah positif dalam menyelesaikan pergolakan di Libya yang bermula sejak 15 Februari lalu dengan angka kematian dianggarkan lebih 1,000 orang.
Pergolakan itu bermula apabila para penunjuk perasaan menuntut Gaddafi meletakkan jawatan selepas beliau berkuasa hampir 42 tahun.
"Kami mahukan pertempuran antara kedua-dua belah pihak di kawasan timur dan barat negara itu dapat dihentikan," kata Erdogan.
Gaddafi merupakan pemimpin Libya bagi tempoh empat dekad tetapi beliau tidak memakai gelaran presiden.
Dalam perkembangan pergolakan di Libya, laman web kumpulan pemberontak Libya, Libya al-Youm dan Brnieq melaporkan, tentera Gaddafi melancarkan serangan udara semalam dengan membedil beberapa kawasan yang berdekatan dengan penempatan di bandar Ajdabiya.
Jika tentera Gaddafi berjaya menawan Ajdabiya dan bandar-bandar berdekatan, mereka boleh merampas kembali kedudukan terkuat penunjuk perasaan di bandar Benghazi.
Sementara itu, pihak berkuasa Libya berjanji untuk memberi pengampunan kepada penunjuk perasaan jika mereka mengaku kalah dan meletakkan senjata, lapor stesen Libyan TV.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Rusia, Dmitry Medvedev mengharamkan Gaddafi dan keluarga daripada membuat sebarang transaksi kewangan ke negara itu menurut dekri yang ditandatangani pada 10 Mac lalu.
Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton kini berada di Paris bagi menghadiri seminar mengenai krisis yang sedang berlaku di Libya yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin dari Eropah. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

No comments: