Pages

Sunday, March 6, 2011

Tentera Gaddafi mengganas di Zawiya




SEORANG anggota penentang Gaddafi membidik meriam antipesawat di Zawiya kelmarin.


ZAWIYA - Pertempuran sengit tercetus antara tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dan kumpulan penentang di bandar ini semalam, lapor sebuah akhbar.
Kumpulan penentang mendakwa, mereka berjaya menawan semula Dataran Jihad di pusat bandar ini selepas mematahkan serangan briged elit Gaddafi yang memasuki bandar ini dengan dibantu beberapa kereta kebal dan artileri pada pagi semalam.
"Beratus-ratus askar Gaddafi yang dibantu beberapa kereta kebal memasuki bandar ini sekitar 6 pagi. Penduduk bandar ini bangkit menentang mereka dan telah mencapai kemenangan setakat ini," kata jurucakap kumpulan penentang, Youssef Shagan.
Serangan ke atas Zawiya yang terletak sekitar 48 kilometer dari ibu negara Libya, Tripoli menyaksikan kumpulan penentang yang sebahagian besarnya cuma bersenjatakan senapang patah dan pedang, bertempur dengan briged elit Gaddafi yang dibantu beberapa kereta kebal, meriam dan mesingan berat.
"Pasukan keselamatan Gaddafi membunuh dengan sewenang-wenangnya termasuk orang awam. Situasi di bandar ini lebih dahsyat daripada Iraq," kata seorang saksi.
"Imam-imam di sini telah mengisytiharkan jihad ke atas tentera Gaddafi," tambahnya.
Saksi berkenaan memaklumkan situasi tersebut dalam satu wawancara telefon.
Dalam perkembangan berkaitan, stesen televisyen Al-Jazeera melaporkan, beberapa pegawai perubatan sebagai berkata, angka kematian orang awam di sini setakat semalam telah melebihi 40 orang.
Antara yang terbunuh termasuk komander kumpulan penentang di Zawiya, Hussein Darbouk.
Sementara itu, lebih 17 orang terbunuh selepas depot simpanan peluru yang ditawan kumpulan penentang di bandar Benghazi, selatan Libya meletup semalam dipercayai akibat perbuatan sabotaj ejen Gaddafi.
Kebangkitan rakyat menentang pemerintah Libya, Muammar Gaddafi tercetus sejak beberapa minggu lalu.
Protes tersebut didorong oleh kebangkitan rakyat Tunisia dan Mesir yang memaksa Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali dan rakan sejawatnya dari Mesir, Hosni Mubarak meletak jawatan.
Di Libya, orang ramai berang kerana Gaddafi, 68, gagal membasmi kemiskinan dan gejala rasuah selepas mentadbir negara itu selama 41 tahun. - AgensiKosmo! Online - Dunia

No comments: