Pages

Sunday, March 6, 2011

Tak sedar kepala dihempap bata





2011/03/06

Warga kita nyaris maut gempa Christchurch

“SAYA tidak sedar kepala dihempap bata, cuma ingat muka tiba-tiba panas dipenuhi darah, manakala keadaan sekitar pula kelam kabut,” kata Julie Yeo, 48, rakyat Malaysia yang tercedera ketika gempa di bandar ini, 22 Februari lalu.

Julie bertuah hanya cedera pada sebelah kanan kepala, dagu, muka serta jari kelingking selepas dihempap serpihan batu-bata yang menghujani laluan Colombo Street, sedangkan enam lagi individu berhampirannya dilaporkan maut.
Mengimbau kisah berkenaan, akauntan kelahiran Ketereh, Kelantan itu berkata, beliau baru saja melepasi kedai barangan kulit di Colombo Street, jam 12.30 tengah hari untuk berjumpa rakan niaga di kawasan berdekatan.
Katanya, beliau langsung tidak sedar bila dinding batu kedai bersebelahan tiba-tiba runtuh sebelum terus menghempap bas yang berada berdekatan dengannya sehingga menyebabkan enam penumpangnya maut.

“Serpihan batu-bata memenuhi Colombo Street disusuli gempa kuat sebelum darah panas mengalir memenuhi muka.

“Saya bernasib baik dibantu orang ramai di situ sebelum dihantar ke Hospital Christchurch,” katanya di Ilam, di sini.

Julie yang sudah lebih 20 tahun menetap di bandar kedua terbesar New Zealand ini semalam menerima kunjungan Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengetuai misi kemanusiaan dilancarkan kelab itu, bermula Khamis lalu.
Kelab itu turut mengadakan perjumpaan dengan lebih 500 warga Malaysia di Christchurch, terutama pelajar yang melanjutkan pengajian di tiga universiti utama iaitu Canterbury University, Lincoln University dan Otago University.

Abdul Azeez berkata, perjumpaan itu untuk mendapatkan maklum balas serta kedudukan terkini rakyat Malaysia sebelum dimajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Pasukan perubatan diketuai Datuk Dr Mohamed Alwi Abd Rahman turut membuka Klinik 1Malaysia di Pusat Islam Canterbury (CIC) untuk kemudahan warga Malaysia mendapatkan rawatan dan nasihat kesihatan percuma,” katanya.
Berita Harian Online | Tak sedar kepala dihempap bata

No comments: