Pages

Sunday, March 6, 2011

Gaddafi gagal singkir pemberontak




TENTERA pemberontak melepaskan tembakan menggunakan senapang anti-pesawat semasa bertempur dengan tentera pro-Gaddafi dekat Ras Lanuf, kelmarin. - REUTERS


TRIPOLI 5 Mac - Regim Muammar Gaddafi gagal dalam cubaan merampas kembali bandar berdekatan ibu negara ini dengan menyerang balas kumpulan penentangnya dengan melepaskan gas pemedih mata dan tembakan untuk menyuraikan demonstrasi bantahan di ibu negara Libya ini semalam.
Sekurang-kurangnya 83 terbunuh dalam pertempuran berasingan di tiga bandar tetapi pemberontak berjaya mengukuhkan kedudukan dan merampas bandar berkenaan dari kawalan Gaddafi.
Namun, pemberontak menyatakan mereka berjaya mengundurkan tentera yang setia kepada Gaddafi dari bandar pelabuhan minyak Ras Manuf, Ajdabiyah yang terletak di timur Tripoli.
Pasukan keselamatan Gaddafi menyerang bandar Zawiyah yang dikuasai oleh kumpulan pemberontak selepas solat Jumaat dan membunuh ketua pemberontaknya.
Sekurang-kurangnya 30 orang awam dilaporkan terbunuh dalam pertempuran di bandar itu.
Jurucakap pasukan pemberontak, Youssef Shagan berkata, mereka terpaksa berundur ke Dataran Syahid di Zawiyah.
''Mereka menembak orang awam. Kami masih mengawal pusat dataran Zawiyah. Mereka berada kira-kira empat atau lima kilometer daripada kami,'' kata jurucakap pemberontak,
Shagan berkata, komander tentera mereka, Hussein Darbuk telah dibunuh di Harsha, sebuah bandar kecil di luar Zawiyah.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Mohamed berkata, pasukan Gaddafi menggunakan pelancar bom, mesingan dan menempatkan penembak hendap di sebuah hoel baru di bandar itu untuk menembak penunjuk perasaan ketika mereka berarak selepas solat Jumaat.
Di Ajdabiyah, pasukan pemberontak mendakwa mereka berjaya mengusir tentera Gaddafi dari bandar Ras Lanuf semalam.
Sebanyak 26 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran tersebut dan jumlah tersebut dijangka meningkat ketika masih banyak mayat ditemui.
"Kami telah berjaya merampas Ras Lanuf 100 peratus," kata tentera pemberontak, Hafez Ihrahim kepada Reuters di Ras Lanuf, sebuah bandar pelabuhan minyak utama di Laut Mediterranean, yang terletak di jalan pantai sekitar 660 kilometer di timur Tripoli.
Dalam pada itu, sebanyak 27 orang terbunuh dan berpuluh lagi cedera apabila sebuah gudang simpanan senjata tentera Libya berdekatan Benghazi meletup.
''Seramai lapan terbunuh dalam letupan di pangkalan tentera Rajma manakala lebih 20 lagi cedera,'' kata seorang pakar bedah di pusat perubatan Benghazi, Imad Talahma.
Jurucakap pemberontak di Benghazi, Mustafa Gheriani berkata, mereka tidak pasti sama ada ia satu sabotaj, kemalangan atau serangan udara namun tiada sesiapa pun nampak pesawat melalui ruang udara di sini. - AgensiUtusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: