Pages

Saturday, March 19, 2011

Tahap amaran ancaman radioaktif dipertingkat





2011/03/19

Suhu reaktor 1, 2 dan 3 Fukushima Daiichi gagal dikawal

TOKYO: Jepun menaikkan tahap amaran mengenai ancaman radioaktif loji nuklear Fukushima Daiichi daripada skala empat kepada lima, menjadikannya dua peringkat di bawah tragedi Chernobyl di Ukraine pada 1986. 

Skala lima daripada tahap tertinggi iaitu tujuh mengikut ukuran antarabangsa bermakna ‘sebarang kemalangan yang memberi kesan buruk secara lebih meluas.’
Peningkatan tahap amaran itu berpunca daripada kebimbangan atas keadaan reaktor di bangunan 1, 2 dan 3 Fukushima Daiichi selepas kegagalan menyejukkannya.
Kereta bomba tentera meneruskan usaha menyejukkan unit reaktor loji berkenaan dengan tahap air di sekurang-kurangnya satu kolam bahan api reaktor 3 terlalu rendah sekali gus menyebabkan rod bahan api terdedah. 

Jika kolam itu kering, lebih banyak bahan radiasi akan terlepas ke atmosfera, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), semalam. 

Jurutera memecahkan tembok bangunan untuk menyalurkan satu talian elektrik bagi menghubungkannya dengan kolam itu tetapi usaha mereka disekat tahap bahan radioaktif. 

Talian elektrik itu perlu dihubungkan bagi menggerakkan semula pam air bagi mencurah air ke unit reaktor untuk menyejukkannya. 
Helikopter tentera yang menjirus air dari udara sejak kelmarin diarah bersedia menyambung tugas. Rakaman televisyen operasi menjirus air ke reaktor itu dari udara menunjukkan sebahagian besar air tidak mengenai sasaran kerana ditiup angin. 

Pegawai Perancis dan Amerika Syarikat sebelum ini menyifatkan keadaan di Fuku- 
shima lebih serius daripada apa yang diakui Jepun. 

Tahap radiasi lebih tinggi daripada normal juga dicatat di beberapa tempat 30 kilometer dari lokasi loji berkenaan, manakala di Tokyo keadaan masih normal. 

Loji nuklear itu bermasalah sejak gempa bumi 9 skala Richter disusuli tsunami melanda negara Matahari Terbit itu, Jumaat minggu lalu menyebabkan lebih 16,000 orang maut atau hilang. 

Salji yang semakin tebal juga merumitkan usaha mencari lebih ramai mangsa tertimbus di bawah bangunan. 

Berjuta-juta orang belum mendapat bekalan air, elektrik atau makanan dan beribu-ribu lagi kehilangan tempat tinggal. 

Penduduk seluruh Jepun bertafakur selama seminit semalam pada 0546 GMT (1.46 petang waktu Malaysia) bagi mengingati bencana terbaru itu. – Agensi 

No comments: