Pages

Saturday, March 19, 2011

Jet pejuang Barat sedia serang Libya





2011/03/19

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon
PBB lulus zon larangan terbang, Gaddafi umum gencatan senjata serta-merta

GENEVA: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam meluluskan penguatkuasaan zon larangan terbang ke atas Libya serta ‘semua langkah wajar’ untuk melindungi orang awam daripada serangan tentera rejim pemimpin negara itu Muammar Gaddafi. 

Anggota Majlis Keselamatan mengundi 10-0 dengan lima negara tidak hadir termasuk Russia dan China yang mempunyai kuasa veto. India, Jerman dan Brazil juga menyuarakan kebimbangan berikutan kelulusan tindakan ketenteraan oleh pasukan asing di Libya.
Libya kemudian mengumumkan gencatan senjata serta-merta sebagai mematuhi tuntutan Majlis Keselamatan.
Tetapi, penentang menuduhnya satu cubaan Gaddafi menipu masyarakat antarabangsa. 
Amerika, Perancis dan Britain memberi isyarat mereka sudah membuat rancangan untuk menghalang serangan ke atas orang awam dan menguatkuasakan zon larangan terbang dengan bantuan negara Arab lain. 

Tindakan menghalang serangan tentera Gaddafi mungkin dimulakan menjelang esok atau Isnin menggunakan pesawat pejuang, pengebom dan pesawat peninjau. 

“Memandangkan keadaan semakin kritikal sekarang, saya menjangka tindakan segera akan diambil selepas resolusi itu diluluskan,” kata Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon selepas undian. 
Beliau memberi jaminan untuk ‘bekerjasama rapat dengan negara anggota dan pertubuhan serantau bagi menyelaraskan tindak balas secara berkesan’. 

Pengundian dibuat, lima hari selepas Liga Arab menggesa PBB ‘memikul tanggungjawabnya’ dengan menguatkuasakan zon larangan terbang ke atas Libya. 

Timbalan Duta Libya ke PBB yang berpaling tadah, Ibrahim Dabbashi, terus menggesa dunia bertindak segera bagi menghalang lebih banyak keganasan. 

“Nyawa orang awam semakin diancam bahaya dan saya meminta masyarakat antarabangsa bertindak segera,” katanya. 

Duta Lubnan Nawaf Salam yang bercakap kepada negara Arab kelmarin berkata beliau berharap langkah itu akan ‘memainkan peranan sewajarnya’ bagi menghalang Libya daripada meneruskan keganasan. 

Sementara itu, China amat meragui dan sukar mempercayai keputusan yang diambil Majlis Keselamatan PBB. 

Kementerian Luar China dalam kenyataannya berkata, negara itu menentang penggunaan tentera dalam hal-ehwal antarabangsa. – AP 

No comments: