TENTERA Arab Saudi mula memasuki Bahrain sejak Isnin bagi mengembalikan keamanandi negara tersebut.
TEHERAN - Iran semalam menyifatkan kehadiran tentera asing di Bahrain sebagai tidak boleh diterima dan memberi amaran kepada Arab Saudi dan sekutunya, Amerika Syarikat (AS) mengenai 'kesan-kesan buruk' kerana masuk campur dalam krisis politik negara tersebut.
Kira-kira 1,000 askar Arab Saudi mula memasuki Bahrain sejak Isnin lalu sebagai sebahagian usaha oleh Majlis Kerjasama Teluk (GCC) untuk membantu kerajaan Bahrain menangani protes yang dilakukan oleh majoritinya puak Syiah.
"Kehadiran tentera asing dan masuk campur dalam urusan dalaman Bahrain tidak boleh diterima dan hanya merumitkan isu sedia ada. Iran menganggap AS bertanggungjawab atas kesan tindakan ini," kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast kepada agensi berita rasmi Iran, ISNA.
Sementara itu, Pentagon menyatakan pihaknya tidak diberi sebarang notis bahawa tentera Arab Saudi atau pasukan tentera dari negara lain akan memasuki Bahrain.
Kehadiran tentera itu dibuat setelah penunjuk perasaan berjaya menembusi kawalan polis Bahrain pada Ahad lalu. Mereka juga menyekat lebuh raya yang menuju ke daerah kewangan di Bahrain. - Reuters
No comments:
Post a Comment