Pages

Tuesday, February 22, 2011

Presiden Yemen enggan berundur



SANAA - Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh semalam menolak desakan supaya beliau berundur sambil menyifatkan demonstrasi yang semakin marak menentang rejim pemerintahannya sebagai satu bentuk provokasi yang tidak boleh diterima.
Namun begitu, Ali yang sudah berkuasa selama lebih tiga dekad menawarkan untuk memulakan dialog bersama penunjuk perasaan.
Tawaran itu bagaimanapun pantas ditolak dan disifatkan sebagai tidak ikhlas oleh pihak pembangkang.
Sebagai usaha untuk meredakan kemarahan, Ali mengarahkan pasukan tentera supaya tidak melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan antipemerintah kecuali dalam situasi untuk mempertahankan diri.
Sejak protes bermula awal bulan lalu, sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh termasuk seorang remaja yang ditembak mati semalam.
Protes di negara Arab termiskin itu adalah sebahagian daripada gelombang ketidaktentuan politik yang berlaku di dunia Arab selepas tumbangnya pemimpin autokratik di Tunisia dan Mesir.
Beratus-ratus berkhemah didirikan penunjuk perasaan di satu dataran di Sanaa berhampiran Universiti Sanaa. Di bandar Taiz, berpuluh-puluh ribu orang berarak.
Sementara itu di bandar al-Maafer, saksi-saksi memberitahu lelaki bersenjata melepaskan tembakan dan mencederakan tiga orang penunjuk perasaan.
Di bandar pelabuhan Aden, sekumpulan remaja melontar batu ke arah sebuah kenderaan polis. Tembakan dilepaskan ke arah mereka menyebabkan seorang terbunuh dan empat lagi cedera.
Kelmarin, Ali mendakwa penentang kerajaan adalah minoriti dan siapa yang mahu melihatnya berundur perlu bertanding dalam pilihan raya.
"Pihak pembangkang menuntut supaya rejim sekarang berundur. Ini tidak boleh diterima. Siapa yang mahu berkuasa perlu bertanding," kata Ali. - AP
Kosmo! Online - Dunia

No comments: