2011/02/22
KAHERAH: Anak lelaki pemimpin Libya, Muammar Gaddafi tampil di televisyen bagi menegaskan bapanya akan terus berkuasa dengan sokongan tentera dan terus‘berjuang sehingga lelaki terakhir, wanita terakhir dan peluru terakhir’ selepas protes anti pemerintah merebak ke ibu negara itu apabila pembantah memasuki pangkalan tentera dan merampas senjata api. “Libya berada di persimpangan jalan. Jika kita tidak setuju dengan pembaharuan yang ditawarkan hari ini, Libya akan melihat sungai penuh darah,” kata Saif al-Islam, semalam, mengenai protes yang sudah berterusan enam hari.
Saif juga memberi amaran bahawa tunjuk perasan boleh mencetuskan perang saudara hingga kekayaan minyak Libya musnah.
Ucapan itu diikuti tindakan keras pasukan keselamatan yang menembak ribuan penunjuk perasaan dan mereka yang menyertai perarakan pengebumian di timur bandar Benghazi. Kejadian itu menyebabkan 60 terbunuh pada Ahad saja, menurut doktor di sebuah hospital.
Sejak kebangkitan itu bermula, 233 penduduk Libya terbunuh, menurut pegawai perubatan, kumpulan hak asasi manusia dan pembangkang.
Di Kota Benghazi, penunjuk perasaan menguasai keadaan dan mengambil alih
pejabat keselamatan utama selepas pertempuran membunuh 60 lag penduduk.
Tindakan Libya terhadap penunjuk perasaan itu dikatakan yang paling keras
antara negara Arab, berbanding bantahan yang menggulingkan pemimpin Tunisia dan Mesir.
Tetapi, Saif berkata, bapanya akan terus menang. “Kami bukan Tunisia dan Mesir. Gaddafi adalah pemimpin kami yang mengetuai peperangan di Tripoli dan kami bersamanya.
“Pasukan keselamatan bersama beliau. Ratusan ribu akan berada di sini bersama beliau. Kami akan bertarung sehingga lelaki terakhir, wanita terakhir dan peluru terakhir. Ini adalah komplot menghancurkan Libya,” katanya dalam ucapan 40 minit.
Saif yang dipercayai pewaris kuasa selepas Gaddafi menuduh anasir luar cuba mengkucar-kacirkan negara itu, turut menawarkan dialog bagi pembaharuan politik dan perlembagaan baru.
Dalam ucapannya, Saif turut mengakui pihak tentera membuat kesilapan semasa tunjuk perasaan berlangsung kerana pasukan keselamatan itu tidak dilatih berdepan dengan pembantah, tetapi tambahnya jumlah mangsa yang terbunuh dibesar-besarkan walaupun hanya 84 terbunuh. – Agensi
No comments:
Post a Comment