Pages

Tuesday, February 22, 2011

Ikhwan mahu Kabinet serba baru


KAHERAH: Pertubuhan Ikhwanul Muslimin Mesir menolak cadangan rombakan kerajaan semalam, sebaliknya menggesa pihak berkuasa mengetepikan saki-baki menteri Kabinet lama dilantik Hosni Mubarak.
Kelmarin, junta tentera menamakan beberapa tokoh yang tidak disenangi Hosni menduduki jawatan dalam kerajaan.

Bagaimanapun, jawatan penting seperti Menteri Pertahanan, Menteri Luar, Menteri Keadilan, Menteri Dalam Negeri serta Menteri Kewangan kekal di tangan tokoh lama.

Pada masa sama, junta tentera menyatakan, perlembagaan baru bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan dalam tempoh enam bulan hampir siap.

Perintah darurat akan ditamatkan sebelum pilihan raya berkenaan.

Pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, Essam el-Erian, berkata rakyat mahukan Kabinet yang baru sepenuhnya dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Hosni.


“Jika mereka menawarkan jawatan, kami akan tolak kerana apa yang dituntut rakyat adalah kerajaan baru yang langsung tiada kena-mengena dengan rejim terdahulu,” katanya. - Reuters

No comments: