Pages

Sunday, February 13, 2011

Pakistan arah tangkap Musharraf


Pakistan arah tangkap Musharraf


2011/02/13

BENAZIR Bhutto berucap ketika pilihan raya di Rawalpindi, Pakistan pada 27 Disember 2007 sejurus sebelum beliau  ditembak mati. Gambar kecil Pervez Musharraf.
BENAZIR Bhutto berucap ketika pilihan raya di Rawalpindi, Pakistan pada 27 Disember 2007 sejurus sebelum beliau ditembak mati. Gambar kecil Pervez Musharraf.
Bekas presiden didakwa bersubahat dalam kes pembunuhan Benazir Bhutto

ISLAMABAD: Mahkamah antikeganasan Pakistan semalam mengeluarkan waran tangkap ke atas bekas presiden Pervez Musharraf, selepas didakwa terbabit dalam pembunuhan bekas perdana menteri Benazir Bhutto, kata Pendakwa Raya, Chaudhry Zulfiqar Ali.
“Hakim Rana Nisar Ahmad sudah mengeluarkan waran tangkap tidak boleh dijamin ke atas bekas presiden Musharraf dan mengarahkan beliau hadir di mahkamah 19 Februari ini,” katanya.
Beliau berkata pasukan siasatan bersama yang ditubuhkan untuk menyiasat pembunuhan itu menyatakan dalam laporannya bahawa Musharraf terbabit dalam kes itu dan perlu bertanggungjawab.

“Laporan itu juga menyatakan bahawa pembunuhan Benazir adalah satu konspirasi besar membabitkan Musharraf, dua pegawai kanan polis dan pengganas,” kata Ali selepas satu perbicaraan tertutup di Penjara Adiala di Rawalpindi.

Musharraf yang menjadi presiden Pakistan ketika Benazir dibunuh pada 2007, kini tinggal dalam buangan secara suka rela di London dan dipercayai tidak akan kembali ke Pakistan.

Ketika ditanya apa yang akan berlaku jika Musharraf tidak hadir ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan Ali berkata: “Kita akan memikirkan perkara itu apabila masanya tiba.”
Disember lalu, polis menahan dua pegawai kanan polis, Saud Aziz dan Khurram Shahzad atas dakwaan cuai dalam menjalankan tugas berikutan pembunuhan Benazir, selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atas mereka.

Aziz yang menjadi ketua polis Rawalpindi ketika kejadian dan Shahzad, pegawai kanan polis di bandar raya itu ditahan berikutan kegagalan mereka melindungi Benazir.

Bagaimanapun, jurucakap Musharraf di London, Fawad Chaudhry berkata Musharraf tidak akan mematuhi waran itu.

“Tidak, beliau tidak akan pulang untuk perbicaraan ini,” katanya sambil menambah, waran yang dikeluarkan itu sesuatu yang ‘benar-benar bodoh’.

“Bagaimana mungkin seorang presiden sebuah negara dipertanggungjawabkan ke atas keselamatan yang tidak ada dalam peruntukan? Ia benar-benar bodoh.

“Anda tidak boleh mengenakan dakwaan jenayah kerana itu,” katanya.

Beliau bagaimanapun bertegas bahawa Musharraf merancang untuk kembali ke Pakistan bagi menyertai pilihan raya.

“Kepulangannya ke Pakistan adalah satu keputusan politik,” katanya.
Benazir dibunuh dalam satu serangan nekad selepas menyampaikan ucapan pada kempen pilihan raya di bandaraya itu pada 27 Disember 2007.

Benazir, yang pernah menyandang jawatan perdana menteri selama dua penggal, kembali dari dalam buangan dua bulan sebelum dibunuh untuk bertanding dalam pilihan raya.

Suaminya, Asif Ali Zardari, mengetuai Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang menang pilihan raya 2008 dan kini menjadi presiden negara itu. – AFP

Berita Harian Online | Pakistan arah tangkap Musharraf

No comments: