Pages

Sunday, February 13, 2011

Akhbar kerajaan puji revolusi Mesir



KAHERAH, 12 Feb. - Akhbar milik kerajaan Mesir yang menyokong kuat bekas Presiden Hosni Mubarak selama 30 tahun pemerintahannya, hari ini memberi penghormatan kepada "Revolusi Golongan Pemuda" yang berjaya mengulingkannya.
"Rakyat telah berjaya mengulingkan rejim Mubarak," dan "Golongan pemuda Mesir berjaya mendesak Mubarak berundur," lapor akhbar terkemuka Al-Ahram dalam tajuk utamanya, hari ini.
Di bahagian dalam pula, akhbar itu memberi penghormatan kepada rangkaian laman sembang soial Facebook, yang digunakan oleh aktivis muda untuk menyusun protes sehingga berjaya menamatkan pemerintahan Mubarak.
"Revolusi Facebook berjaya menumbangkan Mubarak dan simbol rejim pemerintahannya," lapor akhbar itu, sambil menyifatkan laman sembang sosial itu sebagai "ibu pejabat majlis pemerintah revolusi."
Sejak kebelakangan ini, media kerajaan mula menunjukkan simpati terhadap desakan penunjuk perasaan, satu perubahan mendadak bagi akhbar-akhbar yang sebelum itu saling bersaing untuk menunjukkan sokongan mereka kepada Mubarak.
"Selepas berlaku revolusi 25 Januari, tidak ada berpatah balik," lapor Al-Ahram.
Sisipan suplemen Al-Ahram menyediakan laporan khas yang ditujukan kepada "golongan muda Tahrir (Pembebasan)" di bawah tajuk "Kami berjaya menumbangkannya."
Sebuah lagi akhbar milik kerajaan, Al-Gomhouria, pula melaporkan: "Populariti Mubarak yang dibina .... atas kemiskinan rakyat, kemudian menjadi lemah dan akhirnya runtuh.
"Presiden baru mestilah seorang yang telus. Adalah menjadi tugas kita untuk mengetahui jumlah kekayaan yang dimilikinya sebelum dan selepas dia berkuasa," lapor akhbar itu, di tengah laporan yang mendakwa Mubarak dan ahli keluarganya mengaut kekayaan yang besar sepanjang pemerintahannya.
Televisyen kerajaan pula membawa mesej "mengucap tahnih kepada rakyat Mesir atas kejayaan revolusi," dan memberi penghormatan kepada tentera "atas peranan penting yang mereka mainkan dalam melindungi revolusi, negara dan rakyat Mesir." - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: