Pages

Monday, January 10, 2011

Israel roboh hotel di timur Baitulmaqdis



BAITULMAQDIS 9 Jan. - Pihak berkuasa Israel hari ini mula merobohkan sebuah kompleks hotel di timur Baitulmaqdis bagi menyediakan tapak untuk membina sebuah kawasan perumahan baru Yahudi di wilayah Palestin yang diduduki itu.
Polis mengadakan kawalan ketat ketika tiga jentolak merobohkan sebahagian bekas Hotel Shepherd dalam tindakan yang mendapat kecaman Palestin.
Tapak hotel tersebut akan digantikan dengan 20 buah unit pangsapuri mewah untuk rakyat Israel.
"Bahagian bangunan itu disebelah utara sedang dirobohkan dan pihak berkuasa Israel mahu membina 20 unit kediaman untuk pendatang Yahudi di sini," kata seorang aktivis keamanan Israel, Peace Now, Hagit Ofran.
Projek di kawasan kediaman Sheikh Jarrah di timur Baitulmaqdis yang diduduki penduduk Arab itu turut dikecam oleh Amerika Syarikat (AS).
Perunding Palestin, Saeb Erekat berkata, pihak Palestin tidak akan berunding dengan Israel selagi kegiatan pembinaan sedemikian diteruskan.
Kelulusan akhir untuk pembinaan 20 unit pangsapuri baru itu diberikan pada Mac lalu, ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengadakan rundingan di Washington.
Projek pangsapuri itu dibiayai oleh jutawan Yahudi AS, Irving Moskowitz, yang telah lama menjadi penaung pendatang haram Yahudi.
Bangunan hotel yang sudah usang itu pernah menjadi kediaman Mufti Baitulmaqdis, Haj Amin al-Husseini yang menjadi terkenal kerana hubungannya dengan pemimpin Nazi, Adolf Hitler.
Walaupun majoriti penduduk timur Baitulmaqdis adalah Palestin, semakin ramai pendatang haram Yahudi mencerobohi kawasan kediaman di situ, sekali gus mencetuskan pergaduhan dengan penduduk Arab. - AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: