Pages

Thursday, December 2, 2010

Aktivis anti pemburuan paus lancar bot ‘Gojira’



GAMBAR kapal futuristik terbaru milik Sea Shepherd Conservation Society diberi nama Gojira dilancarkan di Fremantle, Perth, Australia, kelmarin. – AFP


SYDNEY 1 Dis. – Aktivis militan yang menjalankan kempen menentang pemburuan paus melancarkan bot laju baru Gojira bagi mengejar kapal Jepun yang memburu mamalia gergasi itu di perairan Antartika.
Sea Shepherd Conservation Society minggu ini mempamerkan bot terbarunya, Gojira iaitu nama raksasa komik Godzilla dalam bahasa Jepun, kira-kira 11 bulan selepas bot futuristiknya, Ady Gil karam dalam pertempuran di laut lepas dengan kapal pemburu paus.
Bot sepanjang 33 meter yang didaftarkan di Australia itu memiliki saiz yang besar tanpa menjadi terlalu berat di samping cukup pantas untuk mengejar kapal pemburu paus Jepun, kata pengarah Sea Shepherd di Australia, Jeff Hansen.
“Kami tidak akan mendedahkan kelajuan maksimumnya, memadai untuk kami mengatakan kepantasannya mengatasi kapal pemburu paus.
“Bot ini akan digunakan semata-mata kerana kelajuannya,” katanya.
Bot Gojira yang telah melakukan pelayaran mengelilingi dunia dalam masa kurang daripada 80 hari dengan nama Cable & Wireless Adventure, akan menyertai kapal Sea Shepherd yang lain, Bob Barker dan Steve Irwin dalam misi tahunan mereka mengejar dan mengganggu kapal pemburu paus Jepun di hemisfera selatan pada musim panas depan.
Hansen berkata, dua bot lebih besar itu akan meninggalkan Tasmania esok manakala Gojira akan menyusul beberapa hari kemudian.
Sea Shepherd percaya aktivisnya buat kali pertama akan berlepas lebih dahulu daripada kapal-kapal paus Jepun untuk menjalankan misi tahunan yang selalunya dijalankan sehingga Mac.
“Kami berada dalam kedudukan sangat baik dan persiapan kami adalah yang terbaik pernah kami lakukan,” kata Hansen. – AFP

No comments: