Pages

Thursday, December 2, 2010

Pengasas WikiLeaks diburu Interpol






LAMAN web polis Interpol menunjukkan pengasas laman WikiLeaks, Julian Assange dikehendaki atas dakwaan merogol dan mencabul.



PARIS – Polis Interpol semalam meminta pengasas WikiLeaks, Julian Assange, 39, ditangkap selepas dia membocorkan maklumat sulit kedutaan Amerika Syarikat (AS).
Menurut agensi itu yang beribu pejabat di sini, Assange yang berasal dari Australia dikehendaki di Sweden untuk disoal siasat berhubung dakwaan merogol dan mencabul dua wanita.
Ibu Assange, Christine memberitahu stesen Perbadanan Penyiaran Australia bahawa dia tidak mahu anaknya diburu polis.
“Dia (Assange) merupakan anak saya dan saya menyayanginya dan pastinya saya tidak mahu dia diburu dan dipenjarakan,” katanya dari rumahnya di Queensland.
Notis penangkapan yang disiarkan kelmarin itu dipercayai akan menyebabkan perjalanannya ke seluruh dunia menjadi sukar.
Setakat ini, lokasi tempat tinggal Assange tidak diketahui.
Dia menafikan melakukan dakwaan merogol dan mencabul dua wanita tersebut semasa melawat Sweden pada Ogos lalu.
Laman web yang diasaskan oleh Assange mencetuskan kontroversi sejak Ahad lalu selepas lebih 250,000 maklumat sulit kedutaan AS didedahkan kepada umum.
Pendedahan itu menyebabkan beberapa buah negara termasuk AS dan Perancis mengutuk perbuatan Assange yang membocorkan maklumat tersebut menerusi WikiLeaks. – Agensi

No comments: