AS menggantung akses pihak tentera kepada beberapa koresponden diplomatik yang sensitif dalam usaha menghalang kebocoran maklumat baru, ketika Perancis dan Pakistan menjadi negara terbaru terlibat dalam pendedahan.
Assange, 39, merupakan seorang penggodam komputer Australia yang dikehendaki di Sweden untuk soal siasat berhubung kes rogol dan mencabul kehormatan dua wanita. Dia bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Interpol yang beribu pejabat di Lyon, Perancis awal hari ini menyatakan telah memaklumkan semua negara anggota untuk menahan Assange jika dia berjaya dikesan. Dia banyak menghabiskan masa di Britain dan Sweden.
Assange dikatakan mengamalkan kehidupan seperti seorang perisik kerana jarang menginap di tempat yang sama dua kali. Kerajaan Ecuador yang berhaluan kiri pada awalnya menawarkan perlindungan kepadanya tetapi Presiden Rafael Correa menarik balik tawaran itu semalam.
Dalam satu daripada siri wawancaranya, Assange dengan bangga menyatakan kesediaan melakukan ‘pendedahan raksasa’ yang mungkin menjatuhkan sebuah bank utama, menyebabkan nilai saham Bank of America merudum lebih tiga peratus akibat spekulasi semalam.
Dia memberitahu majalah Forbes bahawa kebocoran maklumat bank itu akan ‘memberikan keadaan sebenar bagaimana perilaku bank pada peringkat eksekutif yang mana ia akan mencetus siasatan dan pembaharuan’.
Dalam satu wawancara berasingan dari lokasi rahsia menggunakan telefon Skype Internet, Assange memberitahu majalah Time bahawa Setiausaha Negara, Hillary Clinton perlu meletak jawatan berikutan pendedahan yang AS mengarahkan diplomatnya merisik pegawai asing lain, terutama sekali di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – AFP
No comments:
Post a Comment