Pages

Monday, December 13, 2010

WikiLeaks dedah kenyataan diplomat Singapura





2010/12/13

Nota sulit tuduh kepemimpinan Malaysia amal rasuah

SINGAPURA: Kabel WikiLeaks semalam mendedahkan beberapa kenyataan diplomat Singapura terhadap pemimpin negara Asia, termasuk Malaysia, yang dianggap mengamalkan rasuah, tidak cekap atau bodoh.
Nota sulit diplomatik disalurkan oleh laman itu kepada kumpulan media Fairfax Australia mengandungi penilaian tidak menyenangkan mengenai tokoh utama di Malaysia, Thailand, India dan Jepun.“Kepemimpinan tidak cekap adalah masalah besar kepada Malaysia,” Setiausaha Tetap Kementerian Luar, Bilahari Kausikan dilaporkan menyatakan demikian kepada Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat bagi Asia Timur, David Sedney dalam kabelnya bertarikh September 2008.

Justeru, ‘keadaan di negara jiran, Malaysia adalah mengelirukan dan berbahaya,’ dan ‘kemungkinan jelas boleh berlaku konflik perkauman’ yang menyaksikan golongan etnik Cina ‘melarikan diri’ dari Malaysia dan ‘membanjiri’ Singapura, Bilahari dipetik sebagai berkata. 

Seorang lagi pegawai, Peter Ho, dilaporkan menyifatkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak sebagai ‘seorang oportunis’ yang ‘tidak teragak-agak’ mencari kesalahan Singapura jika beliau ‘perlu melakukannya’.

Bilahari juga bersikap kritikal terhadap kerajaan Thailand dengan melabel perdana menteri ketika itu, Thaksin Shinawatra sebagai pemimpin yang ‘mengamalkan rasuah’, di samping ‘sesiapa saja, termasuk pembangkang’. 
Beliau berkata Thaksin ‘tidak tetap pendirian dan mudah terpengaruh’, dan memberi amaran mengenai ketidakstabilan di Thailand.

Dalam satu lagi memo pada 2009, duta bebas Singapura, Tommy Koh – yang selalunya bersopan dan berhemah di khalayak – membuat teguran tidak menyenangkan mengenai Jepun dan India.

“Koh menyifatkan Jepun sebagai ‘pihak yang sentiasa tewas’ dalam penambahbaikan hubungan di antara China dan ASEAN,” menurut kabel yang dibocorkan, memperincikan mesyuarat di antaranya dan pegawai AS.

“Beliau berkata kejatuhan Jepun di rantau berkenaan berpunca daripada kebodohan negara itu sendiri, kepemimpinan teruk dan kurang berwawasan,” katanya.

“Beliau juga tidak menunjukkan belas kasihan kepada India, apabila menyifatkan ‘kawasan bodoh India’ sebagai ‘separuh masuk ASEAN dan separuh lagi keluar.’

Tiada reaksi segera daripada kerajaan Singapura berikutan pembocoran itu, tetapi akhbar Straits Times yang prokerajaan memetik kenyataan kontroversi itu dan menyiarkannya dalam laman webnya. – AFP 

INFO


  • WikiLeaks adalah organisasi yang menggunakan laman web untuk membocorkan dokumen sulit, rahsia kerajaan dan syarikat korporat.

  • Laman web itu yang dilancarkan pada 2006 dan beroperasi dari Sweden, menerima maklumat sulit daripada pelbagai pihak yang dirahsiakan.

  • Pada Julai 2010, Wikileaks membocorkan lebih 76,9000 dokumen berkaitan Perang Afghanistan sebelum menyiarkan hampir 400,000 dokumen mengenai Perang Iraq, dua bulan lalu.

  • Pengasasnya, Julian Assange kini ditahan di Britain bagi kesalahan mencabul dua wanita Sweden.
  • No comments: