BAITULMAQDIS: Seorang pemimpin Israel sekali lagi menegaskan pemimpin negara itu enggan berkongsi Baitulmaqdis timur dengan Palestin walaupun ada penyokong kerajaan mencadangkannya begitu.
Pendirian Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, dalam isu itu boleh mengancam usaha Amerika Syarikat mendamaikan Tel Aviv dengan Palestin.
Menurut Menteri Alam Sekitar, Gilad Erdan, Israel sama sekali tidak akan membincangkan isu berkenaan dalam keadaan didesak mana-mana pihak.
Minggu lalu, Menteri Pertahanan, Ehud Barak, memberitahu Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, Baitulmaqdis timur sepatutnya dikongsi, tetapi Tel Aviv segera mendakwa, kenyataan itu tidak mewakili pendirian rasmi kerajaan.
Netanyahu juga tidak memberi sebarang reaksi terhadap usul Barak.
Kawasan Baitulmaqdis timur ditawan Israel pada 1967 tetapi dikehendaki Palestin untuk dijadikan ibu negara pada masa depan.
Kata Erdan, Netanyahu akan terus mengusahakan perdamaian dengan pendirian untuk tidak menggadaikan sesuatu yang boleh mengancam kewujudan Israel satu hari nanti.
Dianggap rapat dengan Netanyahu, Erdan berkata, pengunduran besar-besaran tentera Israel dari Tebing Barat dan Baitulmaqdis timur akan menjadikan kawasan itu pusat gerakan Islam yang bersekutu dengan Iran.
Minggu lalu, AS mengaku gagal meyakinkan Israel untuk memperbaharui penggantungan sementara projek pembinaan penempatan di tanah Palestin yang mereka jajah sebelum ini. - AP
No comments:
Post a Comment