LONDON 12 Dis. - Dua keping gambar baru Putera William dan tunangnya, Kate Middleton yang diambil jurugambar Mario Testino, didedahkan kepada umum semalam sebagai meraikan perkahwinan mereka pada April depan.
Sekeping daripada gambar tersebut menunjukkan Putera William memeluk mesra bakal isterinya, sementara sekeping lagi memaparkan gaya lebih formal pasangan diraja berusia 28 tahun itu yang berdiri berlatar belakangkan sebuah bilik dengan hamparan karpet merah di St. James Palace di London.
Testino, jurugambar kelahiran Peru yang pernah mengabadikan sebahagian gambar ibu Putera William, Puteri Diana berkata, kebahagiaan pasangan diraja itu jelas terpancar di gambar mereka.
Katanya, gambar-gambar tersebut diambil pada 25 November lalu, sembilan hari selepas pertunangan mereka diumumkan. Majlis perkahwinan pasangan itu akan diadakan pada 29 April depan di Westminster Abbey, London.
"Saya sangat gembira kerana berpeluang merakam saat-saat bersejarah ini yang dinanti seluruh dunia.
"Pasangan ini jelas sangat bahagia. Saya tidak pernah berasa begitu gembira melihat mereka bersama," kata Testino yang pernah mengambil gambar ahli keluarga diraja ini termasuk Putera Harry dan Putera Charles.
Gambar formal pasangan itu menyaksikan kedua-dua mereka yang tersenyum berdiri sambil tangan Middleton memegang tangan kanan Putera William, sekali gus memperlihatkan cincin pertunangan bertatahkan berlian dan batu nilam milik Puteri Diana yang dipakai gadis itu.
Dalam gambar itu, Middleton memakai gaun putih formal Reiss, sementara Putera William mengenakan suit gelap yang dipadankan dengan tali leher biru serta kemeja putih dari Turnbull and Asser.
Gambar kedua pula memperlihatkan kemesraan pasangan diraja tersebut apabila Putera William memeluk erat Middleton dengan kedua-dua tangannya, sementara kedua-duanya tersenyum lebar.
Seorang jurucakap kediaman Putera William berkata, Putera itu pernah beberapa kali menggunakan khidmat Testino dan mengatakan jurugambar itu ialah pilihan yang tepat untuk mengabadikan gambar kenangan mereka. - AFP
No comments:
Post a Comment