Pages

Thursday, November 25, 2010

Berkayuh ke Makkah



Ia bermula dengan satu pertanyaan biasa - apa akan berlaku jika beberapa sahabat cuba ke kota suci Makkah di Arab Saudi dari rumah mereka di Afrika Selatan dengan menunggang basikal untuk menunaikan haji? 

Dan selepas melalui 12 negara, sembilan bulan serta ribuan kilometer kemudian, dua penduduk Cape Town, Nathim Cairncross, 28, dan Imtiyaz Ahmad Haron, 25, berjaya menjawab pertanyaan itu. 

Kedua-dua sahabat itu mula berkayuh dan tiba di sempadan Arab Saudi, akhir Oktober lalu, iaitu hampir tiga minggu sebelum ibadah haji bermula secara rasmi. 

Ibadah haji yang jatuh pada bulan terakhir dalam kalendar Islam dan bermula pada 14 November tahun ini adalah ibadah yang menjadi salah satu daripada lima tiang agama Islam dan diwajibkan ke atas umat Islam yang mampu, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. 

Kedua-dua lelaki muda ini mula merancang perjalanan mereka Disember tahun lalu, selepas Nathim menyuarakan idea unik itu kepada Imtiyaz, sahabat yang telah dikenalinya selama tujuh tahun. 

Imtiyaz pada masa itu sedang mempersiapkan diri untuk menjalankan ibadah haji yang ditunaikan lebih dua juta umat Islam di Arab Saudi, setiap tahun. 

Mendapat inspirasi daripada kisah-kisah jemaah haji yang terpaksa menempuh perjalanan penuh berliku untuk ke Makkah demi menunaikan haji, Imtiyaz memutuskan untuk melakukan yang sama dan bersetuju dengan cadangan Nathim. 

Dan mereka berazam untuk hanya menggunakan basikal untuk tiba ke destinasi itu. 

"Saya mempunyai prinsip dalam hidup. Jika saya bekerja kuat untuk mendapatkan sesuatu, pada akhirnya, ia akan menjadi lebih bermakna kerana saya akan lebih menghargainya. 

"Dan selepas sembilan bulan mengayuh basikal merentasi Afrika dan Timur Tengah, sudah tentu saya lebih menghargai pengalaman menunaikan haji ini," kata Nathim. 

Perjalanan kedua sahabat itu bermula pada pagi dingin yang disirami hujan, 7 Februari lalu di sebuah masjid di Cape Town, di mana hampir 500 penduduk berkumpul mengucapkan selamat jalan kepada Nathim dan Imtiyaz. 

Mereka kemudian diiring keluar dari bandar itu oleh kelab basikal tempatan sejauh 70 kilometer sebagai tanda sokongan kepada usaha sahabat itu dan kemudian menyambung perjalanan secara sendirian hanya berbekalkan basikal, peta dan keazaman yang tinggi. 

"Kami bukan penunggang profesional, tetapi kami menjalani latihan fizikal termasuk naik turun gunung, berlari di pantai dan berenang selama dua bulan sebelum memulakan perjalanan," kata Nathim.

No comments: