WASHINGTON - Projek Penyelidikan Lanjutan Pertahanan Amerika Syarikat (DARPA) membiayai projek untuk mengkaji bagaimana beberapa spesies ular pokok di Asia Tenggara boleh terbang di udara, lapor sebuah akhbar semalam.
Kajian itu dipercayai mempunyai implikasi besar bagi mencipta teknologi untuk membina pesawat kawalan jauh tentera yang dapat meluncur dengan lebih lancar.
Ahli biologi Universiti Virginia Tech, Jake Socha melakukan kajian dengan meneliti rakaman tiga dimensi (3D) bagaimana spesies ular Chrysopelea paradisi terbang ke udara dari kawasan setinggi 15 meter.
"Ular itu sendiri seperti satu sayap yang panjang. Sayap itu sentiasa meliuk dan berubah bentuk," kata Socha.
Menurutnya, pergerakan aneh itu menghasilkan kesan aerodinamik yang membolehkan ular itu meluncur dari pucuk pokok tinggi pada jarak hampir 245 meter.
Ular Chrysopelea paradisi itu didapati menipiskan badannya semasa di udara dan ia meliukkan badannya dari sisi ke sisi pada kelajuan tinggi. - Agensi
No comments:
Post a Comment