Pages

Saturday, November 27, 2010

3 golongan dimurkai Allah




Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup kita di dunia ini adalah jambatan untuk hari akhirat. Walaupun hidup di dunia ini sementara dan kehidupan di hari akhirat kekal abadi tetapi hidup yang sementara ini adalah sebagai wasilah atau jalan untuk kita mencapai kebahagiaan di sana.

Ramai manusia kecundang menfaatkan masa di dunia dan harta benda yang dimiliki untuk menjadikannya saham akhirat. Manusia hanya tergila-gila mengejar saham dunia yang menjanjikan keuntungan segera tetapi melupakan saham akhirat . Bentuk pelaburan untuk saham akhirat adalah ketika di dunia ini iaitu apabila kita menggunakan harta untuk sedekah jariah, mengeluarkan zakat, membantu anak-anak yatim dan fakir miskin,  membantu jihad fisabilillah, membantu kerja-kerja dakwah dan menyalurkan untuk mengembangkan ilmu yang bermanfaat semuanya adalah saham-saham jangka panjang yang akan membawa pulangan keuntungan yang berlipat kali ganda bergantung keikhlasan kita memberi sumbangan.

Selain kebaikan yang kita di suruh untuk melaksanakannya ketika di dunia ini terdapat tiga larangan dan tegahan Allah s.w.t. kepada kita untuk meninggalkannya iaitu seperti hadis dari Nabi s.a.w. maksudnya :

"Tiga golongan manusia yang sangat dimurkai Allah iaitu yang cenderung kepada perkara yang haram, orang yang mengikut perbuatan jahilliyah dan orang membunuh orang lain tanpa hak"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)




Tiga golongan manusia  yang sangat dimurkai Allah s.w.t adalah seperti berikut :

|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|

Pertama : Golongan yang cenderung kepada perkara yang haram.

1. Makanan Haram gelapkan hati.
Hakikatnya, memasukkan perkara-perkara haram, seperti makanan, mahupun membeli makanan dari sumber duit yang haram, memakan makanan yang tidak melalaui proses yang terjamin suci dan halal akan memberikan kesan kepada hati kita, tubuh badan , ibadat kita, dan kehidupan dunia akhirat secara keseluruhannya.
Rasulullah s.a.w.bersabda maksudnya :  “ Setiap daging yang tumbuh hasil dari sumber yang haram, maka Neraka adalah lebih berhak ke atasnya (daging itu)” Itu adalah sabda Rasulullah s.a.w.  mengenai  sesiapa yang mengambil sesuatu yang haram dan memasukkan ke dalam tubuhnya.

Hari ini, tidak ramai Muslimin dan Muslimat yang menitik beratkan perkara ini. Manusia hidup dan makan mimun tanpa memandang akan besarnya kesan pemakanan terhadap diri, masyarakat dan generasi mereka. Mereka makan apa yang mereka mahu, mereka mengambil duit dari segala sumber haram seperti rasuah,  tanpa mempunyai sensitiviti dalam perkara halal haram.


2. Menggunakan wang pinjaman melalui sistem riba'.
Melihat  kepada situasi hari ini, semakin mudah untuk seseorang itu terlibat dengan amalan riba'. Bank-bank dan syarikat-syarikat insurans konvensional mengamalkan riba' dalam transaksi harian mereka.

Apabila individu mendapatkan pinjaman daripada bank-bank konvensional atau membeli produk-produk insurans daripada syarikat insurans konvensional, secara automatik individu tersebut akan terlibat dengan amalan riba'.
Riba' jika dilihat dari segi istilah bermaksud mengambil atau mengenakan tambahan ke atas harta atau nilai pokok atau modal secara batil. Ada beberapa pendapat dalam penjelasan makna riba'.

Secara umumnya riba boleh disimpulkan sebagai pengambilan tambahan, baik dalam transaksi jual beli mahupun pinjam-meminjam secara batil yang bertentangan dengan prinsip muamalat Islam.


3. Cenderung kepada kerja-kerja yang membawa kepada  zina.
Allah s.w.t melarang orang beriman untuk menghampiri zina, kerana zina adalah perbuatan yang terkutuk dan amat keji disisi Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t maksudnya :

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, (kerana) sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan membawa kerosakkan."
(Surah Al-Israk ayat 32)

Berdasarkan ayat ini apa sahaja perbuatan yang boleh membawa kepada gejala zina seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pendedahan aurat, membaca buku-buku dan majalah lucah, melawati laman-laman web lucah serta menonton VCD / DVD yang membangkitkan selera syahwat hukumnya adalah haram.


4. Salah satu perkara yang cenderung kepada perkara yang haram adalah perkara syubhat.
Rasulullah s.a.w.bersabda maksudnya : "Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terangjelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat makasesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya.

Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya.Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkaraperkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad.Ketahuilah ia adalah hati.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam al-Ghazali, barang halal itu datang kepada kamu hanya sekadar untuk menjadi bekalan sahaja. Seperti mana disebut oleh Nabi s.a.w., maksudnya;

“Sesungguhnya yang halal itu tiada datang kepada kamu, melainkan sekadar untuk menjadi bekal dan sekejab sahaja. Tetapi yang haram itu datang kepada kamu bertimbun-timbun”.

Banyak makan makanan syubhat menimbulkan was-was dalam hati. Sukar menghafal ilmu dan mudah lupa. Oleh sebab itu dalam hadis riwayat Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. mensifatkan, di antara halal dengan haram ada di tengahnya perkara syubhat. Walau pun perkara syubhat belum haram, tetapi ia lebih mendekati ke arah haram dan termasuk perkara larangan, bagai taman larangan kawasan istana. Kerana, siapa yang suka meniti di atas syubhat, lambat laun ia akan terjerumus kepada haram. Bagi orang wara’ perkara syubhat dijauhinya bagai menjauhi perkara haram.

Di dalam Islam banyak lagi perkara-perkara yang telah diharamkan oleh Allah s.w.t. Sesiapa saja dikalangan umat Islam yang hati dan jiwanya cenderung kepada melakukan perkara yang haram atau maksiat maka ianya adalah termasuk salah satu golongan yang sangat dimurkai Allah s.w.t.

|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|

Kedua : Golongan yang mengikut perbuatan jahilliah.

Islam datang kemuka bumi ini ketika masyarakat arab jahilliah dikuasai oleh peraturan, undang-undang dan amalan-amalan jahilliah. Mereka menentang ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w kerana ajaran Tauhid mengajak mereka menyembah kepada Allah s.w.t yang Maha Esa dan meninggalkan semua ajaran jahilliah yang mereka warisi daripada datok nenek moyang mereka.

Musuh-musuh Islam telah cuba memasukkan unsur-unsur jahiliah didalam kehidupan kita sehingga kita tidak dapat merasai nikmat kemanisan hidup dalam Islam. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Maidah ayat 50 yang bermaksud : "Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin (iman)".

Bagi orang-orang yang beriman, tidak ada hukum yang lebih baik melainkan yang diturunkan oleh Allah s.w.t., ini adalah tegasan dari Al-Qur'an. Tetapi mengapa ramai orang-orang Islam hari ini menolak hukum Allah dari segi praktiknya. Bagaimana untuk menilai keadaan ini?

Sesiapa yang meyakini hukum ciptaan mausia lebih baik daripada hukum-hukum Allah s.w.t dan mempertahankan pula undang-undang tersebut maka mereka adalah tergolongan dikalangan orang jahilliah. Semua undang-undang barat yang diambil oleh manusia untuk dijadikan peraturan sebenarnya undang-undang itu adalah undang-undang jahilliah iaitu undang-undang yang dilarang oleh Allah s.w.t untuk dipraktikkan dalam kehidupan.

Selain daripada undang-undang ciptaan manusia yang bertentangan dengan syariat Islam terdapat juga adat-adat yang bertentangan dengan ajaran Islam yang membawa kepada amalan kurafat dan syirik , contoh-contoh tersebut adalah seperti berikut :

1. Adat persandingan dalam perkahwinan dan tepong tawar .
2. Adat yang mengutamakan perempuan mendapat hak pembahagian harta pusaka lebih daripada lelaki (sah bertentangan dengan hukum faraid dalam Islam)
3. Buang ancak dilaut kononnya untuk keselamatan para nelayan dilaut.
4. Bernazar dengan meletakkan pulut kuning dan ayam panggang dikubur-kubur tertentu.
5. Menyemah darah kambing hitam digelanggang silat atau ditapak rumah baru.
6. Menggunakan tangkal-tangkal untuk menjaga diri.
7. Mempercayai bomoh-bomoh yang boleh mengetahui perkara-perkara ghaib, mengubati penyakit  dan menggunakan khidmat jin-jin kafir dan syaitan.

Jahiliah dahulu senang diketahui dan dikesan, tetapi jahiliah hari ini adalah jahiliah yang 'sophisticate' dan sukar dikenali kerana mereka bersembunyi di dalam kemajuan dan berlindung atas nama dan selogan Islam. Jahiliah sekarang ini, malah jahiliah disetiap zaman tetap akan menolak hukum Allah s.w.t. dan mereka boleh dikenali sebagai jahiliah dimana-mana sahaja di dunia ini di segenap lapisan masyarakat dan di setiap keadaan. Sesungguhnya jahiliah berada di segenap kemajuan sama ada pada fikiran, politik atau kemasyarakatan. Sesungguhnya kita dewasa ini telah dikongkongi oleh jahiliah yang amat teruk sekali sehingga apa yang kita anggap Islam telah pun di asaskan oleh jahiliah.

Jahiliah dan hawa nafsu mempunyai nilai atau hakikat yang sama. Apabila kita mengikut hawa nafsu, maka ia bermakna bahawa kita telah mengikut jahiliah. Mereka yang mengikut hawa nafsu enggan mengikut perinth Allah s.w.t. maka kedapatanlah jahiliah. Hawa nafsu tidak pernah bahkan tidak membawa manusia kepada iman dan Islam. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud ;" Mereka lebih suka kepada yang buta daripada petunjuk Allah".

Sesiapa saja yang mengamalkan ciri-ciri di atas sebenarnya ia telah termasuk di golongan kedua yang sangat dimurkai oleh Allah s.w.t. iaitu golongan yang mengikut perbuatan jahilliah.

|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|-|

Ketiga : Golongan yang orang membunuh orang lain tanpa hak. 

Dosa membunuh manusia lain tanpa hak adalah dosa yang sangat besar, kedudukannya adalah selepas syirik kepada Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“Dan barangsiapa yang membunuh searang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahannam , kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan azab yang besar baginya.”
(Surah An- Nisaa’ ayat 93)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa membunuh dengan senghaja itu akan dikenakan empat macam hukuman:
 (i) Berkekalan di dalam neraka Jahannam.
 (ii) Kemurkaan Allah.
 (iii) Dilaknat atau dikutuk hidupnya
 (iv) Azab yang sangat pedih dan keras yang akan disediakan oleh Allah baginya di akhirat.

Di antara hadis-hadis Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam yang mengancam tentang dosa dan hukum ke atas pembunuh ialah:

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : 

"Aku (Ubaidullah bin Abu Bakar) mendengar Anas bin Malik berkata: "Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah menyebut dosa-dosa besar (atau Baginda ditanya mengenai dosa-dosa besar) ", jawab Baginda: "Menyekutukan Allah, membunuh manusia dan derhaka kepada kedua ibu bapa. "
(Hadis riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam memberi peringatan tentang tujuh perkara yang membinasakan yang perlu dijauhi, di antaranya disebutkan:

Maksudnya: “… Membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan alasan yang benar.”(Hadis riwayat Muslim)

Di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, 'Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
 Maksudnya: "Sesiapa yang membunuh Mu 'ahad (orang yang telah mengikat persetujuan dengan pemerintah Islam), maka tidaklah si pembunuh itu akan mencium bau syurga. Sesungguhnya bau syurga itu (boleh dicium) sejauh perjalanan 40 tahun. "(Hadis riwayat Bukhari)

Jika seorang Muslim yang membunuh orang yang berlainan agama, yang telah mendapat perlindungan daripada pemerintah Islam, tidak akan mencium bau syurga, yang baunya boleh dicium dari jarak 40 tahun perjalanan, maka betapa halnya jika seseorang itu membunuh seorang Muslim.

Oleh sebab itulah ada di antara sahabat-sahabat Rasulullah yang berpendapat bahawasanya orang yang membunuh manusia dengan sengaja, bukan kerana menjalankan hukum dan bukan pula kerana keizinan membunuh di dalam peperangan, terutama membunuh seseorang Muslim, tidaklah akan diberi taubat oleh Allah.

Di antara yang berpendapat seperti ini ialah Ibnu Abbas Radhiallahu 'anhu. Walaupun pendapat ini dipertikai oleh jumhur ulama, namun perkara membunuh tanpa alasan yang dibenarkan oleh syara' adalah amat besar risikonya, termasuk tidak diterima taubatnya mengikut pendapat di atas. (Tafsir Al-Qurthubi: 332-334)

Ibnu Qayyim berkata di dalam kitabnya Al-Jawab Al-Kafi: "Setelah nyata bahawa kezaliman dan sifat permusuhan sangat bertentangan dengan keadilan, yang mana dengan keadilan itulah semua langit dan bumi ini ditegakkan oleh Allah, dan kerana sudah terang pula bahawa Allah Ta'ala mengutus rasul-rasulNya dengan diberi kitab-kitab suci untuk menegakkan keadilan di antara sesama manusia, maka kezaliman itu nyatalah termasuk yang sebesar-besar dosa besar, dan tingkat besarnya dosa itu ialah menurut besar bahayanya pada dirinya. Lantaran itu manusia yang membunuh anak yang kecil yang tiada berdosa adalah termasuk sekeji-keji kezaliman."(Al-Jawab Al-Kafi h. 150)

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Mas'ud disebutkan bahawasanya kes perbicaraan yang mula-mula sekali dihakimkan di Hari Kiamat ialah perkara darah (pembunuhan).

Pendeknya banyak lagi hadis lain yang mengecam perbuatan membunuh sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu'alaihi wasallam maksudnya: "Melenyapkan dunia ini lebih ringan bagi Allah daripada membunuh seorang Muslim."(Hadis Muttafaq 'alaih)

Dalam riwayat yang dibawa oleh Ibnu Majah disebut:Sabda Nabi s.a.w maksudnya: "Melenyapkan dunia ini lebih ringan ke atas Allah daripada membunuh seorang mukmin tanpa kebenaran hukum. "

Perbuatan membunuh tidak syak lagi adalah tidak berperikemanusiaan dan tidak bermoral. Dalam waktu yang sama, martabat kanak-kanak luar nikah yang mati itu telah dijadikan lebih hina daripada binatang, kerana binatang yang mempunyai tuan, apabila ianya mati biasanya akan ditanam. Di zaman jahiliah, sebelum kedatangan Islam, kanak-kanak perempuan dibunuh dalam keadaan mereka ditanam hidup-hidup ertinya dikubur dan tidak dibiarkan, seperti terbiarnya kanak-kanak luar nikah dibunuh dan dibiarkan begitu sahaja. 
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “ Orang yang mati terbunuh , akan datang di hari kiamat dengan mengantungkan kepalanya di salah satu tangannya , sambil memegang pembunuhnya dengan tangan yang lain , sedang darah terus mengalir. Apabila mereka berdua sudah ada di hadapan Allah, maka orang yang terbunuh itu berkata : Ya Allah, inilah orang yang telah membunuh aku. Maka Allah berkata kepada sipembunuh : Celakalah engkau, lalu di bawalah orang itu ke neraka.”

Jauhi api neraka

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita jauhi diri kita daripada tiga golongan yang sangat dimurkai Allah s.w.t di dunia dan hari akhirat iaitu golongan  yang cenderung kepada perkara yang haram, orang yang mengikut perbuatan jahilliyah dan orang membunuh orang lain tanpa hak.

Apakah kita sanggup hidup dengan kemurkaan Allah di dunia ini? dan mendapat azab yang sangat pedih di hari akhirat nant? Jila kita takut dan tak sanggup menanggung azab sengsara yang berat dan hebat maka tinggalkanlah perkara dosa dan maksiat dan perbuatan yang ditegak oleh Allah s.w.t. Kembalilah kepada Islam dan ajarannya dan hiasilah hidup kita dengan amal-amal soleh dan akhlak yang mulia. Mohonlah keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Bertaubat sebelum terlambat

No comments: