Pages

Friday, October 29, 2010

Ubah suai bas keliling dunia



GELANG PATAH – Mengubahsuai sebuah bas sekolah yang sudah berusia lebih 21 tahun, seorang jurutera dan wartawan bebas warga England berhasrat untuk menyampaikan mesej kepada dunia dalam usaha mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida (CO2) menjelang 2050. 

Dalam siri penjelajahannya itu, Andy Pag, 35, mengelilingi 15 negara bermula England, Perancis, Switzerland, Itali dan beberapa Negara di Asia dan singgah ke Malaysia menggunakan bas berkenaan yang dipandunya sendiri. 

“Pengembaraan ini bukan satu ekspedisi biasa, sebaliknya saya mahu menyampaikan mesej kepada dunia untuk mengurangkan pembebasan CO2 dengan purata kurang daripada 2 tan setiap orang,” katanya. 

Menurutnya, penjelajahan dinamakan sebagai ‘biotruckexpedition’ bermula sejak September 2009 membabitkan kira-kira 22,500km perjalanan melalui darat dengan menggunakan bas sekolah berkenaan yang diubah suai termasuk penggunaan enjin dan bahan bakar. 

“Dengan modal serendah 500 pound saya menggunakan pengetahuan sebagai seorang jurutera mekanikal mengubahsuai enjin bas selain bahan bakar daripada fosil diesel kepada minyak sayuran dan penggunaan sistem solar,” katanya. 

Katanya, enjin bas berkenaan mempunyai kapasiti mencecah 1,500 liter bahan bakar membolehkan perjalanan dilakukan sehingga 8500 kilometer termasuk pelepasan CO2 pada kadar minimum. 

“Tidak sukar untuk mendapatkan minyak sayuran sebagai bahan bakar malah harganya juga jauh lebih murah berbanding lain seperti petrol dan diesel namun pengubahsuaian enjin termasuk menggunakan penapis khusus perlu dilakukan terlebih dahulu,” katanya. 

Bukan sahaja enjin bas digunakan dianggap mesra alam sekitar malah ruang dalam kenderaan itu turut diubah menggunakan konsep eco-kediaman melalui penggunaan bahan-bahan kitar semula selain dianggap lebih ekonomi.

No comments: