Pages

Friday, October 29, 2010

Prestasi saham syariah atasi saham konvensional


KIAN BERKEMBANG: Saham-saham berlandaskan syariah menunjukkan prestasi positif dengan indeks DJIM Turkey mencatatkan kenaikan tertinggi mencerminkan usahanya mengembangkan perbankan Islam. -- Foto fail

Didorong aliran dana $16.9 bilion bulan lalu

Oleh
Atiyyah Mohd Said

DANA saham berlandaskan syariah mencatatkan prestasi lebih baik berbanding dengan dana konvensional pada bulan lalu dengan didahului pasaran saham Turkey.
Ini berdasarkan laporan terkini Indeks 100 Titans Pasaran Islam Dow Jones (DJIM) yang mengukur 100 saham syariah terbaik di dunia, yang meningkat 4.58 peratus pada sesi dagangan yang berakhir pada 15 Oktober.Ia merupakan kenaikan lebih tinggi berbanding kenaikan 3.77 peratus bagi Indeks 50 Titans Sejagat yang mengukur saham 50 syarikat terbesar di dunia.Mengetuai kenaikan itu adalah Indeks DJIM Turki yang tumbuh 12.38 peratus, disusuli dengan Indeks DJIM China Offshore yang meningkat 10.37 peratus, serta Indeks DJIM Pasaran Kewangan Dubai yang naik 5.88 peratus.Pengarah Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) Timur Tengah dan Asia Tengah, Dr Masood Ahmed, berkata prestasi menggalakkan tersebut disebabkan oleh aliran dana yang semakin meningkat.'Aliran bersih bulanan ke dana ekuiti pasaran baru telah meningkat secara konsisten dan mencapai lebih AS$13 bilion ($16.9 bilion) pada September - jumlah bulanan tertinggi dalam masa tiga tahun,' ujar Dr Masood.Mengulas prestasi pasaran saham Turkey dalam komentar bulanannya, wartawan kewangan bersama Moneycab.com di Dubai, Encik Gerard Al-Fil, berkata ia mencerminkan usaha Turkey membangunkan industri perbankan Islamnya.'Penyertaan bank Kuveyt-Türk dari Istanbul, yang 100 peratus berlandaskan syariah, adalah institusi kewangan Islam pertama membuka cawangan perbankan runcit di Jerman Barat baru-baru ini,' katanya sambil menambah 1.7 juta warga Turkey menetap di Jerman.Laporan itu mendapati kesemua indeks Islam tumbuh kecuali Indeks DJIM Amana Sri Lanka yang menjunam 7.63 peratus.Pasaran lain yang menunjukkan prestasi positif adalah Indeks DJIM Thailand yang naik 5.69 peratus; Indeks DJIM Singapura, yang meningkat 5.39 peratus, dan Indeks DJIM Pakistan, yang tumbuh 4.58 peratus.Di pasaran Timur Tengah pula, Indeks DJIM Kuwait meningkat 4.41 peratus manakala Indeks DJIM Majlis Kerjasama Teluk (GCC) tumbuh 3.41 peratus.Tiga sektor yang menunjukkan prestasi terbaik adalah bahan asas, perusahaan dan teknologi yang masing-masing melonjak 6.69 peratus, 5.15 peratus dan 4.56 peratus.Sementara sektor perbekalan awam, khidmat pengguna dan telekomunikasi paling corot dengan kenaikan hanya 1.07 peratus, 1.85 peratus dan 2.27 peratus.Encik Gerard juga menarik perhatian bahawa terdapat khabar angin di Dubai bahawa tiga bank Islam - Emirates Islamic Bank (EIB), Dubai dan Noor Islamic Bank - akan bergabung untuk membentuk bank Islam yang terbesar. Ini bagaimanapun dinafikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif EIB.'Walau apa pun, proses konsolidasi akan terus menjadi topik hangat dalam pasaran kewangan global dan sektor kewangan Islam yang sangat berpecah-pecah dan akan menyaksikan lebih banyak penggabungan dan pemerolehan pada tahun depan,' ujar beliau lagi.

No comments: