Pages

Friday, October 29, 2010

Mayat gadis dalam beg dihumban ke longkang


Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my
2010/10/29

 MAYAT   gadis belasan tahun  dalam  bagasi ditemui di belakang bengkel kereta di Ukay Perdana, Ulu Klang, petang semalam.
MAYAT gadis belasan tahun dalam bagasi ditemui di belakang bengkel kereta di Ukay Perdana, Ulu Klang, petang semalam.
Polis percaya mangsa dibunuh beberapa jam sebelum ditemui 

KUALA LUMPUR: Mayat seorang gadis belasan tahun dipercayai dibunuh dan disumbat ke dalam beg pakaian ditemui di tepi longkang besar belakang sebuah bengkel kereta di Ukay Perdana di sini, petang semalam.
Mayat mangsa yang lengkap berpakaian gaun biru, tidak berkasut dan dalam keadaan merengkuk ditemui seorang lelaki yang juga pekerja bengkel kereta itu ketika melalui kawasan berkenaan pada jam 3.30 petang.
Turut ditemui di dalam beg itu bersama mayat mangsa ialah beberapa pakaian, termasuk jeans, tuala dan seluar dalam wanita, semuanya dipercayai milik mangsa. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata setakat ini polis belum mengenal pasti identiti mangsa, malah belum ada laporan kehilangan gadis dilaporkan di daerah ini. 

“Kita percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya disumbat ke dalam beg pakaian dan dibuang di kawasan ini. 

“Berdasarkan keadaan mayat yang masih elok dan tidak berbau, kita percaya dia baru (beberapa jam sebelum ditemui) dibunuh. 
“Siasatan awal mendapati ada kesan lebam di leher dipercayai dicekik. Polis jumpa sehelai kertas di dalam beg itu tertera nama beberapa lelaki dipercayai warga Indonesia,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, petang semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pekerja bengkel yang menemui beg itu mendakwa dia membukanya selepas mendapati ia berat apabila ditendang dan menyangka ia mengandungi wang. 

“Apabila membukanya, dia terkejut melihat mayat di dalamnya, lalu menghubungi polis,” katanya. 

Abdul Jalil berkata, polis juga belum dapat mengenal pasti bangsa remaja perempuan itu, tetapi berkulit sawo matang, bertubuh sederhana dan berambut lurus mencecah bahu. 

“Polis juga tidak menemui sebarang senjata dalam beg itu atau kawasan berhampirannya. Buat masa ini kita mengklasifikasikan kes ini sebagai bunuh dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

“Kita juga masih menyiasat punca kematian selain kemungkinan ada kesan kecederaan pada tubuh mangsa. Orang ramai yang kehilangan keluarga diminta menghubungi polis,” katanya.

No comments: