Pages

Wednesday, October 27, 2010

Jangan Tertipu Kenikmatan Dunia



KELAZATAN SYURGA BOLEH DIPEROLEH MELALUI AMAL SALIH, IMAN DI HATI……
SETIAP orang mesti mempunyai impian. Mungkinkah impian itu tercapai di dunia ini?
Apakah ada lagi yang lebih hebat daripada itu semua?
Percayalah sebenarnya dunia adalah tempat segala kekurangan.
Jika anda kaya tidak semestinya anda bahagia.
Yang ramai anak belum tentu lebih bahagia daripada yang tiada anak.
Beristeri cantik bukan jaminan hati boleh senang mungkin lebih membuat anda resah dan gelisah.
Sesungguhnya dunia tidak sempurna dan
Siapakah agaknya di dunia ini yang terlepas daripada musibah dan ujian?
Semua insan mesti merasai sakit, susah, putus asa dan gagal.
Di manakah kita boleh terlepas daripada ketidaksempurnaan ini?
Tempat itu ialah di syurga Allah, destinasi yang pelik tetapi benar!
Yang tak pernah ada seorang pun melihatnya kerana terlalu cantik.
Tiada telinga yang pernah mendengarnya kerana banyak rahsia kehebatannya.
Tiada pernah hati berasa kerana tempat ini terlalu ajaib.
Tidak dapat dibandingkan dengan dunia yang murah dan tidak bernilai.
Pada suatu hari Rasulullah SAW pernah berjalan bersama sahabatnya
Mereka melihat bangkai seekor kambing yang dikerumuni lalat kerana bau busuk.
Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Dunia tidak ubahnya seperti bangkai ini di sisi Allah.”
Bolehkah kita bandingkan kenikmatan dunia dengan kesempurnaan syurga Allah?
Jauh sekali penilaiannya.
Terlalu singkat akal orang yang mahukan hidup di dunia sepuas-puasnya kerana dia tidak akan pernah puas di atas tempat yang penuh dengan kekurangan ini.
Orang bijaksana tidak akan tertipu dengan kenikmatan dunia yang bagaikan fatamorgana.
Kalau pun ada ia sangat singkat dan bagaikan pukauan saja.
Carilah bahagia yang kekal abadi dan nikmat tertinggi serta kelazatan yang tidak ternilai.
Seperti hadis Rasulullah SAW menceritakannya:
“Ada batu bata daripada emas,
Ada batu bata daripada perak,
Catnya minyak kasturi yang harum,
Kerikilnya mutiara dan yakut, dan pasirnya safran.
Siapa yang memasukinya akan merasai nikmat,
tidak bersedih hati,
kekal dan tidak mati,
bajunya tidak basah dan
keremajaannya tidak sirna.”
(Hadis Riwayat Imam al-Tirmizi, Ahmad, Ibnu Hibban, al-Darimi dan Ibnul Mubarak). Sabdanya lagi:
“Golongan pertama kali masuk syurga bagaikan rembulan pada malam purnama,
yang berikutnya bagaikan bintang berkilauan yang cahayanya paling terang.
Mereka tidak membuang kotoran, tidak membuang hingus dan tidak meludah.
Sikat rambut mereka terbuat daripada emas,
keringat mereka berbau kasturi. Pendupaan mereka kayu gaharu yang harum.
Isteri mereka bidadari, Akhlak mereka sama.
Bentuk mereka sama seperti bapa mereka Adam yang tingginya enam puluh hasta menjulang ke langit.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Bukankah syurga itu impian yang paling baik?
Cita-cita yang paling hebat dan angan-angan yang paling indah.
Satu bentuk kejayaan yang tiada bandingannya.
Apabila malaikat melaporkan perbuatan hamba-hamba Allah dalam satu majlis zikir.
Allah bertanya, padahal Dialah yang Maha Mengetahui: “Apakah yang mereka minta?”
Malaikat menjawab: “Syurga-Mu ya Allah.”
Allah bertanya: “Apakah mereka melihat syurga-Ku?”
Malaikat menjawab: “Tidak, ya Allah.
Allah bertanya: “Bagaimana jika mereka melihat syurga-Ku?
Malaikat menjawab: “Sudah tentu mereka bertambah tamak beribadat dan memintanya dengan penuh kesungguhan.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Bagaimana dengan kita yang masih diulit mimpi mengharap dunia yang tidak berharga ini?
Mengejar ke seluruh penjurunya hingga lupa tanggungjawab diri, anak dan isteri.
Sukakah kita terus ditipu hingga melupakan syurga, kampung halaman kita suatu ketika dulu?
Belajarlah daripada Asiah, seorang isteri yang beriman hingga sanggup meninggalkan segalanya untuk mendapatkan sebuah rumah di syurga.
Jika anda lapar dan haus ketika berpuasa, ingatlah kesabaran itu semata-mata untuk mendapatkan rumah anda di syurga.
Jika rasa hati disakiti, buat apa berdendam kerana esok kenikmatan syurga akan menghapuskan kesakitan itu.
Jika letih menjadi isteri di sisi suami yang cerewet dan anak yang mengganggu kesenangan,
cubalah bersabar untuk mendapatkan ganjaran berada di sebuah rumah, seperti rumah Asiah.
Dan memiliki setalam hidangan seperti hidangan Khadijah yang dikirim khas dari dapur syurga.
Semua diperoleh dengan amal salih dan iman di hati.
Jika anda merancang kehidupan yang sempurna di dunia,
kenapa tidak merancang kehidupan yang sempurna sampai ke akhirat?
Padahal di sanalah puncak kebahagiaan kita.sumber

No comments: