Pages

Wednesday, October 27, 2010

Jacko terima pendapatan tertinggi



NEW YORK 26 Okt. - Kematian mengejut Michael Jackson menyebabkan seluruh dunia bersedih, namun tindakan peminat-peminatnya berbelanja meratapi pemergian Raja Pop itu menjadikannya selebriti yang memperolehi pendapatan tertinggi selepas meninggal dunia dengan memperolehi pendapatan berjumlah AS$275 juta (RM851 juta).
Menurut majalah Forbes, Jackson meraih pendapatan melebihi hasil gabungan pendapatan 12 selebriti lain.
Pada tahun lalu, Jackson menduduki tangga ketiga dengan pendapatan berjumlah AS$90 juta (RM279 juta).
Elvis Presley menduduki tangga kedua senarai selebriti berpendapatan tinggi tahun ini berjumlah AS$60 juta (RM186 juta).
Pendapatan itu hasil bayaran masuk ke kediamannya, Graceland yang kini menjadi muzium dan tarikan pelancong di Memphis, Tennessee, rancangan Cirque de Soleil dan pemberian lebih 200 lesen serta persetujuan penjualan barangan.
"Jackson yang menduduki tangga teratas tidak mengejutkan kami ekoran semakin ramai peminat kembali meminati muzik, video dan semua barangan Jackson," kata penulis Forbes, Lacey Rose.
Jackson berusia 50 tahun meninggal dunia di kediamannya di Los Angeles pada 25 Jun tahun lalu sejurus sebelum mengadakan siri konsert jelajah di London.
Penyanyi itu meninggalkan tiga orang anak dan hutang berjumlah AS$500 juta (RM1.5 bilion).
Namun, hartanah miliknya menjana berjuta-juta dolar selepas kematiannya, kebanyakan melalui jualan filem konsert This Is It, pemberian lesen, perjanjian mengeluarkan album baru dan rancangan Cirque du Soleil di Las Vegas.
"Hasil jualan katalog yang menguntungkan, filem-filem hit dan jualan album, pendapatan bekas Raja Pop itu lebih banyak daripada hasil gabungan pendapatan Lady Gaga, Madonna dan Jay-Z," kata Rose.
Penulis novel The Lord of the Rings, J.R.R. Tolkien di mana hasil tulisannya itu dijadikan filem oleh pengarah Peter Jackson menduduki tangga ketiga carta dengan pendapatan berjumlah AS$50 juta (RM155 juta).
Sementara itu, Charles Schulz yang mencipta watak Charlie Brown dan Snoopy menduduki tangga keempat dengan pendapatan berjumlah AS$33 juta (RM102 juta).
Bekas anggota kumpulan Beatle, John Lennon pula berada di tangga kelima dengan pendapatan berjumlah AS$17 juta (RM53 juta). - Reuters

No comments: