Pages

Wednesday, October 27, 2010

Jangan Tertipu Dengan Diri Sendiri




Dalam dunia ini,entah berapa ramai manusia yang telah menipu dan ditipu.Dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar perkara,manusia yang telah tenat hatinya pasti akan menipu untuk mendapatkan sesuatu yang ingini.Namun,manusia tidak menyedari bahawa perbuatan tersebut sebenarnya bukan hanya menipu orang lain sebaliknya telah menipu diri mereka sendiri.Hal ini telah dinyatakan sendiri dalam al-Quran yang telah menempelak golongan munafik yang mengaku mereka beriman sedangkan hati mereka sebenarnya kufur.Mereka menyangka mereka dapat menipu Allah dan orang-orang beriman sebaliknya mereka telah menipu diri sendiri tanpa mereka sedari.
Dan di antara manusia ada yang berkata,’Kami beriman kepada Allah dan hari akhirat’,padahal sesungguhnya mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.Mereka menipu Allah dan orang-orang beriman,padahal mereka hanyalah menipu diri sendiri tanpa mereka sedari(surah al-Baqarah,ayat 8-9)
Dunia Lebih Baik Daripada Akhirat?
Persoalan di atas merupakan satu titik pemahaman yang telah banyak mengelirukan manusia secara amnya.Jika kita tanya mereka yang masih belum Islam,mana yang lebih baik antara dunia dan akhirat,sudah pasti mereka akan memilih dunia.Mereka mengatakan:dunia itu umpama an-naqd(duit) dan akhirat itu an-nasiiah(delay of payment),dan an-naqd itu lebih baik daripada an-nasiiah,lalu mereka membuat kesimpulan bahawa dunia itu lebih baik daripada akhirat.
Kesimpulan yang mentah ini sebenarnya tidak tepat.Mana mungkin dunia itu lebih baik daripada akhirat kerana sebagaimana yang telah dipercayai oleh kita sebagai orang Islam bahawa umur manusia atas dunia ini sejak dia lahir sehingga dia mati sekalipun jika hendak dibandingkan dengan tempoh masa di akhirat umpama satu juzuk yang kecil daripada seribu juzuk yang begitu besar.Begitu juga an-naqd tidak akan dianggap lebih berharga daripada an-nasiiah melainkan ia sama dengan an-nasiiah.Hakikatnya an-naqd dan an-nasiiah ialah dua benda yang berbeza.
Hal inilah sebenarnya yang telah menipu hati orang-orang yang masih belum memeluk Islam.
Orang Yang Membuat Maksiat Telah Tertipu
Orang Islam juga tidak terlepas daripada persoalan awal yang ditimbulkan di atas.Ada sebahagian orang Islam yang bergelumang membuat perkara-perkara maksiat menyangkakan mereka akan selamat di akhirat kelak.Mereka mengatakan:”Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah,dan kita bermohon atas keampunannya”.
Sebahagian mereka yang kaya mungkin menyangka bahawa dengan sedekah mereka berjuta-juta ringgit dapat memberatkan timbangan amalan kebajikan melebihi amalan kejahatan seterusnya menyelamatkan azab Allah di hari akhirat kelak.Mereka mengharapkan keampunan Allah tetapi dalam masa yang sama mereka tidak takutkan azab dan balasan Allah.
Kata Ulama:”Sesiapa yang berharapkan sesuatu akan berusaha mendapatkannya,dan sesiapa yang takutkan sesuatu akan berusaha menjauhkan diri daripadanya,dan sesiapa yang mengharapkan keampunan(dari Allah) tetapi dalam masa yang terus-menerus dalam perkara dosa,ketahuilah bahawalah dia telah tertipu(dengan diri sendiri)
Bersama Rahmat Allah Adanya Azab Allah
Ramai yang menyangka bahawa rahmat Allah hampir dengan diri mereka.Tetapi tidakkah mereka tahu bahawa di dunia ini Allah telah uji hamba-hambaNya dengan pelbagai ujian dan kesakitan dan menghilangkan semua itu setelah beberapa ketika.Semua ini menunjukkan bahawa bersama rahmat Allah adanya azab Allah.Maka,bagaimana kita semua tidak takut kepada-Nya?
Ingatlah,rahmat Allah itu hampir kepada orang-orang berbuat kebaikan dan azab Allah itu begitu dekat dengan mereka yang berbuat kezaliman atas muka bumi ini.
Rasa Takut Dan Mengharap
Ketahuiah bahawa setiap individu Muslim semestinya memiliki dua rasa ini sekaligus dalam satu masa iaitu rasa takut dan mengharap.Perasaan inilah yang akan memandu manusia ke arah amal.Amal untuk menghindarkan diri daripada azab api neraka dan mendekatkan diri dengan nikmat syurga firdausi.
Namun,sekiranya perasaan ini gagal membawa kepada amal sebegini,maka pada masa itu perasaan tersebut sebenarnya telah menipu diri mereka sendiri.Mereka hakikatnya tidak takut dan tidak berharap.
Satu fenomena yang melanda umat Islam pada hari ini yang mana mereka hanya mempunyai perasaan mengharapkan rahmat dan keberkatan Allah tanpa ada sekelumit perasaan takut akan neraka Allah.Maka,dengan perasaan mengharap yang menggunung tinggi inilah yang telah menyebabkan mereka lari meninggalkan kewajipan dan kefardhuan yang telah diwajibkan ke atas mereka dan terus-menerus menambah perbuatan mungkar dan maksiat kepada Allah.
Bagaimana Generasi Awal Beramal?
Nabi s.a.w. pernah bersabda:”Sebaik-baik manusia adalah pada kurunku(sahabat),kemudian selepas daripadanya(tabiin),kemudian selepas daripadanya(tabi’ tabiin)“.
Maka cuba lihat bagaimana mereka semua beramal?Walaupun mereka merupakan golongan yang terbaik dalam sejarah umat Islam dan telah dijanjikan dengan syurga(yakni sahabat Nabi s.a.w.),namun tetap takut akan azab Allah.Mereka terus-menerus berjihad pada jalan Allah dan menyebarkan dakwah Islam ke seluruh pelusuk dunia.
Renungilah kata-kata Saidina Umar r.a.:”Jika semua orang masuk ke syurga kecuali seorang,kubimbang seorang itu ialah aku“.Jika Umar r.a. sebagai seorang sahabat Nabi s.a.w. dan khalifah umat Islam boleh menyimpan perasaan takut dan bimbang sedemikian rupa,apatah lagi kita?
Namun,apa yang menghairankan kita pada hari ini,kebanyakan umat Islam pada hari ini langsung tidak mempunyai sifat takut akan azab Allah malah merasa selamat dan tenteram  dengan kelodak dosa yang dilakukan dan buihan kebaikan yang kesamaran.Adakah mereka menyangka bahawa mereka lebih mengetahui tentang rahmat Allah daripada para nabi dan orang-orang soleh?Jika rahmat Allah itu boleh diperolehi dengan sekadar angan-angan dan harapan,maka mengapakah golongan-golongan awal yang membawa bendera Islam berpenat lelah di siang hari berdakwah dan menangis di malam harinya?
Hakikat mereka yang merasa aman dengan dosa tidak ubah seperti ahli kitab.Al-Quran telah merakamkan kalam ahli kitab yang bermaksud:
Maka datanglah sesudah mereka generasi (yang jahat) yang mewarisi Taurat, yang mengambil harta benda dunia yang rendah ini, dan berkata: “Kami akan diberi ampun.“(surah al-A’raaf,ayat 169)
Sumber:Rujukan dan terjemahan daripada kitab Mukhtasar Minhajul Qasidin tulisan al-Imam Ahmad b. Abd Rahman b. Qudamah al-Maqdisi r.h.(lebih dikenali dengan Ibn Qudamah al-Maqdisi r.h.).Namun,terdapat sedikit tambahan,ulasan dan olahan daripada penulis.
Lihat dua klip video ini untuk melihat bagaimana dokumentari ini(kli video pertama) telah menipu kita.Hakikatnya,begitulah dunia telah menipu kita.sumber

No comments: