Pages

Thursday, October 28, 2010

Indonesia bergelut dua bencana

282 mati kejadian tsunami dan gempa bumi; 28 maut gunung berapi

JAKARTA: Indonesia bertungkus-lumus menangani tiga bencana alam sekali gus semalam dengan usaha membantu mangsa terselamat dan mencari mayat mangsa tsunami di kepulauan Mentawai dan mereka yang tertimbus dalam debu muntahan lahar Gunung Merapi di Jawa Tengah.



  • Foto
    SUKARELAWAN mengusung mayat mangsa letupan Gunung Merapi di Kinahrejo, Yogyakarta, Indonesia.

Foto

Foto
SUKARELAWAN mengusung mayat mangsa letupan Gunung Merapi di Kinahrejo, Yogyakarta, Indonesia.
Foto



PASUKAN mencari dan menyelamat berusaha mengeluarkan mayat diseliputi debu lahar selepas letupan Gunung Merapi di kampung Pakem di Sleman, Yogyakarta, semalam.


Kelmarin, Gunung Merapi di Jawa Tengah meletus dan memuntahkan lahar dan debu beracun, menyebabkan sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh.
Pesawat dan helikopter yang membawa pekerja penyelamat dan bekalan bantuan mendarat buat kali pertama semalam di kawasan terpencil di kepulauan Mentawai yang dilanda gelombang besar setinggi hingga tiga meter, menghanyutkan kampung, menyebabkan sekurang-kurangnya 282 orang terbunuh dan 411 lagi masih hilang.

Pasukan menyelamat yang menjalankan kerja mencari melihat kawasan luas yang ditenggelami air, manakala rumah roboh dilanda gelombang besar.

Dua hari selepas gempa bumi dengan kekuatan 7.7 mencetuskan gelombang tsunami, angka kematian semakin meningkat ketika penyelamat yang berdepan pelbagai kesukaran, akhirnya berjaya tiba di kepulauan Mentawai yang paling hampir dengan pusat gempa dan paling teruk terjejas.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono memendekkan lawatan beliau ke Vietnam dan kembali ke tanah air bagi menangani bencana besar yang melanda dalam tempoh 24 jam.
“Saya mahu memastikan usaha menghulurkan bantuan kecemasan dapat dijalankan dengan lancar. Saya mahu melihat sendiri keadaan mangsa,” kata Susilo kepada wartawan di Hanoi.

Semalam, pegawai pengurusan bencana, Ade Edward berkata angka kematian gempa bumi dan tsunami dianggarkan 282 orang manakala 412 orang masing hilang.
Beliau berkata penyelamat yang tiba semalam menerima maklumat terbaru angka kematian daripada ketua kampung.

Gempa bumi dan letusan gunung berapi berlaku di kawasan yang berada pada kedudukan dikenali Lingkaran Api Pasifik yang kerap terbabit dengan gempa bumi dan letusan gunung berapi menganjur dari Hemisfera Barat melalui Jepun dan Asia Tenggara.

Ombak besar dan cuaca buruk menjejaskan operasi bantuan menyebabkan penduduk terpaksa melindungi diri sendiri.

Ketua daerah, Edison Salelo Baja berkata, tanpa tenaga yang cukup untuk menggali kubur, banyak mayat kini terbiar dan bergelimpangan di pantai serta di tepi jalan raya.

Beliau berkata pesawat kargo pertama dengan muatan 16 tan khemah, ubat, makanan dan pakaian tiba tengah hari semalam. Empat helikopter juga mendarat di Sikakap, sebuah bandar di pulau Pagai yang dijadikan pusat operasi bantuan.

“Akhirnya cuaca buruk berakhir. Kini kami berpeluang mencari mangsa terselamat dari pesawat dan dapat membaut anggaran kerosakan akibat bencana alam ini,” katanya.

Sementara itu, pegawai bencana meneruskan usaha untuk tiba di berpuluh kampung di kepulauan Mentawai, sebuah destinasi pelancongan popular yang memerlukan 12 jam perjalanan menggunakan bot.

Bagaimanapun, ketua pusat krisis Kementerian Kesihatan Mujiharto berkata, beratus-ratus beg mayat sudah dihantar ke kawasan itu berikutan lebih banyak mayat dijangka ditemui.

No comments: