Pages

Thursday, October 28, 2010

30 disahkan terbunuh



PARA sukarelawan memeriksa dari rumah ke rumah bagi mencari mangsa-mangsa yang hidup atau terkorban di kediaman Mbah Marijan di Kampung Kinahrejo di Sleman, dekat Yogyakarta,semalam. Letusan gunung tersebut kelmarin, telah mengorbankan 30 orang dan mengakibatkan harta benda, haiwan ternakan dan tumbuh-tumbuhan musnah dan dilitupi debu putih semalam. - REUTERS


YOGYAKARTA 27 Okt. - Angka kematian akibat letusan Gunung Merapi meningkat kepada 30 orang hari ini.
"Setakat ini 30 terbunuh dengan kebanyakan dari mereka melecur 45 hingga 90 peratus dan dilitupi debu gunung berapi," kata jurucakap hospital Sardjito di Yogyakarta, Banu Hermawan.
Tiada letusan direkodkan sejam semalam apabila Gunung Merapi memancutkan gas dan lahar ke angkasa sekurang-kurangnya 10 kali, kata pakar pihak kerajaan.
Pakar volkanologis, Surono berkata, itu tidak bermakna keadaan sudah selamat dan penduduk diminta tidak berpindah keluar dari tempat perlindungan.
Pihak berkuasa menyelamatkan banyak nyawa selepas mengarahkan beribu-ribu penduduk berpindah dari zon bahaya dalam lingkungan 10 kilometer pada Isnin lalu, selepas meningkatkan paras amaran Gunung Merapi kepada merah.
Pegawai menyatakan hampir 29,000 orang kini berada di tempat perlindungan sementara di sekitar bandar Yogyakarta namun nasib beribu-ribu lagi penduduk yang enggan berganjak dikhuatiri.
"Kira-kira 6,000 hingga 7,000 penduduk masih berada di kaki Gunung Merapi dalam lingkungan 10 kilometer dari puncak. Kebanyakannya tidak mengambil kisah tentang hal ini dan merasakan gunung berapi itu tidak akan meletus.
"Malah jika meletus sekalipun, mereka berpendapat kediaman mereka tidak akan terjejas," kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana, Priyadi Kardono.
Gunung Merapi setinggi 2,914 meter yang terletak 400 kilometer di timur Jakarta, adalah gunung berapi paling aktif daripada 69 gunung berapi yang mempunyai sejarah letusan di Indonesia.
Letusan kali terakhir pada Jun 2006 mengorbankan dua orang namun letupan paling banyak meragut nyawa berlaku pada 1930 dengan angka kematian melebihi 1,300 orang. Awan panas daripada satu lagi letusan pada 1994 membunuh lebih 60 orang. - AFP

No comments: