Pages

Sunday, October 3, 2010

'Ambillah anak kami'



TERPAKSA berlindung di Kewaja dan berjauhan daripada keluarga sehingga bersalin, Maya menyesal kerana terlalu mengikutkan gelora nafsu.


“KALAU ibu saudara saya tidak datang mencari saya di Mentakab, mungkin saya sudah menggugurkan kandungan.
“Nasib baik juga saya tidak tahu saya sudah hamil sebelum dia bawa saya balik ke kampung di Kuantan,” keluh Rita, 23, yang dijejak ibu saudaranya setelah lima bulan tidak pulang menjenguk ibunya yang menghidap sakit jantung.
Anak kelahiran Kuantan, Pahang itu meninggalkan ibu dan adik-beradiknya yang lain untuk mencari rezeki di Mentakab. Tanpa diduga, rezeki lain yang dicari, rezeki lain pula yang mendatang.
Sudah tiga tahun mengenali bekas teman lelakinya, tidak ada apa-apa yang berlaku antara mereka.
Hanya setelah bebas daripada kawalan ibu bapa dan berlesenkan alasan bekerja, mereka akhirnya tumpas dek godaan nafsu.
Pertama kali menyedari dirinya hamil, kandungan Rita sudah pun mencecah lima bulan.
Sakit jantung
“Saya tiada sebarang alahan, jadi tidak sangka saya hamil. Lagipun itu kali pertama kami terlanjur.
“Hanya setelah ibu saudara saya tegur tentang perubahan bentuk badan, barulah saya menjalani pemeriksaan dengan bidan kampung dan disahkan hamil lima bulan,” dedahnya.
Biarpun benih cinta yang tersemai di dalam tubuhnya melambangkan penyatuan dua jiwa yang saling mencintai, perutnya yang semakin membesar tanpa sebarang ikatan sah itu bagaimanapun dirasakan seperti sedang menghimpitnya.
“Bekas teman lelaki menghilangkan diri sebaik saja saya balik ke Kuantan. Bermacam-macam cara saya lakukan untuk menghubunginya. Saya mahu memberitahunya tentang kehamilan ini.
“Adiknya yang dulu rapat dengan saya juga seperti cuba menyembunyikan dia daripada saya. Sedangkan keluarga kenal rapat dengannya,” kongsi Rita.
Keadaan tenggelam punca seperti itu tidak elok untuk kandungannya.
Ibu saudara Rita kemudian menasihatinya supaya melupakan dahulu usaha mencari bekas teman lelakinya dan memberi sepenuh perhatian pada kehamilannya.
Rita dihantar abang dan ibu saudaranya ke Kem Modal Insan Kewaja di Gombak, Selangor.
“Kehamilan ini dirahsiakan ibu saudara dan abang saya daripada emak dan ahli keluarga yang lain memandangkan emak menghidap sakit jantung,” kata Rita yang usia kandungannya kini hampir tujuh bulan.
Sayang
Bergenang kelopak matanya setiap kali menyebut ‘emak’. Sudahlah tidak dapat memeluk dan mencium tangan emak pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu, dalam beberapa bulan saja lagi Rita perlu mempersiapkan diri untuk ‘melepaskan’ kandungan yang semakin hari semakin disayanginya itu.
“Pada awalnya saya ada niat untuk menjaga bayi ini. Iyalah, siapa yang tidak sayangkan anak.
“Sayalah orang yang paling gembira apabila dapat merasakan bayi dalam kandungan bergerak. Ia menandakan anak saya sihat.
“Tetapi setelah dinasihati abang, saya akur. Saya perlu memikirkan masa depannya. Saya tak mahu dia menjadi mangsa pandangan serong masyarakat.
“Tambahan pula ini berkaitan tanggungjawab. Saya sendiri tidak tahu apa yang berlaku pada masa akan datang.
“Jika saya berkahwin satu hari nanti, adakah suami saya itu akan menerima anak ini? Kalau dia dapat menerimanya, tidak mengapalah. Bagaimana pula jika dia menolaknya?
“Tentulah dia akan sentiasa mengungkit tentang status anak ini,” luah anak tunggal perempuan daripada tujuh adik-beradik ini.
Tidak seperti bakal ibu yang lain yang seronok membeli-belah barangan bayi, Rita hanya mengumpul kekuatan untuk tidak terus menyayangi kandungannya.
Dia benar-benar berharap dia tidak akan menyusukan anaknya itu apabila melahirkannya kelak.
“Saya tak mahu perasaan sayang terhadap kandungan ini menjadi semakin kuat. Saya mahu menyerahkannya kepada keluarga angkat tanpa ada masalah,” ujarnya.
Seorang lagi penghuni Kewaja, Maya, 18, juga reda untuk menyerahkan anaknya kepada bakal keluarga angkat.
“Sudah hampir sembilan bulan saya ‘membawa’ perut ini ke sana ke mari.
“Sudah tentu wujud perasaan sayang terhadapnya. Kalau pada awal kehamilan memanglah saya ada niat hendak menggugurkan kandungan.
“Bermacam ubat saya telan, tetapi apabila mengetahui anak dalam kandungan sudah ada sifat manusia, saya reda untuk teruskan kehamilan.
“Sekarang saya asyik mengusap perut saja,” ujarnya yang hanya menyedari dirinya hamil ketika kandungan hampir mencecah usia empat bulan.

RITA (kiri) sentiasa berdoa agar tidak ditemukan semula dengan bekas teman lelakinya yang menghilangkan diri setelah menghamilkannya.


Sarat
Seorang remaja yang berani mencuba, Maya mendedahkan dia pernah mengambil dadah jenis ice, minum arak, dan berkunjung ke disko bersama teman-teman sebaya.
Maya juga akui dia terlalu terikut dengan rentak kawan-kawan sehingga berhenti sekolah sejak di tingkatan tiga lagi.
Di tengah-tengah keterujaan untuk mencuba segala macam ‘aktiviti’ remaja itulah, Maya kecundang dengan godaan ‘pihak ketiga’ setiap kali mereka berdua-duaan.
Dia terlanjur dengan sepupu abang iparnya sendiri yang sering berkunjung ke rumahnya.
“Tidak wujud paksaan. Kami melakukannya suka sama suka. Jadi saya terima kehamilan ini dengan reda.
“Alhamdulillah, kandungan saya baik saja. Saya juga bersedia untuk menyerahkannya kepada keluarga angkatnya kelak.
“Tetapi saya mengaku saya sangat menyesal dengan apa yang berlaku.
“Saya di sini sedang sarat mengandung, dia (bekas teman lelaki) entah ke mana menghilang, berseronok di luar sana,” ujar anak muda dari Bachang Baru, Melaka itu.
Maya dan Rita juga amat bersyukur kerana dapat berlindung di Kewaja.
“Kalau kami tidak datang ke sini (Kewaja), entah apalah yang kami lakukan di luar sana. Tidak mustahil kami antara yang membuang bayi seperti yang banyak dipaparkan dalam akhbar.
“Kami fikir mereka yang membuang anak di luar sana tentunya sudah tidak dapat berfikir panjang sehingga sanggup mengambil tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu.
“Sepatutnya sekurang-kurangnya lembutlah hati mereka apabila mendengar suara bayi mereka menangis atau melihat wajah darah daging mereka sendiri,” kata Rita.

No comments: