Pages

Sunday, October 3, 2010

'Berapa lama lagi kita boleh berdua'


Tengah hari 24 September lalu ketika menghabiskan cuti panjang yang dipohon, saya berkesempatan untuk membawa ibu tersayang ke pusat membeli-belah Pavilion di ibu negara. 

Tidak seperti sebelum ini yang lebih kepada aktiviti membeli-belah barang keperluan, kunjungan pada tengah hari Jumaat lalu cukup istimewa dan menampakkan kelainan. 

Ini kerana ibu saya menyambut Hari Kelahirannya yang ke-54. Kedatangan hari lahir ke-54 itu membawa seribu satu makna tersendiri buat ibu saya. 

Ada kenangan yang gembira dan tak kurang juga yang memilukan. Gembira kerana masih dapat hidup hingga ke saat ini tetapi sedih kerana ada antara kaum keluarga terdekat tidak dapat bersama meraikannya. 

Pada mulanya, ibu berpesan kepada saya untuk tidak membuat sebarang kejutan kepadanya sempena hari lahirnya. Sebaliknya, beliau memberitahu: “Nak, saya tahu anda sayangkan saya, tak perlu bazirkan wang untuk saya.’’ 

Apa pun, saya bertegas dan memberitahu ibunda bahawa hari kelahiran yang ke-54 itu perlu disambut dalam apa cara sekalipun, walaupun keadaan kewangan tidak mengizinkan. 

Hakikatnya, hari lahir hanya disambut setahun sekali. Kita tidak pasti sama ada tahun berikutnya, kita berpeluang untuk meraikannya lagi dan maka kerana itu, saya percaya sambutan kali ini perlu dibuat dengan sempurna bagi meninggalkan impak yang berkekalan kepada diri ibu. 

Sambutan hari lahir ibu saya tahun ini agak berbeza sedikit. Kali ini, tiada kek hari jadi diberikan memandangkan ibu saya telah disahkan menghidap penyakit kencing manis beberapa bulan lalu. Sebaliknya, saya bawanya makan di Restoran Tony Roma’s. 

Hidangan yang dipesan ibu adalah Ayam BBQ yang lengkap dihidangkan bersama dengan kentang yang telah dilenyek. Walaupun telah dinasihati oleh doktor untuk tidak makan yang berkolesterol tinggi, namun saya berjaya pujuk ibu untuk ketepikan seketika kebimbangan itu dan nikmati hidangan Ayam BBQ yang lazat itu. 

Sudah menjadi kelaziman dalam budaya masyarakat kita untuk mengadakan makan besar tiap kali berlakunya hari istimewa. Namun terus-terang, soal makan minum bukanlah amalan pokok yang diwajibkan. Ia hanya bersifat simbolik. 

Yang pentingnya, kualiti masa yang diluangkan bersama dengan orang yang tersayang. Ibu manakah yang tidak gembira melihat anak-anak yang diasuhnya meluangkan masa makan bersamanya. Mulut mungkin bercakap tidak, tetapi dalam hati sudah pasti gembira. 

Meluangkan masa bersama ibu sesungguhnya merupakan wadah terbaik untuk merapatkan silaturahim. Ia sebenarnya jauh lebih berkesan daripada menggunakan wang untuk membeli masa dan kasih sayang. Wang bukanlah jawapan kepada segala permasalahan. Adakalanya wang tidak mungkin dapat membeli kasih sayang ibu. 

Sejak dari kecil lagi, saya telah diasuh dan dididik oleh ibu untuk sentiasa menjaga tutur kata, perlakuan dan berbudi bahasa dalam pergaulan dengan orang lain. Selain itu, saya juga diingatkan oleh ibu untuk senantiasa berbuat baik semasa manusia. Dan kesemua pesanan itu masih segar dalam ingatan dan akan saya ingat sampai ke akhir hayat. Atas didikan yang tegas daripada ibu selama ini, saya tidak pernah lupa diri ataupun bongkak. 

Ketika ghairah menjamah hidangan di Restoran Tony Roma’s, fikiran saya tiba-tiba dibelenggu dengan satu persoalan yang kurang menyenangkan. “Berapa lama lagi kami berdua boleh keluar makan bersama dan menikmati saat-saat indah sebegini? Apakah tahap kesihatan ibunda adalah sama tahun hadapan?” Saya hanya boleh berdoa dan mengharapkan yang terbaik. 

Pepatah lama ada menyebut: Masa Itu Emas. Setiap detik dan saat adalah cukup penting. Masa tidak mungkin menunggu kita dan adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai insan mukammil di muka bumi ini untuk memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin termasuklah menghabiskan masa dengan ibu. 

Tiga tahun lalu, rakan karib saya yang kebetulan mempunyai nama yang sama dengan saya, kehilangan ibunya akibat kanser pangkal rahim. Ketika itu, rakan karib saya hanya berusia 21 tahun. Kehilangan ibu tersayang pada usia yang begitu muda ternyata satu tamparan yang cukup hebat buat dirinya. 

Sebagai anak sulung dalam keluarga, pemergian ibu itu bermakna beliau sudah tiada tempat untuk bermanja apatah lagi meluahkan segala permasalahan yang menghantui fikirannya. Mahu tidak mahu, beliau kini terpaksa menguatkan tekad dan azamnya untuk meneruskan kehidupan kerana anggota keluarga lain seperti ayah dan adiknya masih memerlukan kehadirannya untuk menyatukan keluarga. 

Ketika pertemuannya dengan saya di upacara pengebumian ibunya, rakan karib saya pernah mengakui bahawa dia menyesal kerana tidak dapat meluangkan lebih banyak masa bersama ibunya. Beliau juga menyesal kerana selalu bertengking dengan ibunya. Tangisan dan air mata yang mengalir dari dua biji matanya menceritakan segala-galanya mengenai perasaan hiba rakan karib saya yang teramat sangat itu. 

Begitulah peristiwa hidup yang akan dialami oleh setiap daripada kita. Ini termasuklah saya sendiri. Walaupun ibu saya masih hidup, tetapi akan sampai ketikanya satu hari nanti beliau akan pergi meninggalkan saya. Satu kenyataan hidup yang perlu saya hadapi lambat-laun juga. 

Kehidupan di alam fana ini amatlah singkat. Kita tidak akan tahu bilakah tibanya ajal seseorang. Kata orang, ajal terletak di tangan Pencipta kita. Ia mungkin hari ini, besok, lusa, setahun ataupun lebih lama daripada itu. Sehubungan itu, sentiasalah bersedia. 

Saya tidak pasti apakah reaksi saya apabila ibu tersayang meninggalkan saya buat selama-lamanya satu hari kelak. Saya juga tidak pasti apakah saya mempunyai ketahanan mental untuk menerima berita berkenaan. Tetapi apa yang pasti adalah hidup pastinya tidak akan sama lagi selepas ini. 

Beberapa pengajaran penting dapat dipelajari daripada episod pilu ini. Yang pertamanya, hormati dan sayangilah ibu kita sementara mereka masih bernyawa. Janganlah tunggu hingga mereka sudah tiada kerana pada ketika itu, segala yang dibuatnya sudah tidak bermakna lagi. Ada individu yang berhajat untuk melakukan sedemikian pun tidak berkesempatan. 

Keduanya, budaya menyayangi ibu kita adalah perbuatan yang terpuji dan merupakan sesuatu yang dituntut dalam semua agama. Kita hanya hidup sekali di muka bumi ini dan maka itu sewajarnya lakukan sesuatu yang bermakna untuk mengisi hidup kita. Ibnu Battutah, seorang pelayar terkenal pernah menyebut: “ seseorang ibu berhak menerima kebaikan daripada anak-anaknya kerana jerih-payah yang dialaminya sendirian ketika hamil, bersalin dan menyusukannya.’’ 

Bersempena dengan sambutan Hari Warga Tua yang akan disambut di seluruh Negara pada 1 Oktober, marilah kita sama-sama berikan penghargaan yang tidak terhingga kepada golongan warga tua yang satu ketika pernah mengasuh kita satu ketika dahulu. 

Ibu saya boleh dikategorikan sebagai warga emas tetapi itu tidak bermakna beliau dikategorikan sebagai golongan yang tidak berguna. Masih ada aspek yang boleh disumbangkan oleh mereka khususnya dari aspek pengalaman, bimbingan dan nasihat. 

Mereka masih memerlukan kasih sayang, dan penjagaan kita. Jika seorang ibu boleh menjaga dan membesarkan 10 orang anak, takkanlah 10 orang anak tadi tidak mampu menjaga seorang ibu? Melainkan anak-anak tadi tidak mempunyai hati untuk berbuat demikian. 

Janganlah menjadi Si Tanggang, anak yang derhaka! Sesungguhnya, syurga terletak di bawah telapak kaki ibu. Amat besar dosanya jika kita menderhaka kepada ibu kita. 



PENULIS mempunyai hubungan yang cukup akrab dengan ibu ibarat isi dengan kuku, sesuatu yang sukar dipisahkan. Penulis pernah menggelarkan ibunya sebagai wanita yang tercantik di dunia.

No comments: