Pages

Sunday, September 12, 2010

Wanita kelahiran Sabah jadi menteri kewangan Australia


MELBOURNE 11 Sept - Senator kelahiran Malaysia, Penny Wong (gambar) dilantik sebagai Menteri Kewangan dalam kerajaan baru Australia pimpinan Julia Gillard.
Sekalipun seorang menteri yang bekerja keras, pelantikan Wong yang sebelum ini menjaga portfolio perubahan iklim dilihat sebagai memeranjatkan ketika Gillard mengumumkan barisan Kabinet barunya pada Sabtu.
Dilahirkan pada 11 November 1968 di Kota Kinabalu, Sabah, Wong mengisi kekosongan yang ditinggalkan Lindsay Tanner yang bersara daripada politik sebelum pilihan raya pada 31 Ogos.
Merupakan bekas peguam di Adelaide, Wong dipilih mewakili South Australia dalam Dewan Senat pada 2001 dan dinamakan sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas perubahan iklim, kecekapan tenaga dan air, apabila Kevin Rudd menjadi Perdana Menteri pada 2007.
Pengumuman Kabinet baru Australia itu dibuat selepas empat hari Parti Buruh pimpinan Gillard mendapat sokongan dua wakil Bebas untuk membolehkan pembentukan kerajaan minoriti.
Terdahulu Gillard mengumumkan pelantikan Rudd sebagai Menteri Luar menggantikan Stephen Smith yang menjadi Menteri Pertahanan yang baru.
Smith yang berkhidmat sebagai Menteri Luar semasa Rudd menjadi Perdana Menteri pada November 2007 akan menjadi Menteri Pertahanan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh John Faulkner yang menjadi ahli parlimen biasa.
Mark Arbid, seorang daripada individu yang bertanggungjawab menjatuhkan Rudd tidak diberikan jawatan dalam Kabinet. - BERNAMA

No comments: