Pages

Tuesday, September 21, 2010

Israel benar hantar 20 kereta ke Gaza



GAZA 20 Sept. - Pihak berkuasa Israel membenarkan penghantaran 20 buah kereta ke bandar ini hari ini, kali pertama dalam tempoh tiga tahun.
Keputusan membenarkan penghantaran 20 buah kenderaan ke Gaza dibuat Jun lalu, berikutan desakan antarabangsa selepas kapal yang membawa barangan bantuan ke Gaza dirampas rejim Zionis Israel, kata jurucakap tentera.
Pegawai hubungan ketenteraan Israel, Guy Inbar berkata, timbul beberapa masalah yang disebabkan oleh pihak berkuasa Palestin ketika proses penghantaran itu dilakukan, namun beliau enggan mengulas lanjut untuk mengesahkan perkara itu.
Rejim Zionis dan Mesir menutup pintu sempadan Gaza selepas seorang anggota tentera Israel ditahan pasukan keselamatan Palestin pada Jun 2006 dan apabila gerakan Hamas menguasai wilayah Palestin ini.
Sejak itu, Israel telah menyekat barang-barang yang diimport untuk dihantar ke Gaza termasuk keperluan asas.
Jun lalu, Israel melonggarkan sekatan ke atas Gaza apabila membenarkan barangan bantuan yang hanya melibatkan keperluan asas dibawa masuk, selepas masyarakat antarabangsa mengutuk tindakan tentera rejim Zionis Israel menyerang flotila bantuan ke Gaza yang mengorbankan sembilan aktivis Turki.
Namun, masih banyak barangan keperluan asas tidak dibenarkan dibawa masuk ke Gaza dan rejim Zionis Israel hanya membenarkan penghantaran bahan binaan untuk projek pembinaan yang dipantau badan antarabangsa.
Menurut kenyataan rasmi Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), ekonomi Gaza meningkat sebanyak 16 peratus sejak sekatan itu dilonggarkan.
Pengangguran masih berada pada kadar 35 peratus antara tertinggi di dunia dan empat daripada lima penduduk Gaza yang berjumlah 1.5 juta orang masih mengharapkan bantuan asing. - AFP

No comments: