Pages

Sunday, August 1, 2010

Menjanda akibat obses langsing



MEMAKAN pil pelangsing tanpa pemantuan pengamal perubatan boleh membawa maut.


BERGAYA persis model atau setidak-tidaknya memperoleh kembali bentuk badan asal selepas bersalin menjadi impian hampir semua wanita.
Malah, obsesi wanita dalam memiliki tubuh seumpama model tersohor, Tyra Bank membuatkan ramai yang sanggup menelan pelbagai jenis pil, jamu atau minuman yang dipercayai mampu menguruskan badan.
Ditambah pula dengan rasa takjub terhadap keberkesanan produk tersebut, Harnani (bukan nama sebenar) hampir kehilangan nyawa gara-gara obsesi mengurangkan berat badan.
"Ia berlaku selepas saya melahirkan anak kedua. Saya terburu-buru untuk menurunkan berat badan. Semua gara-gara rakan sepejabat asyik menegur bentuk tubuh saya ketika itu," ungkap bekas jurutera berusia 30-an berkenaan.
Tidak tahan lagi mendengar teguran rakan sepejabat, Harnani mula mengambil minuman pelangsing yang disarankan oleh seorang teman.
"Tapi saya masih tak puas. Rasa lambat sangat prosesnya. Awalnya saya hanya meminum produk cecair, tetapi kemuaian beralih kepada penggunaan krim dan makan majun," katanya.
Ada rakan yang menasihati Harnani tentang bahaya pengambilan produk pelangsing secara berlebihan, namun dia bertekad untuk menguruskan badan sehingga membuatkannya memekakkan telinga.
"Keluarga pun ada yang marah sebab khuatir perbuatan itu akan menjejaskan kesihatan saya apatah lagi sewaktu hamil, saya menghidapi komplikasi darah tinggi. Tapi, setiap kali terlihat pelakon atau model yang bertubuh langsing, saya seperti dirasuk untuk memilik tubuh seperti itu," cerita Harnani.
Turun mendadak
Dia kemudian beralih kepada pil setelah jamu dan krim gagal mengembalikan susuk seperti sebelum berkahwin.
Cerita Harnani, dalam masa empat bulan, tubuhnya susut dan lemak di kawasan pinggul, paha serta perut hilang mendadak.
Malah, nafsu makan juga seolah hilang terus. Harnani hanya memakan buah-buahan, sup sayur serta minuman berjus.
"Masuk bulan ke lima, saya mula rasa gembira dengan perubahan bentuk badan. Tapi, dalam masa yang sama, badan saya sering saja lemah dan suami kerap menegur muka saya pucat," imbas Harnani.
Mengesan ada yang tidak kena, suami menggesa Harnani melakukan pemeriksaan kesihatan dan diagnosis doktor membuatkan Harnani hampir terduduk.
"Kedua-dua buah pinggang saya rosak. Itulah harga yang perlu saya bayar untuk kelihatan langsing. Bukan itu saja, rumah tangga saya bergoncang hebat dan akhirnya, kami bercerai," tuturnya dalam menahan sebak.
Harnani tidak menafikan obsesinya terhadap produk menguruskan badan menjadi antara penyebab pertengkaran antara dia dan suami.
Umpama nasi sudah menjadi bubur, Harnani kini meneruskan hidup keseorangan sambil gigih menjalani dialisis buah pinggang tiga kali seminggu.
"Sambil-sambil itu, ada juga buat kelas tuisyen serta menolong kawan membuat pelbagai produk seperti kek cawan, tudung atau baju untuk dijual menerusi Internet," jelasnya.
Menyingkap mengenai bala penggunaan produk pelangsing badan, ia bukanlah sesuatu yang baru malah hampir setiap tahun, pasti akhbar melaporkan kes individu maut akibat mengambil produk tersebut.

TIDAK yakin dengan penampilan dan sikap suka membandingkan bentuk tubuh dengan model menjadi antara faktor obsesi menguruskan badan.


Pil beracun
Menurut rencana keluaran The International Soiety of Drug Bulletins (ISBD) pada Julai 2002, kebanyakan kes melibatkan pil langsing berasaskan herba dikesan mengandungi fenfluramine dan nicotinamide yang diharamkan penggunaannya dan penjualannya hampir di seluruh dunia.
Fenfluremin tergolong dalam kumpulan ubat anoretik yang bertindak mengurangkan paras serotin dalam otak. Ia merencatkan selera makan dan seterusnya mengakibatkan pesakit mengalami penyusutan berat badan. Serotin merupakan sejenis bahan kimia yang berfungsi sebagai pengutus saraf dalam otak.
Ia bertindak menghalang serotin dalam plasma darah daripada diserap ke dalam platelet (sel-sel pembekuan) darah sekali gus menyebabkan paras serotin dalam darah meningkat.
Jelas buletin perubatan itu, kandungan serotin yang terlalu tinggi dalam darah boleh merosakkan salur darah terutama pada paru-paru dan jantung, injap jantung, kerosakan hati, strok, serta gangguan mental.
Di samping itu, kegagalan hati fungsi hati boleh berlaku dalam masa seminggu hingga sebulan jika bahan itu diambil secara berterusan.

No comments: