SELAMA tiga hari tiga malam Rasulullah SAW dan sahabat karib baginda, Abu Bakar As Siddiq menyembunyikan diri dalam Gua Tsur sebeluh berhijrah ke Madinah.
Sudah pasti ketika itu mereka diselubungi perasaan takut, bimbang dan cemas.
Ini kerana kafir Quraisy benar-benar melancarkan gerakan mencari mereka berdua untuk dibawa pulang sama ada dalam keadaan hidup mahupun mati.
Dahulu komplot untuk membunuh baginda di rumahnya di lakukan oleh 11 pemuda yang terpilih.
Tetapi kali ini tawaran dibuka kepada sesiapa sahaja untuk memburu dan membawa pulang Nabi Muhammad.
Tawarannya cukup lumayan sehingga menyebabkan seluruh pemuda Quraisy keluar dan masing-masing berpecah menuju ke seluruh pelosok dan ceruk kawasan untuk mencari dan menangkap baginda.
Tawaran 100 ekor unta itu menyebabkan ramai para pemuda yang gagah perkasa sama ada berjalan kaki, menunggang kuda mahupun unta keluar untuk mencari dan memburu baginda.
Mereka sanggup memanjat dan mendaki bukit-bukit, menuruni lembah-lembah yang tandus dan kering malah sehingga melepasi sempadan daerah dan wilayah semata-mata keghairahan untuk merebut tawaran yang cukup lumayan itu.
Ketika itulah sebagaimana yang diceritakan oleh isteri baginda, Saidatina Siti Aishah sama ada kedudukan baginda selamat atau tidak, semuanya diberitahu melalui laporan harian yang dibuat oleh seorang anak Abu Bakar, iaitu Abdullah.
"Abdullah adalah seorang anak muda yang mahir dan tangkas. Setiap malam ketika malam semakin larut, suasana senyap sepi apabila semua mula dibuai mimpi, anak muda itu akan keluar secara senyap dari Kota Mekah dan segera menuju ke Gua Tsur.
"Di gua itu, Abdullah akan terus melaporkan apa yang beliau intip dan dengar terutamanya dari mulut pemimpin Quraisy mengenai sebarang rancangan mereka sejak bapanya dan Rasulullah berjaya melarikan diri.
"Kemudian pada waktu sahur, Abdullah akan segera meninggalkan gua tersebut dan pulang ke Kota Mekah.
"Beliau kemudiannya berpura-pura seperti baru bangun tidur, seolah-olah setiap malam anak muda ini tidak ke mana-mana.
"Abdullah kemudiannya akan mula menjalankan kerja-kerja pengintipan di sana sini untuk dilaporkan kepada Rasulullah dan Abu Bakar pada malam hari," kata Aishah.
Bagaimana pula dengan makan minum Rasulullah dan Abu Bakar selama berada dalam gua itu?
Amir bin Fuhayrah, seorang lagi anak muda yang berani yang bertanggungjawab dalam hal itu.
Dia bertindak berani kerana jika tertangkap pastinya umur tidak akan panjang kecuali mati dikerjakan oleh musuh-musuh Rasulullah.
Dia merupakan hamba milik Abu Bakar yang kerjanya setiap hari menggembala kambing. Selepas waktu Isyak, Amir akan menghalau kambing-kambingnya berdekatan dengan kaki Bukit Tsur dan apabila keadaan didapati selamat, Amir akan memerah susu-susu kambing tersebut lalu ditinggalkan kepada Abdullah yang akan datang kemudian untuk dibawa kepada Rasulullah dan Abu Bakar.
Apabila tugasnya sudah selesai, Amir akan membawa pulang kambing-kambing dan begitulah yang beliau lakukan hampir setiap malam untuk memastikan baginda dan tuannya dapat minum susu kambing sebagai penggalas perut.
Segala jejak yang ditingalkan oleh Amir dan kambing-kambing tersebut di sepanjang perjalanan pulang, semua telah dipadam atau dihilangkan oleh Abdullah.
Maka tiada sesiapa dapat mengesyaki tindakan berani kedua-dua anak muda itu kerana masing-masing akan berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Walaupun ada sesetengah riwayat menceritakan bahawa seorang lagi anak perempuan Abu Bakar, iaitu Asma sendiri yang sanggup bersusah payah setiap malam secara curi-curi membawa bekalan makanan untuk bapanya dan Rasulullah.
Asma sememangnya seorang srikandi Islam yang tidak pernah menghitungkan keselamatannya sendiri demi membantu perkembangan Islam.
No comments:
Post a Comment