2010/08/30
SHAHAB (kiri) memberi taklimat mengenai kamera yang dipasang di sekitar Masjidil Haram.
Sedia hadapi kunjungan jemaah
MAKKAH: Jabatan pertahanan awam di Makkah sudah bersiap sedia menangani sebarang kecemasan ketika jemaah umrah dan pengunjung ke Masjidil Haram kian bertambah ketika Ramadan sampai ke kemuncaknya.
Dilengkapkan dengan kemudahan dan peralatan canggih, jabatan pertahanan awam Makkah memantau setiap pergerakan jemaah, terutama di dalam kawasan Masjidil Haram, kata pengarah operasi pasukan itu, Kapten Waleed Abu Shanab.Beliau memberitahu laman berita Arabnews.com, bilik operasi jabatan itu menerima 21,500 panggilan dalam tempoh 10 hari pertama Ramadan.
“Jabatan kami sudah memasang 1,700 kamera di setiap pintu masuk dan keluar Masjidil Haram dan di sekitarnya.
“Kamera ini membantu kami memantau sebarang kecemasan yang mungkin tercetus dan pasukan kami akan dikerah untuk menanganinya segera,” katanya.
Shanab berkata, pihaknya mengerahkan unit rondaan yang dilengkapi peralatan perhubungan yang canggih.
“Pasukan ini boleh bergegas ke lokasi insiden dengan segera menaiki motosikal,” katanya.
Jika perlu unit rondaan ini mampu dengan segera mendapatkan sokongan teknikal seperti penyediaan kemudahan berat untuk memadam api atau melakukan operasi menyelamat.
Jabatan pertahanan awam juga mempunyai unit khas yang bertanggung jawab menyelaras operasi menyelamat selepas menerima maklumat daripada unit peronda.
Selain itu, Shanab berkata pihaknya mempunyai pasukan dan kemudahan simpanan di Shumaisi jika diperlukan.
Beliau berkata bilik operasi jabatan itu mempunyai kemudahan canggih untuk mengenal pasti kesahihan panggilan kecemasan sebelum ia mengerah pasukan.
“Kami sudah banyak menerima panggilan palsu dan terpaksa memastikan kesahihan setiap panggilan sebelum bertindak,” katanya.
Jabatan pertahanan awam Makkah turut bersiap sedia dengan kemungkinan bencana seperti banjir dan ribut pasir.
“Jika kami menerima maklumat mengenai hujan lebat, ribut pasir atau keadaan lain, kami akan mengambil langkah perlu untuk menyelaraskan tindakan dengan jabatan lain,” kata Shanab. – Agensi
No comments:
Post a Comment