Pages

Monday, August 30, 2010

Mesir bom terowong Gaza



SINAI - Pihak berkuasa Mesir memusnahkan 12 terowong bawah tanah yang digunakan untuk menyeludup masuk barangan ke Genting Gaza, kelmarin. 

Terowong yang didakwa digunakan untuk penyeludupan senjata itu ditemui di beberapa kawasan di sepanjang sempadan Sinai dan Gaza. 

Sumber pihak berkuasa Mesir memaklumkan, tentera yang terlibat dalam pengeboman terowong itu bekerjasama dengan pegawai di Gaza bagi memastikan tiada orang awam sedang menggunakan terowong semasa letupan terkawal itu. 

Mesir dan Israel melonggarkan sekatan ke atas barangan ke Gaza selepas insiden serangan konvoi Freedom Flotilla yang mengorbankan sembilan warga Turki, 31 Mei lalu. 

Bagaimanapun, larangan terhadap beberapa jenis makanan dan bahan binaan menyebabkan penduduk Gaza terpaksa bergantung kepada terowong bawah tanah untuk mendapatkan barangan keperluan asas. 

Kaherah mula mengambil langkah bagi menghalang penyeludupan barangan ke Gaza selepas menerima tekanan daripada Amerika Syarikat dan Israel. 

Rejim Zionis mengenakan sekatan ke atas Gaza selepas kumpulan pejuang Hamas menguasai wilayah Palestin itu pada 2007, dan sejak itu melarang semua eksport barangan dari Gaza serta mengenakan kekangan terhadap pergerakan rakyat Gaza.

No comments: