KUALA TERENGGANU: “Semuanya kini umpama satu permulaan selepas hampir setahun kami terpisah akhirnya tok dipanjangkan umur dan kami bersatu kembali,” kata Wook Kundor, 108, ketika diminta mengulas mengenai pembebasan suaminya, Mohd Noor Che Musa, 39 dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Besut, kelmarin.
TANDA KASIH…Mek Wook berpelukan dengan Mohd Noor di Kampung Chat Rimau, Tanah Merah, semalam.
Berbanding Mohd Noor yang kurang selesa berbual menerusi telefon dan meminta wartawan menemuinya di Kuala Berang hari ini, Wook seolah-olah terlalu gembira serta menjawab segala soalan diajukan kepadanya dengan sesekali meminta kebenaran untuk batuk terlebih dulu kerana bercakap terlalu cepat.
“Isteri mana yang tidak gembira apabila menemui suaminya tambahan pula suami jauh lebih muda...sekarang tok rasa macam orang penting pula mana tidaknya ramai pula orang (wartawan) cari tok dan Mat Nor (Mohd Noor) bukan kami yang cari mereka,” katanya sambil ketawa.
Menurutnya, dia dan suami sebenarnya tidak sabar pulang ke rumah mereka di Hulu Terengganu dari Kelantan, namun mereka berdua terpaksa bermalam di rumah saudara di Kampung Banggol Judah, Machang, Kelantan kerana kenderaan dipandu suaminya menghadapi masalah.
Ditanya sama ada dia melakukan pengubahsuaian rumah bagi menyambut kepulangan suami wanita itu berkata tiada apa yang dilakukan, malah sepanjang ketiadaan pasangannya itu dia menumpang di rumah saudara mara lain.
“Tak perlulah itu semua sebabnya dia tahu kita sayang sokmo kat dianya (suami),” katanya.
Terdahulu ketika ditemui di Kampung Chat Rimau, Tanah Merah, Kelantan, Wook berkata, dia gembira sebaik mendapat tahu suaminya keluar dari pusat terbabit selepas setahun ditahan untuk menjalani pemulihan selama 12 bulan lapan hari dan walaupun dia ditinggalkan selama setahun, tetapi kasih sayangnya tidak pernah sama sekali luntur.
“Kita mengharapkan supaya Noor (gelaran suami) memelihara kita selepas ini. Lagipun badannya masih tegap dan boleh mencari pekerjaan untuk menjamin masa depan kita kemudian hari,” katanya.
Difahamkan selepas dibebaskan daripada Puspen Besut, Mohd Noor segera menunaikan janjinya mengambil warga emas terbabit di rumah anak angkatnya di Kampung Beris, Bachok.
Pasangan suami isteri itu kemudian pulang ke rumah pusaka milik Mohd Noor di Kampung Chat Rimau, Tanah Merah untuk bertemu saudara mara.
Mereka kemudian pulang semula ke rumah asal yang dihuni di Kuala Berang untuk menjalani kehidupan seperti dilalui sebelum ini.
Wook berkata, sepanjang 12 bulan dan lapan hari suami ditahan dia tidak menetap di Kuala Berang atas alasan keselamatan dan menumpang di rumah anak angkat di Bachok.
“Pada masa sama, tok juga menumpang di rumah adik di Jerangau, Kuala Terengganu. Sesekali ada juga mendengar khabar mengenai keadaan kampung daripada jiran tetangga,” katanya.
Menurutnya, dia tidak tahu apa yang berlaku kepada barangan di rumahnya ketika ini walaupun dimaklumkan sudah kosong ‘dikebas’ individu tidak bertanggungjawab.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada rumah kita. Setahu kita, semua barang sudah kosong termasuk peti sejuk, keris dan pelbagai lagi. Semua itu dimaklumkan jiran yang duduk berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Mohd Noor berkata, dia mengharapkan supaya diberi peluang menjaga isterinya dan semua yang berlaku memang disebabkan kesilapan dirinya sendiri.
“Sekarang saya insaf dan bertaubat. Saya mahu memulakan hidup baru dengan Mek Wook. Saya juga mahu mencari kerja selepas ini untuk memastikan kehidupan kami suami isteri lebih terjamin,” katanya.
No comments:
Post a Comment