MATANYA menjadi mengecil ketika melalui kepulan asap rokok sambil pekerja lombong, Anthony Saccoccio merenung jauh dan memandang keluar melihat projek lombong besar Australia yang terbentang luas.
Poster dalam bahasa Inggeris dan Cina mengingatkan para pekerja supaya sentiasa minum air dengan banyak sehingga sepuluh liter untuk satu syif.
Sementara itu, peringatan berterusan diberikan terhadap tanda-tanda amaran ribut siklon iaitu bencana alam yang terburuk di kawasan pesisir pantai Pilbara.
"Sesetengah orang agak teruk tetapi ini bukan Hilton, sebaliknya ini ialah sebuah kawasan lombong.
"Saya pernah bekerja di Asia Barat dan di Rusia. Saya pernah bekerja di zon perang. Berbanding di tempat lain, suasana bekerja di sini boleh dikatakan agak baik," kata seorang jurutera kanan CITIC Pacific Mining dari Texas, Amerika Syarikat (AS), Saccoccio yang mengendalikan projek Besi Sino.
Saccoccio merupakan antara ribuan pekerja yang keluar masuk di daerah Pilbara untuk bekerja di Australia Barat iaitu sebuah wilayah yang kaya dengan minyak, gas dan projek-projek perlombongan.
Dalam tempoh tiga minggu, sekurang-kurangnya dua kali dia akan mendiami di sebuah kontena berhawa dingin dipanggil donga. Kontena itu terletak kira-kira 1,500 kilometer (km) dari kediaman keluarganya di Perth.
"Saya datang ke sini untuk lari daripada dia (isterinya)," ujar Saccoccio bergurau. "Lagipun dia sebenarnya sudah biasa dengan keadaan ini."
Empat jenis ribut telah melanda kawasan itu dalam beberapa bulan sebelum itu, manakala musim panas pula suhu mencecah melebihi 50 darjah Celsius. Perkataan Pilbara yang berasal daripada nama suku Panyjima merujuk kepada tempatan untuk daerah Bilybara yang bermaksud kering.
Australia Barat yang merupakan nadi ekonomi adalah sebuah wilayah yang kaya dengan sumber asli iaitu 4,000 kali ganda melebihi keluasan Singapura.
Dianggarkan 70 peratus kawasannya adalah padang pasir. Sehubungan itu, wilayah itu mampu menghasilkan lebih daripada satu pertiga jumlah eksport keseluruhan Australia.
Dianggarkan 15 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport bijih besi dunia berasal dari wilayah terpencil. Daerah Pilbara menyumbang kira-kira 35 peratus perdagangan global bijih besi dari laut.
Ia sangat penting bagi ekonomi China yang berkembang pesat. Sebahagian besar pekerja sanggup bekerja di lombong itu kerana pendapatan yang diperoleh iaitu sekitar RM293,526 setahun.
Bagi Saccoccio yang bekerja mengikut syif panjang iaitu 12 jam tanpa henti, setiap pekerja tetap merasa bosan meskipun syarikat perlombongan berusaha menyediakan kemudahan seperti televisyen kabel, gelanggang tenis dan kolam renang.
"Jika Pilbara adalah nadi ekonomi maka pekerja di sini adalah jiwanya, tetapi keadaan di sini sangat panas, lembap dan terpencil.
"Tidak akan ada kapal penuh bijih besi, gas atau logam yang datang tanpa pengorbanan para pekerja," jelas salah seorang Kesatuan Pembangunan, Perhutanan, Perlombongan dan Tenaga, Brad Upton.
Sementara itu, kekangan kos hidup termasuk sewa mingguan yang mencecah lebih daripada $2,000 Australia (RM5,472) tidak memungkinkan bagi sebahagian besar keluarga untuk tinggal di Pilbara.
Lebih menyedihkan, hubungan sosial terputus dan perpecahan keluarga sering berlaku kerana mereka terlalu lama tinggal berjauhan.
Kehidupan sosial
"Pembangunan perumahan baru mungkin dapat membantu mengurangkan kos sewa yang tinggi dan tekanan hidup di kawasan tersebut. Tetapi ia sangat terhad kerana ia terletak di kawasan banjir dan pantai yang mendedahkan ribut siklon," tambah Saccoccio.
Rumah yang lengkap dengan kolam renang, yacht dan televisyen skrin rata antara kemudahan bandar Karratha.
Bandar tersebut dibangunkan lebih lima dekad lalu oleh pusat perlombongan konglomerat gergasi Anglo-Australian, BHP Billiton dan Rio Tinto.
Ratusan pekerja yang dalam keadaan kotor ke Karratha Tavern untuk menghabiskan masa mereka dengan minum pada setiap malam.
Meskipun masih memakai baju yang berdebu dan kasut but, mereka tetap berkumpul untuk membuat taruhan kuda lumba serta berseronok dengan pekerja bar.
Dalam pada itu, Colin Barnett memberitahu, kehidupan di bandar yang didominasi oleh lelaki adalah luar biasa. Masalah sosial jarang berlaku akan timbul tetapi menolak gambaran ini sebagai Wild West.
"Ini bukan bandar perlombongan ketika zaman Gold Rush. Mereka adalah pekerja terlatih, berkemahiran tinggi dan bekerja dalam tempoh yang panjang setiap hari. Mereka hanya bekerja, makan dan tidur," kata Barnett.
Dijangka pertambahan bilangan pekerja akan berlaku dalam masa 12 bulan akan datang kerana pembinaan beberapa rangkaian projek-projek besar di wilayah itu akan bermula.
Pembinaan kilang gas di luar pantai Gorgon bernilai AS$ 37 bilion (RM11 bilion) memerlukan 6,000 tenaga kerja untuk tahap pertama.
"Projek tersebut merupakan antara projek terbesar di dunia ini," terang Ketua Pengarah Pejabat Pembanguan Negeri Anne Nolan.
Berdasarkan model yang paling konservatif, Dewan Mineral dan Tenaga menganggarkan negara itu mungkin memerlukan 27,000 pekerja pada tahun 2014 dan kemungkinan angka tersebut meningkat sehingga mencapai 36,000 orang.
Bagaimanapun, tekanan tenaga buruh dan krisis perumahan memberi kesan yang besar kepada perkhidmatan di industri perlombongan. - AFP
No comments:
Post a Comment