Pages

Monday, June 14, 2010

Merajuk jodoh dihalang



Merajuk jodoh dihalangKUANTAN: Selepas hasratnya berkahwin dengan lelaki pilihan hati mendapat tentangan keluarga suatu ketika dulu, Wook atau nama sebenarnya Sharifah Saharah Syed Yahya, 76, mahu melupakan terus impian untuk berumah tangga.
Kini, warga emas yang juga anak sulung daripada sembilan adik beradik itu terpaksa meneruskan kehidupan seorang diri selepas enam adiknya berkahwin dan mengikut keluarga masing-masing manakala dua lagi adiknya sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Lebih menyayat hati, Wook kini terpaksa menguruskan kehidupannya serba kedaifan dengan tinggal di pondok terpencil di tengah belukar di Jalan Tengah Sungai Karang Darat, di sini, tanpa kemudahan elektrik dan bekalan air bersih.

Mengimbau sejarah hidupnya, Wook berkata, ibu bapanya berasal dari Sumatera, Indonesia dan mereka berpindah ke negara ini sebelum dia dilahirkan.

“Selepas kematian ibu bapa dan adik-beradik lain pula berhijrah mengikut keluarga masing-masing selepas berkahwin, saya nekad berpindah dari rumah asal ke sini untuk memulakan hidup baru,” katanya.

Menurutnya, dia tinggal bersendirian di tengah belukar itu sejak lebih 10 tahun lalu selepas seorang individu yang prihatin membantunya membina sebuah pondok kecil sebagai tempat menumpang teduh daripada hujan dan panas. “Bagi mengelak rasa sunyi, saya memelihara beberapa ayam, burung serta angsa selain bercucuk tanam bagi mengisi masa lapang dan memungut hasilnya untuk kegunaan sendiri.

“Namun, banyak ternakan mati dibaham ular sawa terutama ayam, malah saya sendiri pernah membunuh kira-kira 14 ular pelbagai jenis sejak tinggal di sini,” katanya.
Wook berkata, rumah didiaminya kini dibina penduduk kampung secara bergotong-royong beberapa tahun lalu bagi menggantikan pondok kecil sempit dan uzur yang menjadi tempat tinggalnya sebelum ini.

“Malangnya, sehingga kini tiada bekalan elektrik atau saluran paip disambung ke rumah ini walaupun lampu serta pendawaian elektrik sudah dipasang sejak ia siap dibina,” katanya.
Justeru, katanya, dia terpaksa menggunakan pelita untuk menerangi rumahnya dan mengambil air perigi yang terletak tidak jauh dari rumahnya untuk kegunaan harian.

No comments: