Pages

Thursday, June 10, 2010

Arahan suara ghaib

DIRANGSANG suara ghaib yang meminta supaya melakukan pembunuhan, seorang lelaki, Moses Sithole, 46, mencetuskan ketakutan penduduk di Johannesburg, Afrika, sekitar 1995 hingga 1996 Afrika apabila mengaku membunuh lebih 38 wanita.
Bukan setakat membunuh, dia turut menggemparkan penduduk dan polis apabila mengaku terbabit dalam 40 kes rogol serta enam siri rompakan dalam tempoh sembilan bulan.
Disebabkan jenayah ganas tidak berperikemanusiaan dilakukannya, Sithole mendapat jolokan sebagai ‘ABC Killer’ (Pembunuh ABC) apabila memulakan hobi ‘membunuh’ di kawasan Atteridgeville (A), sebelum beralih ke kawasan Boksburg (B) dan Cleveland (C) sekitar Johannesburg.

Dilahirkan dalam keluarga bermasalah, Sithole dikatakan dilayan secara ganas ketika waktu kecil selepas dihantar ke sebuah rumah perlindungan kanak-kanak akibat ditinggalkan ibunya.

Tidak tahan dengan layanan diterima, dia dikatakan melarikan diri sebelum dijumpai dan dihantar semula ke rumah berkenaan dengan kawalan ketat.

Di situ, dia bukan saja dikurung, malah turut didera dan dibiarkan berlapar hingga akhirnya ketika berusia 20 tahun, dia mula memberontak dan melarikan diri dari perlindungan rumah kebajikan terbabit.

Menurut pakar psikiatri, akibat penderaan dialaminya, Sithole mengalami masalah jiwa akibat tekanan perasaan yang diterima sepanjang di pusat jagaan.

Jenayah pertama dilakukan Sithole selepas dua bulan melarikan diri dari rumah penjagaan apabila dia merogol seorang wanita wajahnya kelihatan sama seperti penjaganya pada Mei 1984.

Dalam tempoh 13 hari, Sithole dilaporkan terbabit dalam tiga kejadian rogol di Atteridgeville sebelum dia ditahan dan dipenjara selama 10 tahun yang menyaksikan kehidupannya terus mengalami perubahan.

Sithole didera secara seksual oleh banduan ‘senior’ di penjara berkenaan, sekali gus menyebabkan dia mula berhalusinasi selain mendengar suara pelik meminta dia melakukan pelbagai jenayah, termasuk membunuh.

Tempoh 10 tahun dipenjarakan selain didera secara seksual oleh banduan lain mengubah hidupnya apabila dia terus bertukar menjadi penjenayah paling kejam.

Sebaik selesai menjalani hukuman penjara, tidak sampai sebulan, Sithole dikatakan bertindak berani apabila membunuh seorang wanita yang dijumpai di sebuah lorong dengan menikamnya bertubi-tubi dan mengelar lehernya.

Dia dikatakan membunuh wanita terbabit yang hanya dikenali sebagai Vanessa, 32, dengan alasan mendengar satu suara yang mengarahnya bertindak demikian berikutan wanita itu mengugut melaporkannya kepada pihak berkuasa atas tuduhan rogol.

Tidak mahu dipenjarakan semula, Sithole dikatakan mengikuti arahan ‘suara’ berkenaan untuk membunuhnya.

Disebabkan ‘suara’ itu juga, lebih 38 wanita dibunuh Sithole dengan alasan bagi mengelak dipenjara semula berikutan takut dengan layanan diberi banduan lain.
“Saya mendengar suara ghaib yang meminta saya membunuh wanita yang saya jumpa kerana mereka akan menyebabkan saya dihumban ke penjara.

“Suara itu mengatakan semua wanita itu akan membuat laporan palsu mengenai kejadian rogol dan bagi mengelak kembali ke penjara, saya terpaksa membunuh mereka,” katanya kepada pihak berkuasa ketika ditahan pada Ogos 1995.

Dia ditahan apabila seorang lelaki mengecam wajah Sithole yang dilihat kali terakhir bersama dengan wanita, Amanda Majbr, 35, mangsa terakhir yang mati dibunuhnya.

Menurut Sithole, kadangkala suara didengari turut mengarahnya merogol serta melakukan rompakan dan kebanyakan arahan itu tidak dapat dielakkannya.

“Selagi saya tidak mengikuti arahan, suara yang saya dengar ini akan sentiasa terngiang-ngiang di telinga dan ia datang semakin kerap dan semakin kuat hingga mengganggu tidur.

“Bagi mengelak terus diganggu suara berkenaan, saya terpaksa mengikuti saja arahan itu,” katanya.

Dengan jumlah pembunuhan yang banyak, termasuk berpuluh kes rogol serta enam kes rompakan yang dilakukannya, Sithole boleh dianggap bernasib baik berikutan diisytiharkan mengalami gangguan jiwa, sekali gus menyebabkan dia terlepas hukuman mati mandatori.

Namun, bagi mengelak jenayah dilakukannya berulang, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara maksimum 2,410 tahun.

Sithole yang kini ditahan di Pusat Tahanan Pretoria, Afrika hanya dibenarkan untuk berada dalam pengawasan (parol) jika dia berjaya menjalani hukuman penjara selama 930 tahun.

No comments: