MEXICO CITY 18 Mei - Pakar arkeologi di selatan Mexico menemui sebuah makam orang kenamaan purba berusia 2,700 tahun di dalam piramid yang dipercayai antara makam paling tua seumpamanya pernah ditemui di kawasan tamadun purba Mesoamerika.
Makam itu menempatkan mayat seorang lelaki berusia sekitar 50-an yang dikebumikan bersama-sama relang daripada batu jed serta artifak dan bekas tembikar daripada bahan galian pirit dan obsidian.
Pakar arkeologi, Emiliano Gallaga semalam berkata, makam itu dipercayai wujud antara 500 hingga 700 tahun sebelum Masihi.
"Kami berpendapat penemuan ini adalah antara yang paling awal menunjukkan penggunaan piramid sebagai makam, bukan sekadar sebagai tapak keagamaan atau kuil," kata Gallaga.
Budaya pra-Hispanik membina piramid terutamanya sebagai melambangkan tahap kehidupan dari bawah paras bumi sehinggalah ke paras langit iaitu tempat tertinggi yang selalunya menempatkan sebuah kuil.
Makam itu ditemui di sebuah tapak yang dibina oleh kaum asli Zoque di Chiapa de Corzo, negeri Chiapas di selatan Mexico.
Ia dipercayai hampir 1,000 tahun lebih tua daripada makam piramid yang lebih terkenal iaitu makam pemimpin Maya, Pakal di tapak arkeologi Palenque, juga di negeri Chiapas.
Mayat lelaki tersebut, dipercayai seorang paderi tertinggi atau pemimpin Chiapa de Corzo, dikebumikan di dalam makam batu.
Tanda-tanda pada dinding menunjukkan topang-topang kayu digunakan untuk membina makam tersebut tetapi ia telah lama roboh disebabkan berat piramid yang dibina di atasnya.
Pakar arkeologi mula mengorek tanah piramid itu pada April lalu untuk mengkaji struktur dalamannya apabila mereka menemui dinding yang batu kemasannya kelihatan menghadap ke dalam.
Semasa kerja menggali pada minggu lepas, mereka menemui ruang makam berukuran empat kali tiga meter, kira-kira tujuh meter di bawah paras kemuncak piramid. - AP
No comments:
Post a Comment