Pages

Sunday, March 28, 2010

Tujuh Petanda Takwa



Saudara-saudaraku di luar sana…apa kabar? Moga dirahmati Allah selalu hendaknya….ingatlah ikrar kita dalam solat…yang berbunyi :
Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad) Sesungguhnya solatku serta ibadatku, hidup dan matiku ini adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Sekelian Alam”.
Lantaran apa sahaja perbuatan kita sama ada baik atau buruk tetap ditulis oleh dua Malaikat Rakib dan Atid, sebagai rekod book setiap manusia untuk dipaparkan di hadapan Allah…Amatlah menggerunkan jika kita tidak sempat kembali kepada-Nya dengan bertaubat. Ingatlah Malaikat Izrail sentiasa memerhatikan kita dengan penuh perhatian tidak pernah tersilap mencabut nyawa seseorang sambil menunggu perintah-Nya 24 jam.

Ingatlah setiap detik berlalu dalam kehidupan ini akan di adili di depan Allah…
Firman Allah :

Maksudnya :
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.”
(Surah Al-Hasyr : 18)
Saudara-saudaraku…di Padang Mahsyar kita adalah makhluk yang sangat lemah. Semua anggota akan dipertanggungjawabkan atas segala amalan perbuatan yang dilakukan di dunia ini baik semasa kita sedang celik maupun sedang kita tidur. Pejam celik, makan-minum, ke hulu-ke hilir, sakit demam, hatta sedang qada’ hajat sekalipun akan diperhitungkan di depan Allah.
Firman Allah dalam surah Yasin ayat 65:
“Pada waktu itu Kami meterikan mulut mereka dan tangan-tangan mereka memberitahu Kami dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan”
Saudara-saudaraku sekelian, marilah kita bertakwa kepada Allah. Imam Ghazali mengatakan tanda-tanda seseorang itu takutkan Allah akan dilihat pada tujuh perkara :
1. Pada lidah, hindarilah cakap kotor, mengumpat, memfitnah, berbual kosong, menipu, berdusta dan banyak bercakap. Isikan masa-masa yang berlalu dengan banyakkan berzikir, membaca Alquran dan muzakarah ilmu agama.
2. Pada hati, buanglah sikap suka bermusuh dan benci, dengki, memperkecilkan orang lain dan sebagainya. Ingatlah apabila hati yang rosak, akan rosak segalanya.
3. Pada mata, jauhilah pandangan-pandangan yang haram seperti melihat aurat kerana ia boleh mematikan hati. Begitu juga jauhilah godaan dunia seperti hiburan-hiburan melalaikan dan perempuan-perempuan yang menjolok mata. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa memenuhi matanya dengan perkara haram, maka Allah akan memenuhi matanya dengan api neraka pada hari kiamat”.
4. Pada perutnya, jangan ia diisi dengan makanan dan minuman yang haram seperti harta perolehan riba, harta anak yatim, harta curi, rasuah, makan tidak dijemput dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Sesuap barang yang haram masuk ke perut seseorang, maka seluruh malaikat di langit dan di bumi melaknati selama barang haram tersebut dalam perutnya. Jika ia mati dalam keadaan demikian, maka tempatnya adalah neraka”.
5. Pada kedua tangannya. Jauhkanlah tangan kita daripada berbuat maksiat atau perkara-perkara yang dilarang bahkan gunakan ia untuk kebaikan dan ketaatan kepada Allah.
6. Pada kakinya, Tidak berjalan ke arah perbuatan maksiat tetapi hanya melangkah menuju keredhaan ilahi.
7. Pada ketaatannya, dengan menjadikan ketaatan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah, takutkan sifat riak dan munafik.
Janji Allah tetap benar, firmannya :
Yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa akan ditempatkan di dalam syurga-syurga indah dengan mata air yang memancar-mancar”
(Al-Hijr : 45)
Moga mendapat sesuatu yang bermanfaat…Wallahu a’lam

No comments: