Pages

Wednesday, March 24, 2010

Kisah silam Takeshi Kitano



TAKESHI KITANO


JIKA tidak kerana ibunya, pelakon dan pengarah filem Jepun, Takeshi Kitano yang membawa kehidupan gengster yakuza ke mata dunia melalui filemnya, telah lama terjerumus ke dalam dunia samseng.
Bintang filem Violent Cop,Sonatine dan HANA-BI itu membuat pendedahan menerusi buku, Kitano par Kitano (Kitano dari Kitano) yang ditulis oleh wartawan Perancis, Michael Temman.
"Jika tidak kerana ibu saya yang tegas dan mementingkan pelajaran, saya dapat bayangkan saya akan menjadi seorang yakuza. Ramai rakan saya waktu itu menjadi ahli yakuza.
"Tetapi tak ada seorang pun yang berjaya. Jadi, saya rasa mungkin saya tidak pergi jauh dan mati di pertengahan jalan," katanya.
Dia memberitahu, semua rakan-rakan yang membesar bersamanya menjadi samseng. "Saya tidak rasa mencuri wang adalah sesuatu yang istimewa dan membanggakan. Semua kanak-kanak di sekitar kawasan saya membesar dengan aktiviti tersebut," kata Kitano.
Diiktiraf di luar negara menerusi filem-filem aksinya yang memaparkan kehidupan dan perhubungan manusia, Kitano juga dikenali sebagai ahli komedi dengan gelaran Beat Takeshi. Hakikatnya, sebelum bergelar anak seni Kitano membesar dalam persekitaran yang sukar.
Lahir selepas perang Jepun pada 1947, Kitano dibesarkan dalam sebuah keluarga miskin di timur laut Jepun. Bapanya, seorang tukang cat rumah merupakan kaki judi dan pemabuk, selain kurang meluangkan masa dengan empat orang anaknya.

SEORANG pengunjung muzium kagum melihat hasil lukisan Kitano.


Hanya kerana usaha keras ibunya yang memaksa dia dan adik-beradiknya untuk belajar, Kitano terus berada di sekolah. Dengan kecenderungan pada mata pelajaran Matematik dan Sains, Kitano mendaftar ke universiti. Namun, minatnya terhadap bidang seni membuatkan dia mengabaikan pengajian di universiti.
Pesona Kitano
Selepas membuat penampilan pertama di pentas teater French Theatre di Asakusa, Kitano mendapat tempat dalam satu rancangan televisyen dengan nama Beat Takeshi.
Sejak itu, nama Kitano tersiar dalam lapan rancangan televisyen mingguan di Jepun.
Pesona Kitano sering berlawanan dengan watak yang dilakonkan dalam filemnya. Daripada watak seorang gangster, Kitano membawa karakter kanak-kanak lucu yang menyerlahkan sisi komedi dirinya.
Membalas kepada kritikan mengatakan dia seorang yang ganas. Kitano memberitahu: "Saya sangat sedih tetapi sejak awal penglibatan sebagai pelawak, saya memberitahu diri bahawa kritikan tidak boleh dipercayai," katanya.
Kitano membuktikan kepada pengkritik menerusi pengarahan pertamanya yang mana dia juga berlakon dalam filem tersebut iaituViolent Cop.
Beliau mula mendapat perhatian antarabangsa menerusi filem keempatnya iaitu Sonatine pada 1993 yang mengisahkan tentang yakuza.
Tahun berikutnya Kitano hampir berhadapan dengan maut apabila terlibat dengan satu kemalangan motosikal di Tokyo. Kemalangan tersebut meninggalkan parut dan menyebabkan sebahagian daripada mukanya lumpuh.
"Saya sepatutnya sudah mati tetapi secara kebetulan, saya terselamat daripada kemalangan dahsyat itu," katanya.
KITANO melancarkan koleksi hasil lukisan dan buku kisah hidupnya di Perancis.


Kitano bagaimanapun kembali bekerja tidak lama selepas menjalankan pengambaran filem Kids Return (1996) yang mengisahkan anak muda di kawasan kejiranan miskin diikuti filem HANA-BI (1997). Kisah cinta di tengah-tengah perbalahan kumpulan gangster itu telah memenangi Venice's Golden Lion Award.
Pada 2003, filem Zatoichi, mengenai kisah klasik ahli pedang buta Jepun berjaya mendapat kritikan positif dari dalam dan luar negara.
Menariknya selain pelancaran bukunya Kitano pat Kitano, beberapa acara diaturkan di Georges Pompidou Center, Perancis termasuklah hasil lukisan Kitano.
"Saya lebih suka menggelarnya sebagai lukisan kanak-kanak. Sekiranya saya memberitahu orang ramai bahawa melukis adalah salah satu hobi saya mereka pasti tertawa," katanya. - AFP

No comments: