Friday, February 19, 2010
Minta suami tampil selesai masalah
Rosliah Mohamed menunjukkan kad pengenalan diri skim rondaan sukarela suaminya yang menghilangkan diri, Mohd. Razib Mat Daud di Ipoh, semalam.
IPOH 18 Feb. - ''Saya tak tau ke mana nak mengadu. Saya bukan minta dia balik kepada saya, cuma harap dapat tampil selesaikan masalah yang dihadapi dengan baik."
Hakikatnya bukan mudah bagi seorang isteri mengucapkan kata-kata sebegini lebih-lebih lagi untuk mendapat perhatian ramai.
Namun, Rosliah Mohamed, 53, tiada pilihan lain. Dia terpaksa mengetepikan soal malu demi kebaikan diri serta anak-anaknya.
''Saya lebih memikirkan tentang anak- anak. Biarlah mereka belajar dengan tenang tanpa gangguan.
''Kebelakangan ini ramai yang mencari dia (suami) di rumah meminta hutang. Kami pun tak tau dia ada di mana kerana sejak dua bulan lalu dia menghilangkan diri," katanya yang turut ditemani oleh dua anaknya ke pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebagai pengamal perubatan alternatif dan perunding kesihatan, Rosliah berkata, reputasinya turut terjejas akibat sikap suami yang suka meminjam wang daripada pesakitnya.
Lebih mengecewakan ibu malang ini, Mohd. Razib menghilangkan diri setelah dia menghabiskan keseluruhan wang simpanannya.
''Selama ini saya tak kisah apa orang lain cakap tentang suami saya kerana terlalu percayakan dia. Tetapi setelah rahsianya terbongkar baru saya sedar saya silap," katanya yang mendakwa wang tersebut digunakan untuk perempuan lain.
Rosliah mendakwa, Mohd. Razib Mat Daud, 48, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta, bukan sahaja bersikap romeo, malah suami dan ayah yang tidak bertanggungjawab.
''Sepanjang perkahwinan, hanya sekali dia pernah membelikan pakaian untuk saya tetapi untuk anak-anak tak pernah langsung.
''Selalunya, saya yang menanggung segala keperluan rumah tangga," katanya.
Beliau menjelaskan permohonan fasakh terhadap suaminya itu sepatutnya didengar di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini malangnya terpaksa ditunda ke 29 Mac ini kerana ketidakhadiran Mohd. Razib ke mahkamah tersebut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment