Ogos 20, 2008
PADA suatu masa dahulu ada sekumpulan ayam yang tinggal di dalam sebuah reban. Di dalam reban ini ada lima ekor ayam betina dan seekor ayam jantan. Ayam jantan ini diberi nama Si Jalak.
Si Jalak ialah seekor ayam jantan yang segak. Bulunya berwarna coklat serta berjalur hitam dan bertompok-tompok putih. Ekornya hitam berkilat. Balungnya merah menyala.
Si Jalak mempunyai ramai kawan. Selain dari ibu-ibu ayam yang tinggal sereban dengannya, dia juga berkawan dengan kambing, lembu, angsa dan itik. Jika dia berjumpa dengan mereka, ada sahaja yang hendak dibualkannya.
Si Jalak juga menjadi kesayangan tuannya. Setiap subuh, Si Jalak akan mengokok dengan suara yang nyaring dan merdu. Apabila Si Jalak mengokok di waktu subuh, ” Uk … uk … uk … uuuuuk….,” tuannya akan terjaga. Tuannya pula akan membangunkan seluruh keluarganya untuk menunaikan fardhu subuh.
Pada suatu hari, Si Jalak sedang memakan dedak yang ditabur oleh isteri tuannya di belakang rumah. Anak tuannya yang baru belajar berjalan sedang bermain di halaman. Budak itu berlari mengejar rama-rama yang terbang dekat serumpun pokok bunga mawar.
Si Jalak hanya memerhatikan sahaja budak itu.
Tiba-tiba Si Jalak ternampak seekor ular kapak sedang melingkar di ranting pokok bunga mawar itu. Si Jalak meluru ke arah pokok bunga mawar dan mematuk ular tersebut. Ular itu jatuh ke tanah. Si Jalak terus mematuknya hingga mati. Budak kecil itu terkejut dan terjatuh lalu menangis.
Ibu budak itu turun dari rumah dan berlari mendapatkan anaknya. Didukung anaknya dan dipeluknya. Apabila dia ternampak ular itu, dia terus berlari naik ke rumah dan memberitahu suaminya.
Suaminya turun membawa sebatang buluh. Dia menuju ke arah pokok bunga mawar, tetapi apabila dikuis ular itu, didapatinya ular itu telah mati. Seluruh tubuh ular itu terdapat kesan dipatuk. Dia ternampak Si Jalak berada berhampiran. Tahulah dia bahawa Si Jalak telah menyelamatkan anaknya.
Dia naik semula dan memberitahu isterinya supaya berhati-hati apabila anak mereka bermain di halaman. Katanya, “Mujur juga ada Si Jalak di situ. Si Jalaklah yang membunuh ular itu. Jika tidak, tentulah anak kita dipatuk oleh ular kapak itu.”
Pada petang itu, Si Jalak pun pergilah mencari kambing. Kambing sedang meragut rumput di tepi batas. Si Jalak menegur kambing, “Hai kambing. Pagi tadi aku telah membunuh seekor ular kapak di celah pokok bunga mawar. Mujur juga aku nampak, jika tidak sudah tentu dipatuknya anak tuan kita.”
“Baguslah begitu Jalak. Tentu tuan kita sayangkan kau. Jika tuan kita sayangkan kita, hidup kita pun senang,” jawab kambing. Mereka terus berbual-bual hingga hari senja. Si Jalak dan kambing pun berjalan pulang. Di pertengahan jalan, mereka berjumpa lembu yang baru pulang dari bekerja menarik kereta lembu.
Si Jalak melompat naik ke atas belakang lembu. Mereka bertiga terus berjalan pulang. Sampai sahaja mereka ke rumah tuan mereka, Si Jalak pun terus masuk ke rebannya. Kambing dan lembu pula masuk ke kandang masing-masing.
Subuh esoknya, Si Jalak bangun dan berkokok, ” Uk …. uk …. uk …. uuuk.” Ibu-ibu ayam pun bangun. Mereka turun dari reban bersama anak-anak mereka untuk mencari makan. Si Jalak juga keluar. Kali ini Jalak ingin mencari makan di tempat orang menumbuk padi untuk dibuat beras. Selalunya ada beras yang tumpah dari lesung.
Oleh kerana hari masih awal, belum ada orang di tempat menumbuk padi itu. Si Jalak pun makanlah sekenyang-kenyangnya. Tiba-tiba di terlihat kerlipan hijau dari celah semak. Dia pergi menghampiri cahaya hijau tadi.
Di celah semak itu di lihatnya sebutir batu hijau yang sungguh cantik. Walau pun batu itu kecil sahaja, namun kerlipannya amat menawan hati. Si Jalak menghampiri batu itu dan membeleknya dengan paruhnya. Nampaknya batu ini bukan sebarang batu. Ini mesti batu permata, fikir Si Jalak.
Si Jalak terus mematuk batu itu dan disimpannya di dalam mulutnya. Dia terus pulang. Di pertengahan jalan, Si Jalak bertembung dengan angsa. Angsa menegurnya, “Hai Jalak. Semasa aku berjalan di bawah rumah tuan kita tadi, aku dengar tuan memuji-muji keberanian kau membunuh ular kapak yang bisa kelmarin.”
Si Jalak hanya menganggukkan kepalanya. Dia tidak mahu membuka mulutnya kerana takut batu permata tadi jatuh ke tanah. Angsa menjadi hairan kerana Si Jalak langsung tidak menegurnya. Amboi, baru dipuji sedikit, sudah mula sombong, fikir angsa. Angsa berasa kecil hati atas perbuatan Si Jalak itu.
Apabila sampai di reban, Si Jalak melihat ibu-ibu ayam dan anak-anak mereka sedang berlegar di keliling reban. Si Jalak terus masuk ke dalam reban. Ada beberapa anak ayam cuba mengikutnya masuk ke reban, dikuisnya mereka dengan kakinya. Lari bertempiaranlah anak-anak ayam itu.
“Klak. Klak. Mengapa pula Si Jalak memarahi anak-anak kita ni? Bukannya mereka mengacaunya. Tetapi mengapa pula tidak dibenarkan mereka masuk ke reban?” rungut seekor ibu ayam.
Si Jalak masuk ke reban dan cuba mencari tempat untuk menyembunyikan batu permata itu. Mula-mula diselitkannya di celah dinding buluh reban itu. Kemudian diubahkannya ke bawah sekeping lantai yang longgar. Si Jalak terus duduk di atas kepingan lantai itu. Dia tidak keluar dari reban itu sepanjang hari.
Apabila hari sudah senja, ibu-ibu ayam pun membawa anak-anak mereka masuk ke dalam reban. Mereka hairan melihat Si Jalak duduk di atas lantai reban itu seolah-olah sedang mengeramkan telur. Ibu-ibu ayam tidak berkata apa-apa. Mereka hanya memerhatikan telatah Si Jalak.
Pada malam itu, Si Jalak tidak dapat lena. Dia takut batu permatanya dicuri. Jadi berjagalah dia sepanjang malam. Apabila sudah subuh, Si Jalak pun berkokok, ” Uk … uk …” Si Jalak terlalu mengantuk hinggakan suaranya pun tidak keluar untuk berkokok.
Oleh kerana suaranya terlalu perlahan, tuannya tidak terjaga awal. Apabila tuannya terjaga, dilihatnya matahari sudah tinggi. Bergegaslah tuannya membangunkan keluarganya untuk bersembahyang subuh. Pagi itu mereka bersembahyang subuh gajah. Tuannya merungut kerana Si Jalak tidak berkokok dengan kuat seperti biasa.
Ibu-ibu ayam dan anak-anak mereka pun keluar reban. Setelah mereka keluar barulah Si Jalak melelapkan matanya. Dia tidak keluar dari rebannya untuk mencari makan. Dia hanya tidur di dalam rebannya sehari suntuk. Apabila sudah petang, perutnya berasa lapar, tetapi dia tidak mahu keluar kerana takut meninggalkan batu permatanya.
Pada subuh esoknya, Si Jalak terjaga apabila hari sudah siang. Rebannya pun telah kosong kerana semua ibu dan anak ayam sudah lama keluar untuk mencari makan. Si Jalak terdengar tuannya marah-marah kerana Si Jalak tidak berkokok subuh itu.
Si Jalak berasa sangat lapar kerana sudah dua hari tidak makan. Oleh kerana terlalu lapar dan haus, Si Jalak terpaksa keluar. Sebelum dia keluar, dia telah mengubah tempat persembunyian batu permatanya. Kali ini dimasukkannya batu permata itu ke dalam sebuah lubang kecil di tepi dinding.
Si Jalak pun keluar reban. Dia berlari ke belakang rumah tuannya dengan harapan ada makanan. Rupanya semua makanan yang disediakan oleh isteri tuannya telah dimakan oleh ibu-ibu ayam, anak-anak ayam, itik dan angsa.
Si Jalak menjadi marah kerana sudah tiada apa yang ada untuk dimakan. Dia tidak pergi ke tempat orang menumbuk padi kerana tidak mahu berjauhan dari batu permatanya.
Itik datang menghampirinya lalu berkata, “Hai Jalak. Sudah dua hari kamu tidak keluar reban. Adakah kamu sakit?”
“Kalau aku sakit pun, bukan menyusahkan kamu!” jawab Si Jalak dengan sombong. Itik sungguh terkejut mendengar jawapan Si Jalak hinggakan tidak dapat berkata apa-apa. Itik terus berundur dari situ dan pergi mendapatkan angsa.
“Betul juga kata kamu, angsa. Si Jalak sudah menjadi bongkak,” lalu itik menceritakan apa yang berlaku sebentar tadi. Angsa hanya menggeleng-gelengkan kepala seolah-olah tidak percaya apa yang terjadi. Ini adalah kerana mereka berkawan rapat dengan Si Jalak sejak kecil lagi.
Si Jalak pula pergilah ke kawasan limbah di belakang dapur untuk mencari makanan. Dia tahu bahawa makanan di situ tidak bersih, tetapi kerana terlalu lapar, dimakannya juga apa yang ada di limbah itu. Biarlah tak kenyang, tetapi aku sekarang ada batu permata, fikir Si Jalak.
Lepas makan, Si Jalak terus masuk ke rebannya. Dia terus memeriksa lubang tempat dia menyembunyikan batu permata itu. Dilihatnya batu permata itu masih ada di dalam lubang. Dia kemudian menyumbatkan jerami padi ke dalam lubang supaya batu permata itu tidak dapat di lihat langsung.
Beberapa hari berlalu. Perangai Si Jalak berubah terlalu mendadak. Ibu-ibu ayam berbincang sesama sendiri. Itik dan angsa pula pergi berjumpa kambing dan lembu menceritakan telatah Si Jalak.
Lembu kemudiannya menceritakan perbualan tuan mereka dengan seorang petani ketika dia menarik kereta lembu pagi. Tuannya berhajat hendak membela ayam jantan yang lain kerana Si Jalak sudah tidak boleh berkokok pada waktu subuh lagi.
Itik dan angsa pulang dan berjumpa ibu-ibu ayam. Mereka menceritakan apa yang mereka dengar dari lembu. Ibu-ibu ayam menjadi susah hati kerana mereka telah mengenali Si Jalak dari mereka kecil lagi. Kalau ayam jantan lain datang, mereka tentu terpaksa menyesuaikan diri dengan ayam jantan yang baru pula.
Ibu-ibu ayam bermesyuarat mengenai pengembangan terbaru ini. Mereka bersetuju untuk berhadapan dengan Si Jalak untuk mencari penyelesaian masalahnya. Kelima ibu ayam itu pun masuk ke reban.
Di dalam reban itu mereka jumpa Si Jalak yang sedang duduk bersandar ke dinding. Ibu ayam yang tertua berkata, “Hai Jalak. Kami ingin bertanyakan sesuatu dari kamu. Kami harap kamu bersedia menyatakan masalah kamu.”
“Yang kamu semua sibuk ni, mengapa?” kata Si Jalak dengan angkuh.
“Kami sibuk kerana kami dapat tahu bahawa tuan kita hendak menggantikan kamu dengan ayam jantan yang lain. Jika itu betul, kami rasa kamu akan disembelih untuk dibuat lauk kerana sekarang ini kamu tidak berguna lagi,” kata ibu ayam.
Rasa nak pitam Si Jalak mendengar kata-kata ibu ayam itu. Memang benar sudah hampir seminggu dia tidak berkokok kerana badannya lemah dan selalu tak cukup tidur. Kata ibu ayam lagi, “Sekarang ini kawan-kawan baik kamu semuanya mengatakan bahawa kamu ini sombong. Tetapi mereka semua masih sayangkan kamu. Itulah mereka selalu bertanya khabar. Cuma kamu sahaja tidak menghargai persahabatan mereka.”
Si Jalak berasa sangat sedih. Sejak dia berjumpa batu permata ini, hidupnya menjadi susah. Setiap hari dia tidak cukup makan. Kawan-kawannya pula terpaksa menjauhkan diri kerana dia tidak mempedulikan mereka. Tuannya yang dahulu menyayanginya, kini hendak menggantikan dia dengan ayam jantan yang lain. Ibu-ibu dan anak-anak ayam juga sering berkecil hati kerana dia selalu memarahi mereka jika mereka menghampiri tempat dia menyembunyikan batu permatanya.
Setelah berfikir dengan mendalam mengenai masalahnya, Si Jalak pun berterus terang dengan ibu-ibu ayam. Mereka pun meminta ditunjukkan batu permata itu. “Klak. Klak. Klak. Cantiknya batu permata hijau ini. Patutlah kamu amat menyayanginya,” kata mereka. Tetapi Si Jalak telah pun membuat keputusan dia tidak mahukan batu permata ini lagi, walau bagaimana cantik pun.
Si Jalak mengutip batu permata itu dengan paruhnya dan dibawanya keluar dari reban. Dia berjalan ke arah rumah tuannya. Dilihatnya isteri dan anak tuannya sedang duduk dibawah pokok jambu air di tepi rumah. Dia pergi kepada isteri tuannya dan diluahkannya batu permata hijau itu. Batu permata itu pun jatuh ke tanah di tepi kaki isteri tuannya itu.
Melihatkan batu berwarna hijau diluahkan oleh Si Jalak, isteri tuannya itu pun tunduk dan mengambil batu itu. “Aduh. Bertuah betul kamu ini Jalak! Batu zamrud yang terjatuh dari cincin perkahwinanku dulu telah dijumpai. Sudah hampir seminggu aku mencarinya, baru sekarang berjumpa,” kata isteri tuannya sambil memanggil suaminya turun.
Suaminya pun turun dan ditunjukkan batu zamrud yang dijumpai oleh Si Jalak. Tuan Si Jalak sungguh gembira kerana sudah seminggu isterinya bersugul kerana kehilangan batu zamrud itu. Si Jalak berlalu dari situ dengan senang hati. Dia pergi mencari kawan-kawannya itik, angsa, kambing dan lembu untuk meminta maaf kepada mereka atas sikapnya akhir-akhir ini.
Sejak hari itu, Si Jalak berkokok setiap waktu subuh dengan suara yang lebih nyaring dan merdu. Tuannya juga tidak lagi bangun lewat dan sentiasa dapat mengerjakan sembahyang subuh tepat pada waktunya. Si Jalak terus disayangi oleh tuannya seisi keluarga. Kawan-kawan Si Jalak juga gembira kerana Si Jalak kembali menjadi riang dan peramah.
Sumber Asal :
Mohamed Yosri Mohamed Yong
No comments:
Post a Comment