Pages

Sunday, January 6, 2013

Tuna dilelong RM5.5 juta




KIYOSHI Kimura bergaya dengan ikan tuna yang dibeli pada harga RM5.5 juta di hadapan restoran sushi miliknya di Tokyo, Jepun semalam.


TOKYO - Seekor tuna sirip biru gergasi mencatat sejarah apabila ia dilelong pada harga AS$1.8 juta (RM5.5 juta) dalam satu majlis lelongan pertama di pasar ikan Tsujiki, dekat sini semalam.
Harga tersebut adalah tiga kali ganda berbanding rekod jualan tahun lalu iaitu AS$640,000 (RM1.9 juta). Ikan seberat 222 kilogram itu ditangkap di perairan Oma, utara Jepun. Pasar ikan Tsujiki sering mengadakan acara lelongan ikan dan menjadi antara lokasi kegemaran pelancong asing.
Ikan itu dibeli oleh Kiyoshi Kimura, presiden dan pemilik syarikat yang mengendalikan rangkaian restoran popular Sushi-Zanmai. Kimura juga memenangi bidaan ikan tuna sirip biru pada tahun lalu.
"Saya mahu memenuhi ekspektasi pelanggan yang ingin menikmati tuna terbaik Jepun pada tahun ini. Dengan tuna ini, saya harap dapat menceriakan rakyat Jepun," kata Kimura yang dipetik daripada akhbar Jiji Press.
Berdasarkan kepada harga itu, sekilogram ikan tuna tersebut berharga sekitar 700,000 yen (AS$7,940 atau RM24,180). Maka, sekeping sushi yang menggunakan ikan itu boleh mencecah harga kira-kira 30,000 yen (AS$340 atau RM1,036).
Namun, Kimura menyatakan dia tidak akan menjual sushi pada harga begitu mahal. Sebaliknya hanya dijual pada harga lebih realistik iaitu 398 yen (AS$4.50 atau RM13.75). - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2H9ISZCCC 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, January 5, 2013

Pagar sempadan Israel-Mesir siap dibina

Pagar sempadan Israel-Mesir
Israel siap membina pagar sempadan yang memisahkan negara
 itu dengan Mesir, kelmarin. Foto: EPA

TEL AVIV - Israel siap membina pagar sepanjang 230 kilometer dari Pelabuhan Eilat di Laut Merah hingga Genting Gaza yang memisahkan negara itu dengan Mesir, kelmarin.

Pagar setinggi lima meter itu turut disokong peralatan pengawasan tentera yang kononnya dianggap oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sebagai bukti komitmen beliau terhadap keselamatan Israel.

Tujuan utama ia dibina adalah untuk menghalang pendatang haram dan pejuang Islam bersembunyi di kawasan Sinai yang tidak diletakkan di bawah undang-undang Mesir.

Difahamkan, peringkat akhir pagar sepanjang 14 km tersebut dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

Israel dilihat sengaja mempercepatkan projek pembinaan itu berikutan jumlah kemasukan penduduk Afrika ke negara itu dilaporkan semakin meningkat.

Langkah terbaru itu menyebabkan hanya 36 pendatang haram memasuki ke Israel pada bulan lalu berbanding 2,153 orang pada 2011.

Lebih 60,000 penduduk Afrika masuk ke negara itu secara haram sejak beberapa tahun lalu untuk mendapatkan pekerjaan dan perlindungan. - Al-Jazeera

Murid kritikal dicabul guru




         
JAKARTA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang menjadi mangsa serangan seksual berulang kali dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi di Hospital Persahabatan, di Rawamangun, Jakarta Timur semalam.

Pengerusi Komisi Nasional Perlindungan Anak (Komnas PA) Arist Merdeka Sirat berkata, kes cabul itu belum dilaporkan kepada polis. “Kami akan membuat laporan polis hari ini (semalam) agar siasatan lanjut dapat dilakukan,” katanya.


Kanak-kanak itu mengalami demam panas dan serangan sakit secara mendadak sejak dua minggu lalu, tetapi hasil diagnosis doktor yang berbeza mengatakan mangsa menghidap nodus limfa dan demam kepialu. Dia tidak sedarkan diri sejak 29 Disember lalu.

“Kami mendapati ada kesan kecederaan di vagina dan rektum mangsa apabila kami ingin memberikan rawatan untuk serangan sakit dihidapinya,” kata Pengarah hospital terbabit, Priyanti Soepandi.


Dia berkata, pihaknya belum dapat memutuskan sama ada kecederaan itu menyebabkan demam panas dan serangan sakit secara tiba-tiba itu. Ibu mangsa berkata, anaknya mengalami pendarahan di vagina sejak dua bulan lalu, tetapi enggan memberitahu apa yang berlaku. Bagaimanapun, katanya, rakan sekelas anaknya memberitahunya seorang guru di sekolah mereka sering berkelakuan tidak senonoh terhadap muridnya, termasuk anaknya. - JP

Bukan lagi paling gemuk




          MASON, lelaki paling gemuk di dunia sebelum menjalani pembedahan pintasan gastrik.

MASON, lelaki paling gemuk di dunia sebelum menjalani pembedahan pintasan gastrik.
LONDON: Bekas lelaki paling gemuk di dunia semalam meraikan kejayaannya menurunkan berat badan sebanyak 292 kilogram.

Paul Mason berjaya mengurangkan dua per tiga daripada 445 kilogram berat badannya sebelum ini selepas menjalani pembedahan pintasan gastrik.
 

Foto
MASON menunjukkan bentuk tubuh terbarunya.
Pembedahan itu mengurangkan perutnya kepada saiz sebiji telur.

Bekas posmen dari Ipswich, Suffolk itu semalam berkata: “Perjalanan saya masih jauh.”


Dia berikrar untuk menjadi lelaki yang paling gemuk di dunia kepada lelaki yang paling banyak turun berat badan.


Bil perubatan untuk membantu Mason menurunkan berat badan dipercayai mencecah �1 juta (RM5 juta).

Mason, 51, mengaku: “Saya malu digelar lelaki paling gemuk di dunia kerana sedar saya yang menyebabkan diri saya dalam keadaan seperti itu.

“Kini, saya yakin akan menjadi orang paling berjaya melangsingkan badan di dunia. Tetapi, perjalanan saya masih jauh.

“Saya mahu mencapai antara 88 hingga 95 kilogram, berat badan yang sihat untuk seseorang dengan ketinggian 1.98 meter.

“Saya bangga kerana dapat menunjukkan kepada orang lain yang mempunyai masalah berat badan mengenai apa yang boleh mereka capai,” katanya.

Mason pernah satu ketika makan makanan 20,000 kalori sehari, kira-kira 10 kali ganda daripada tahap yang disyorkan.

Dia kini mengubah amalan pemakanannya kepada sayur dengan jumlah yang kecil.

Lelaki itu sekarang seberat 152 kilogram selepas kehilangan dua per tiga daripada beratnya dulu sama berat dengan tiga petinju heavyweight.

“Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) berkata, berat bedan saya perlu stabil selama dua tahun sebelum mereka menimbang untuk menjalankan pembedahan membuang kulit saya yang menggeleber.

“Tetapi saya mahu menjalani pembedahan itu secepat mungkin kerana ia akan membolehkan saya bergerak lebih bebas dan membantu menurunkan lebih banyak berat badan saya,” katanya.

Mason berkata, dia menghadapi masalah kecelaruan makan kesan daripada dibuli ketika zaman kanak-kanak.

Masalah itu bertambah buruk dengan kematian bapanya pada 1986.

Anggota bomba terpaksa memecahkan dinding depan rumahnya dan menggunakan forklif untuk mengusungnya masuk ke ambulans apabila dia perlu menjalani pembedahan hernia ketika berat badannya 355 kilogram. - TS

Friday, January 4, 2013

Hadiah kahwin RM500 juta

pix_middle
BEIJING: Seorang jutawan China menghadiahkan pelbagai barangan berharga bernilai RM500 juta, termasuk empat kotak barang kemas, dua kereta mewah, saham dan beberapa rumah sempena perkahwinan anak perempuannya.
Media melaporkan, Pengerusi Kumpulan Fujian Wanli, Wu Duanbiao, juga bermurah hati memberikan anaknya akaun bank dengan simpanan bernilai RM10 juta serta pelbagai rumah mewah. Gambar hadiah perkahwinan itu dimuat naik di Internet mulai kelmarin selepas majlis penuh meriah selama lapan hari itu berakhir.

Majlis itu diadakan di bandar Cizao, Jinjiang, Fujian. Wu - pemilik syarikat pengeluar seramik - turut menganugerahkan menantunya pemilikan sebuah rangkaian kedai runcit di Quanzhou, vila mewah serta rumah agam Wanda. Tidak cukup dengan itu, menantu Wu memperoleh 500 juta saham dalam syarikat Fujian Wanli dengan nilai lebih RM50 juta dan masing-masing sebuah kereta Porsche serta Mercedes yang dihiasi reben merah. Kegembiraan perkahwinan itu turut dikongsi dua pertubuhan kebajikan tempatan yang menerima derma bernilai RM7.5 juta.

Nilai kekayaan sebenar Wu, 54, tidak diketahui dan rekod syarikatnya menunjukkan dia hanya menerima gaji sebanyak RM60,000 tahun lalu. Sementara itu, isteri Wu menggambarkan menantu mereka sebagai ‘pemuda yang hebat’.

Sebagai ibu bapa, kata isteri Wu, dia dan suaminya mahukan anak mereka hidup dengan stabil berbanding diri mereka sebagai ahli perniagaan. Ketika ini, menurut laporan media tempatan, pasangan pengantin baru itu mempunyai jawatan dalam lembaga pengarah syarikat Wu.

Mereka juga dilaporkan merancang penyenaraian saham syarikat itu di bursa Korea Selatan. Menantu Wu - hanya dikenali sebagai Xu - adalah kakitangan kerajaan dan mengenali kekasihnya sejak zaman kanak-kanak. Jurucakap Wu mengesahkan pemberian hadiah berkenaan, tetapi menafikan pesta meraikannya berlangsung selama lapan hari.


“Wu suka melakukan sesuatu secara sederhana,” katanya. Berdasarkan maklumat di Internet, jamuan perkahwinan anak Wu itu bermula pada 28 Disember dan berlangsung selama lapan hari bagi meraikan tetamu yang ramai. Memberi hadiah mahal memang menjadi tradisi perkahwinan di Fujian, terutama di kawasan Jinjiang dan Shishi. - DM

Lemak beri tenaga ketika sakit



GEMUK sedikit tidak mengapa tetapi jika berlebihan, ia akan bawa masalah. – Gambar hiasan


WASHINGTON – Berat badan berlebihan beberapa kilogram bukan sesuatu yang buruk, demikian menurut satu analisis baharu melibatkan hampir tiga juta orang. Analisis tersebut yang dibuat di Amerika Syarikat (AS) mendapati mereka yang memiliki berat badan berlebihan atau sedikit obes berkecenderungan hidup lebih lama. Namun, pakar-pakar kesihatan memberi amaran manfaat tersebut akan hilang sekiranya berat berlebihan beberapa kilogram itu bertambah dengan banyaknya.
Para penyelidik kajian berkenaan menggunakan data daripada hampir 100 kajian di seluruh dunia merangkumi maklumat kesihatan melibatkan lebih 2.8 juta orang dewasa. Antara sampel populasi tersebut, terdapat sekitar 270,000 kematian sepanjang tempoh kajian dijalankan. Selepas beberapa faktor lain seperti usia, jantina, tabiat merokok telah dikawal, kumpulan dengan ketinggian dan berat badan ‘berlebihan’ didapati kurang berisiko untuk mati sebanyak enam peratus berbanding mereka yang memiliki berat badan normal.
Kajian sama turut mendapati mereka yang ‘sedikit obes’ dengan ketinggian dan berat merangkumi indeks jisim badan (BMI) antara 30 hingga 35 didapati lima peratus kurang berisiko meninggal dunia sepanjang tempoh kajian. Namun, bagi mereka yang obes dengan BMI 35 dan ke atas, kadar kematian melonjak sebanyak 29 peratus berbanding subjek yang mempunyai berat badan normal. Penemuan terbaharu itu disiarkan Selasa lalu dalam jurnal saintifik, Journal of the American Medical Association (JAMA).
Pengarang-pengarang kajian itu memberikan beberapa sebab mengapa sedikit berat berlebihan baik untuk tubuh manakala berat ekstrem pula memudaratkan manusia. Mereka berkata, pertambahan lemak badan membekalkan manfaat metabolisme yang dapat melindungi jantung atau simpanan lemak berlebihan dapat membantu semasa ketiadaan selera makan ketika sakit. Ketua penyelidik berkenaan daripada Pusat AS Untuk Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) pernah menyiarkan satu kajian kontroversi pada 2005.
Kajian itu menunjukkan terdapat kaitan antara berat berlebihan dan jangka hayat lebih lama. Namun, kali ini, analisis kajian serupa dibuat berdasarkan sampel lebih besar yang diambil dari negara-negara berbeza di Amerika Utara, Eropah, Asia dan Amerika Selatan. Dua saintis bioperubatan, Steven Heymsfield dan William Cefalu dalam satu editorial yang turut disiarkan Selasa lalu dalam jurnal JAMA mengulas, kajian terbaharu itu dan beberapa penyelidikan lain menunjukkan sejumlah kecil lemak berlebihan memberikan simpanan tenaga yang diperlukan badan manusia ketika sakit atau membantu dalam cara lain.
Kata mereka, faktor-faktor tersebut masih memerlukan kajian lanjut. “Penemuan ini menunjukkan tidak semua pesakit yang diklasifikasi mempunyai berat berlebihan atau obesiti tahap satu terutamanya mereka yang menghidap sakit kronik memerlukan rawatan pengurangan berat badan,” jelas mereka. Pengarah CDC, Thomas Friedan ketika mengulas penemuan tersebut berkata: “Kita perlu lebih belajar tentang obesiti termasuk kaedah terbaik untuk mengiranya”. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0104&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2GxUps2RV 
Hakcipta terpelihara 

Aktivis marah sirip jerung disembunyi




AFP
SEBAHAGIAN daripada ribuan sirip jerung disusun untuk dikeringkan.


HONG KONG - Aktivis-aktivis alam sekitar di sini meluahkan rasa marah semalam berikutan pendedahan beberapa keping gambar menunjukkan bumbung sebuah kilang dipenuhi beribu-ribu sirip ikan jerung yang baru dilapah.
Terletak di selatan China, pulau ini merupakan antara pasaran sirip jerung terbesar di dunia. Sirip jerung digunakan untuk membuat sup mewah yang disajikan pada majlis-majlis bankuet dan dianggap sajian istimewa oleh ramai penduduk Asia.
Seorang aktivis, Gary Stokes yang melawat lokasi berkenaan menganggarkan terdapat antara 15,000 hingga 20,000 sirip ikan jerung sedang dijemur di atas bumbung sebuah bangunan di kota metropolitan ini.
Sirip-sirip jerung itu dipercayai sebagai persediaan untuk memenuhi permintaan mendadak bahan makanan tersebut menjelang sambutan Tahun Baharu Cina pada Februari depan.
"Penemuan ini mengejutkan. Tindakan menyorok sirip jerung di kawasan tersembunyi seperti ini adalah pertama kali berlaku di pulau ini," kata koordinator kumpulan pemuliharaan alam sekitar tempatan, Sea Seherperd kepada agensi berita AFP.
Sekitar 73 juta ikan jerung dibunuh setiap tahun dengan pulau ini mengimport kira-kira 10,000 tan makanan tersebut sejak sedekad lalu.
Kebanyakan sirip ikan itu kemudian dieksport ke tanah besar China.
Sekilogram sirip jerung kering boleh dijual pada harga HK$10,000 (RM3,911) di sini, manakala semangkuk sup sirip jerung berharga HK$1,000 (RM391). - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0104&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2GxTdPEdz 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, January 3, 2013

Serangan udara sambut tahun baharu di Syria



sebahagian dari bangunan yang musnah akibat dibedil jet pejuang tentera Syria dalam beberapa siri serangan udara di Deraya berhampiran Damsyik pada 29 Disember 2012. - reuters
DAMSYIK 2 Jan. - Beberapa siri serangan udara menggegarkan Damsyik, ketika penduduk meraikan kedatangan tahun baharu semalam, menimbulkan keraguan terhadap usaha diplomatik bagi menghentikan konflik berlarutan di Syria sejak 21 bulan lalu.
Sementara itu, lapangan terbang Aleppo di utara Syria terpaksa ditutup buat sementara waktu berikutan serangan berulang pemberontak.
Siri serangan terbaharu itu berlaku sehari selepas aktivis melaporkan penemuan berpuluh-puluh mayat penduduk kelmarin, menjadi bukti konflik meruncing di Syria, ketika kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad mengalu-alukan sebarang inisiatif rundingan bagi menamatkan konflik itu.
Tentera Syria meningkatkan serangan jet pejuang dengan mengebom timur laut dan barat daya, pinggir bandar Damsyik serta kubu kuat pemberontak berdekatan laluan utama ke lapangan terbang Damsyik.
Aktivis, Abu Kinan berkata, tiga serangan udara oleh pesawat MiG menyasarkan Daraya sejak pagi semalam dan serangan masih berterusan.
Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria berkata, beberapa pertempuran besar pula berlaku berdekatan bandar Bait Saham dan Aqraba sepanjang jalan ke lapangan terbang dan tembakan itu menyebabkan tiga orang awam terbunuh berdekatan Ziabiyeh.
Pertempuran merebak sehingga luar Damsyik sejak beberapa minggu kebelakangan ini, di lokasi pemberontak mewujudkan pangkalan mereka.
Di utara Syria, yang kebanyakan dikawal pemberontak, pihak berkuasa mengumumkan penutupan sementara lapangan terbang antarabangsa Aleppo, selepas beberapa siri serangan pemberontak beberapa hari kebelakangan ini.
"Terdapat cubaan berterusan oleh militan pembangkang yang menyasarkan lapangan terbang awam hingga berpotensi mencederakan orang awam," kata pegawai lapangan terbang.
Namun katanya, penutupan itu hanya untuk tempoh yang pendek ketika tentera berusaha menawan kembali beberapa kawasan yang ditawan pemberontak di sekitarnya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130103/lu_04/Serangan-udara-sambut-tahun-baharu-di-Syria#ixzz2GvCOpCXG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

7 maut jalani ujian kecergasan




3 Januari 2013
7 maut jalani ujian kecergasan
Masalah kemiskinan menyebabkan pemuda Afrika Selatan sanggup menggadai nyawa demi membaiki kehidupan.
JOHANNESBURG - Seramai tujuh calon polis trafik maut dan 230 yang lain pengsan sewaktu menjalani ujian kecergasan di Afrika Selatan.

Menurut pegawai, ujian yang dihadiri lebih 15,000 calon bagi mengisi 90 kekosongan jawatan itu berlangsung di stadium bola sepak dalam keadaan panas terik dan kekurangan bekalan air minum.

"Calon-calon dikehendaki menamatkan larian sejauh 4 kilometer dalam tempoh 30 minit bagi memenuhi tahap kecergasan pasukan keselamatan negara.

"Sebaik sahaja kesemua calon memulakan larian, suhu di Stadium Harry Gwala Pietermaritzburg naik sehingga 91.5 darjah Celsius," kata pegawai.

Sementara itu, seorang calon mendedahkan mereka tidak diberi makanan dan minuman sepanjang melakukan ujian berkenaan.

Jurucakap pegawai perubatan berkata, kesemua calon yang pengsan disahkan mengalami keletihan akibat cuaca panas dan kekurangan air.  - MailOnline

Pendapatan 100 jutawan dunia cecah RM5.77 trilion



   
 
Foto
Carlos menduduki tempat pertama individu terkaya dunia manakala Robert Kuok, rakyat Malaysia tersenarai di tempat ke-41.


Foto
Carlos Slim pengasas syarikat telekomunikasi Mexico individu terkaya dunia

Jumlah kekayaan hartawan dunia bertambah tahun lalu dengan peningkatan nilai bersih terkumpul masing-masing AS$241 bilion (RM732 bilion).

Indeks Jutawan Bloomberg iaitu ranking harian 100 individu terkaya di dunia, mendapati nilai bersih terkumpul keseluruhan 100 jutawan dunia adalah AS$1.9 trilion (RM5.77 trilion) selepas pasaran ditutup pada 31 Disember lalu.
Daripada 100 individu yang disenarai dalam ranking terakhir 2012, hanya 16 mencatatkan kerugian bersih dalam tempoh 12 bulan lalu.

“Tahun 2012 adalah tahun yang hebat kepada hartawan dunia,” kata tokoh perniagaan dan pemilik Red Apple Group Inc, John Catsimatidis dalam satu e-mel yang dihantar dari Bahamas.

“Pada 2013, mereka akan terus meninjau pelaburan di serata dunia yang tidak semestinya di Amerika Syarikat (AS) untuk memberikan kelebihan kepada diri masing-masing.”

Amancio Ortega, warga Sepanyol yang mengasaskan syarikat peruncitan Inditex SA adalah individu yang meraih keuntungan terbesar. Ortega kini adalah individu ketiga terkaya dunia.

Mengikut indeks itu, nilai kekayaan jutawan berusia 76 tahun itu meningkat AS$22.2 bilion (RM67.5 bilion) kepada AS$57.5 bilion (RM174.6 bilion) apabila saham Inditex, syarikat yang mengendalikan perniagaan rangkaian pakaian Zara, meningkat 66.7 peratus.
“Ia adalah syarikat mantap yang meraih pendapatan hebat dan keuntungannya menepati justifikasi berikutan prestasinya itu,” kata Penganalisis Barclays Plc di London, Christodoulos Chaviaras, yang memberikan penarafan ‘setara’ kepada Inditex selama setahun.

“Bolehkan mereka mengulanginya? Ia menjadi lebih sukar. Banyak berita positif sudah pun dicerminkan pada harga sahamnya.”

Saham global meningkat pada 2012. Indeks MSCI World menokok 13.2 peratus tahun lalu untuk ditutup pada 1,338.50 pada 31 Disember.

Indeks Standard and Poor’s 500 (S&P) meningkat 13.4 peratus untuk ditutup pada 1,426.19. Saham Eropah melonjak pada separuh kedua tahun lalu.

Stoxx Europe 600 menokok 19.6 peratus sejak 4 Jun, meningkat apabila Bank Pusat Eropah (ECB) memperkenalkan program pembelian bon, S&P menaikkan penarafan hutang Greece serta peningkatan keyakinan perniagaan di Jerman yang melebihi unjuran.

Kenaikan 14.4 peratus pengukur penanda aras itu tahun lalu adalah pulangan tahunan tertinggi sejak 2009.

Carlos Slim, jutawan telekomunikasi yang menguasai syarikat Mexico, America Movil SAB mengekalkan kedudukannya sebagai individu terkaya dunia sepanjang tahun lalu.

Nilai bersih jutawan berusia 72 tahun itu meningkat AS$13.4 bilion (RM40.7 bilion), atau 21.6 peratus sehingga 31 Disember lalu, menjadikannya individu yang meraih keuntungan kedua tertinggi pada 2012.

Keuntungan diraih konglomerat industri Slim, Grupo Carso SAB dan Grupo Financiero Inbursa iaitu operasi perbankan serta insuransnya, lebih daripada mengimbangi penurunan yang dicatatkan oleh America Movil, yang juga pegangan terbesarnya.

Pengendali mudah alih terbesar di benua Amerika dari segi langganan itu jatuh 5.8 peratus untuk ditutup pada 14.9 peso, hujung tahun lalu.

“America Movil bukan lagi cerita pertumbuhan seperti sebelumnya, memandangkan penembusan tanpa wayar di benua Amerika Latin telah berlaku sejak lima tahun lalu,” kata penganalisis Stifel Nicolaus & Co, Chris King, di Baltimore, Maryland.

“Ia terus menjana sejumlah besar aliran tunai dan mempunyai set aset telekomunikasi di seluruh rantau Amerika Latin.”

Jutawan perisian AS, Bill Gates, 57, berada di tempat kedua dalam senarai itu.

Beliau ketinggalan AS$12.5 bilion (RM38 bilion) di belakang Slim.

Kekayaan pengasas bersama Microsoft itu meningkat AS$7 bilion (RM21.2 bilion) apabila saham syarikat berpangkalan di Washington itu meningkat 2.9 peratus.

Kekayaan Warren Buffett, 82, Pengerusi Berkshire Hathaway yang kehilangan gelarannya kepada Ortega pada 6 Ogos lalu, meningkat AS$5.1 bilion (RM15.5 bilion) tahun lalu.

Pengasas IKEA, Ingvar Kamprad, 86, adalah individu kelima terkaya dunia dengan nilai kekayaan berjumlah AS$42.9 (RM130.3 bilion).

‘Raja Gula’, Robert Kuok pula muncul satu-satunya rakyat Malaysia tersenarai dalam indeks itu apabila menduduki tempat ke-41 dengan nilai kekayaan AS$17.9 bilion (RM54.3 bilion). - Bloomberg

Bapa bagi hantaran RM495 juta untuk perkahwinan anak perempuan



Agensi
GAMBAR menunjukkan wajah anak perempuan Duanbiao yang berkahwin di Jinjiang.


JINJIANG, China - Seorang ahli perniagaan di sini, Wu Duanbiao bermurah hati apabila beliau memberikan hantaran mencecah 1.01 bilion yuan (RM495 juta) menjelang perkahwinan serba mewah seorang anak perempuannya, menurut beberapa laporan semalam.
Menurut akhbar The South China Morning Post, antara hadiah perkahwinan yang diberikan ahli perniagaan itu termasuk empat kotak barang kemas yang diperbuat daripada emas, sebuah buku akaun bank bersama deposit 20 juta yuan (RM9.9 juta) dan portfolio hartanah.
Duanbiao merupakan pengerusi firma seramik tempatan, Fujian Wanli Group.
Selain itu, beliau memberikan 500 juta saham dalam firmanya yang bernilai lebih 100 juta yuan (RM49.5 juta) kepada pasangan pengantin baharu tersebut.
Menurut laporan media tempatan, usahawan berkenaan turut menghulurkan derma berjumlah 15 juta yuan (RM7.4 juta) kepada dua buah badan amal di China.
Beliau juga menghadiahkan sebuah kereta Mercedes dan Porsche.
Seorang jurucakap firma Duanbiao mengesahkan hantaran tersebut tetapi menafikan majlis perkahwinan itu akan berlangsung selama lapan hari berturut-turut.
Menurutnya, majikannya mahu mengadakan acara yang ringkas tetapi meriah.
Sebelum ini, sebuah akhbar mendakwa beliau akan mengadakan majlis perkahwinan selama lapan hari bermula 28 Disember tahun lalu untuk menjamu tetamu dalam kalangan orang awam.
Pengantin lelaki yang merupakan seorang kakitangan awam sudah mengenali isterinya sejak dari zaman prasekolah.
Bagaimanapun nama anak perempuan Duanbiao itu tidak didedahkan.
Pada bulan lalu, seorang lagi bilionair di sini mengahwinkan anak perempuannya dengan jumlah hantaran lebih 2.48 bilion yuan (RM1.2 bilion). - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm#ixzz2GriB59wv 
Hakcipta terpelihara 

Kasut tergantung di wayar elektrik




REUTERS
SEJUMLAH kasut tergantung pada wayar elektrik di Taman Letna, Prague semalam.


PRAGUE, republik Czech - Sejumlah kasut tergantung pada wayar elektrik di Taman Letna di sini. Kasut-kasut itu milik para pemain papan beroda yang membalingnya ke arah wayar tersebut.
Mereka membaling kasut-kasut yang rosak dan tidak lagi boleh digunakan. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2GrhXMvVb 
Hakcipta terpelihara 

Jet tentera Syria bom stesen minyak



AP
SEBUAH stesen minyak terbakar akibat serangan jet tentera Syria di Mleiha, dekat Damsyik semalam.


BEIRUT - Sebuah jet pejuang tentera Syria mengebom sebuah stesen minyak berhampiran Damsyik semalam menyebabkan berpuluh-puluh orang terbunuh dan cedera.
Ia merupakan serangan yang terburuk dalam konflik yang berlanjutan selama 22 bulan.
Beberapa aktivis yang menentang pemerintahan Presiden Syria, Bashar Al-Assad berkata, sebuah jet pejuang MiG buatan Rusia melakukan serangan itu dengan menggunakan peluru berpandu.
Menurut mereka, stesen minyak itu kemudian terbakar di bandar Mleiha.
Sebuah video amatur di internet menunjukkan sekurang-kurangnya 10 mayat bergelimpangan di stesen tersebut dengan sejumlah anggota badan manusia bertaburan.
Dalam kejadian berasingan, satu serangan udara tentera dilancarkan di bandar Moadamiyet al-Sham, barat daya Damsyik mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang, kata Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Untuk Syria.
Kebanyakan daripada mangsa merupakan kanak-kanak daripada ahli keluarga yang sama.
Pertempuran antara kumpulan penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan dengan tentera Bashar bermula sejak Mac 2011.
Lebih 43,000 terbunuh dalam konflik itu.
Para penentang itu menuntut Bashar meletakkan jawatan kerana mereka tidak berpuas hati dengan pentadbirannya yang tidak membawa pembaharuan sejak kebangkitan penduduk berlaku di Tunisia, Mesir dan Libya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2Grg58ktt 
Hakcipta terpelihara 

Wanita dilarang duduk seperti lelaki




AFP
SEORANG wanita membonceng sebuah motosikal di Banda Aceh semalam.


BANDA ACEH, Indonesia - Sebuah bandar di sini akan melarang wanita daripada duduk seperti lelaki ketika membonceng motosikal bersama kaum Adam, kata datuk bandarnya semalam kerana beliau menganggap posisi tersebut tidak sopan.
Langkah itu diambil selepas pemimpin-pemimpin wilayah berkenaan mendraf beberapa rang undang-undang baharu termasuk melarang wanita berseluar ketat, merejam suami atau isteri yang berzina dan merotan pesalah homoseks.
Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang syariah.
Di bawah undang-undang baharu itu, wanita di bandar Lhokseumawe, utara, Pulau Sumatera perlu membonceng dengan kedua-dua kaki mereka terjuntai di sisi motosikal.
"Wanita yang membonceng motosikal tidak boleh duduk seperti menunggang kerana ia akan membangkitkan nafsu penunggang lelaki. Peraturan itu juga bagi melindungi wanita daripada sebarang perkara yang tidak diingini," kata Datuk Bandar, Suaidi Yahya.
"Tidak sopan untuk wanita duduk seperti lelaki. Kami melaksanakan undang-undang Islam di Lhokseumawe," tambahnya.
Namun, kata Suaidi, wanita-wanita dibenarkan duduk seperti lelaki jika motosikal berkenaan dikendalikan mereka. Bagaimanapun, katanya, mereka mereka perlu berpakaian sopan menurut cara Islam.
Beliau merancang menghebahkan larangan itu dalam tempoh beberapa minggu lagi dan membincangkannya dengan ulama-ulama sebelum peraturan tersebut dikuatkuasakan.
Aceh mula melaksanakan undang-undang syariah selepas wilayah tersebut diberikan kuasa autonomi khas pada 2001.
Pihak berkuasa wilayah berkenaan kerap melaksanakan hukuman rotan ke atas mereka yang didapati meminum arak dan berjudi. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2GrgYIRvz 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, January 2, 2013

MUJAHIDAH KHAULAH AL-AZWAR (Bidadari besi)



Kelihatan Kelibat seseorang yang berpakaian hitam berbekalkan serban hijau dan menggunakan skaf sebagai topeng di muka terus meluncur laju ke arah musuh, bertempur dengan handal dan cermat mempamerkan kehandalannya berkuda dan bertempur dengan tombak.

Beliau meluncur laju ke arah barisan musuh, membunuh seorang demi seorang dengan menggunakan tombaknya, lalu meluncur pula ke arah barisan musuh di bahagian lainnya pula lalu mencederakan dan membunuh musuh yang lain. Pertempurannya secara solo melawan musuh-musuh tanpa rasa gentar walaupun bersendirian.

Siapakah gerangan pejuang ini? Dialah pejuang wanita islam yang begitu berani di medan perang,,siapa sangka seorang wanita tangkas bertempur dan berkuda…dialah KHAULAH AL-AZWAR iaitu bidadari besi...

Alkisahnya,,,Khaulah Al-Azwar merupakan seorang wanita yang hidup di zaman rasulullah saw. Beliau adik kepada Dhirar yang juga mempunyai kehandalan di medan perang yang sememangnya tidak asing lagi bagi pencinta sirah Islam. Skil dan teknik bertempur di medan perang turut diwariskan kepada Khaulah oleh ayahnya Al-Azwar. Khaulah akhirnya menjadi seorang wanita yang mahir bermain pedang dan berkuda.Khaulah memiliki kekuatan jiwa dan fizikal yang kuat.

Susuk tubuhnya tinggi lampai dan tegap. Sejak kecil beliau sudah pandai bermain pedang dan tombak. Rasulullah s.a.w. telah membenarkan Khaulah menyertai angkatan peperangan muslimin bersama-sama mujahidah yang lain.Jika diteliti sirah bidadari besi ini, boleh dikatakan beliau ialah pahlawan wanita yang paling handal dalam sejarah Islam.

Dalam perang Yarmuk, perang utama yang menjadi medan kepada pembukaan kota Syam, beliau menjadi salah seorang yang menonjol dan memimpin kaum wanita yang turut serta terlibat Bahkan, beliau turut mengalami kecederaan di kepala dalam peperangan yang sangat bersejarah itu.

Namun, kisah kehandalannya bertempur yang paling masyhur adalah dalam satu operasi tentera Muslimin untuk menyelamatkan saudara lelakinya iaitu Dhirar yang telah ditawan tentera Rom sewaktu satu peperangan di sekitar Damascus. Lantas, Khaulah telah turut serta dalam operasi tersebut. Raafe bin Umaira, panglima skuad sebelum ketibaan Khalid mengungkapkan ketakjubannya tentang Khaulah yang ketika itu belum mengetahui bahawa beliau adalah Khaulah kerana ketika itu beliau bertopeng, ”Beliau berlawan seperti Khalid, namun jelas beliau bukan Khalid”.

Kagum terhadap pemandangan yang menakjubkan tersebut, pasukan Muslimin masih belum dapat melihat siapa gerangan pejuang itu, kecuali bahwa dia adalah postur seorang anak muda dan sepasang mata yang tajam bercahaya di atas kudanya. Sang pejuang nampaknya seperti mahu membunuh diri kerana dengan pakaian dan tombak yang berlumuran darah dia kembali menyerang tentera Romawi.

Keberanian sang pejuang memberikan semangat baru bagi kelompok Rafi yang semuanya hampir kalah sebelum kedatangan pasukan Khalid bin al-Walid, semangat yang ditunjukkan Khaulah membuatkan mereka terus terlupa akan kepenatan yang ada dan terus menyerbu ke arah medan perang dengan semangat juang yang tinggi.

Penunggang berani mati itu terus diikuti oleh pejuang yang lain lalu meneruskan pertempuran dengan tentera Romawi ketika seluruh pasukan kaum Muslimin menyerbu. Lalu Khalid mendekati sang penunggang kuda itu lalu bertanya, “ Wahai pejuang, tunjukkanlah wajahmu!” Sepasang mata hitam berkilat menatap Khalid sebelum berbalik dan kembali menyerang tentara Romawi.

Kemudian beberapa orang tentera Khalid menyusulnya dan berkata kepadanya. “ Wahai pejuang yang mulia, ketuamu telah memanggilmu dan engkau telah pergi darinya! Tunjukkan kepada kami wajahmu dan sebutkan namamu agar engkau dapat dihormat selayaknya.” Sang penunggang kuda kembali pergi seolah dengan sengaja merahasiakan identitinya.

Ketika sang penunggang kuda kembali dari serangannya, dia berlalu di sisi Khalid, yang menyuruhnya dengan tegas untuk berhenti. Dia menarik kudanya berhenti, Khalid bertanya : “ Engkau telah berbuat banyak pekara yang memenuhi hati kami dengan kekaguman. Siapakah kamu ?”

Khalid hampir terjatuh dari kudanya ketika dia mendengarkan jawapan dari penunggang kuda yang bertopeng, kerana yang didengarnya adalah suara seorang gadis. “ Wahai ketua, bukannya aku enggan menjawap pertanyaan kamu, hanya kerana aku merasa malu, sebab kamu seorang pemimpin yang agung, sedangkan aku hanyalah gadis pingitan. Sesungguhnya tiada lain yang mendorongku untuk melakukan hal seperti itu melainkan karena hatiku terbakar dan aku sangat sedih.

Khalid kagum dengan Al-Azwar, yang menjadi ayah kepada pejuang yang berani, baik lelaki mahupun perempuan. “ Kalau begitu bergabunglah bersama kami” ucap Khalid. Kesedihan dan kemarahan tentang berita tertawannya saudara lelaki yang amat dikasihinya iaitu Dhirar bin al-Azwar lantas membuatnya tampil ke medan perang sebagai pejuang, dan tidak lagi berada di barisan belakang sebagai merawati tentera yang terluka dan mengurus perbekalan sebagaimana yang dilakukan sebelumnya bersama para wanita yang ikut dalam peperangan.

Inilah kisah Khaulah binti Al-Azwar, seorang wanita yang sangat berani, yang membuat pasukan Muslimin kagum dengan kepantasannya menyerang tentera Romawi. Mampukah kita sebagai wanita islam menjadi sepertinya? Mampukah kita sebagai ayah atau abang mendidik anak dan sedara perempuan kita menjadi sepertinya?
 

Warga Nigeria dihukum gantung



Warga Nigeria dihukum gantung
Tertuduh dibawa masuk ke dalam kereta.
ALOR SETAR - Seorang warga asing dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam kerana didapati mengedar dadah jenis kanabis seberat 8,730 gram, di Sungai Petani, kira-kira setahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu ke atas Motsamai Goitsemodimo Peter, 27, yang bekerja sebagai setiausaha gereja di Bangkok, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Mahkamah mendapati keterangan tertuduh semasa pembelaan adalah rekaan semata-mata, dan pihak pendakwa berjaya membuktikan secara langsung bahawa tertuduh memiliki dadah yang sedang dibawanya.

“Tertuduh didapati bersalah dengan kesalahan yang ditunjukkan, dan mahkamah tidak ada budi bicara melainkan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati, mengikut hukuman yang diperuntukkan undang-undang,” katanya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh, yang berbangsa Nigeria di ruang lapang, Perhentian Stesen Bas Ekspres Pekan Lama, Sungai Petani, kira-kira jam 10.25 malam, pada 13 Oktober 2011.

Dia didapati bersalah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Nur Shuhada Moh Yatim, manakala tertuduh diwakili peguambela B Murthy.

Tuesday, January 1, 2013

Siang cari duit, malam beli kokain

Kosmo! Online - Dunia:




BOBO duduk di atas kerusi selepas dia mengutip barang-barang yang boleh dikitar semula untuk dijual di sebuah kawasan setinggan di Rio De Janeiro pada 21 Disember lalu.



RIO DE JANEIRO - Seorang bekas askar yang hanya dikenali sebagai Bobo menghabiskan masa pada waktu siang dengan mencari barang-barang yang boleh dikitar semula untuk dijual.
Bagaimanapun, apabila malam menjelma, dia menggunakan wang yang diperoleh daripada titik peluhnya sendiri untuk membeli kokain.
"Kadangkala saya tidak tidur sepanjang malam.
"Saya bekerja untuk membantu menampung ketagihan saya.
"Namun, saya hanya menggunakan kokain pada waktu malam," katanya yang enggan mendedahkan namanya yang sebenar.
Pihak berkuasa Brazil kini berusaha untuk membantu para penagih dadah dan menghentikan penyebaran tabiat tersebut dalam kalangan penduduk. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2GhCyn3LA 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

Monday, December 31, 2012

Tomato hapus sedih



Beijing: Amalan memakan tomato sekurang-kurangnya sebiji sehari boleh membantu mengubati kesedihan dan mengurangkan kemurungan sehingga 52 peratus, lapor satu kajian.

Penyelidik dari Universiti Perubatan Tianjin Dr Kaijun Niu, berkata, kajian yang dijalankan mendapati tomato memberikan kesan yang hebat untuk mengatasi kemurungan.
Sayuran ini dipenuhi lycopene yang mampu mengurangkan ketegangan dan memberi perlindungan kepada beberapa penyakit kronik seperti serangan jantung dan barah kepada mereka yang mengamalkannya.

Ramai orang mengamalkan makan salad dan menyangka sayuran ini banyak khasiat tetapi tomato mempunyai kandungan bahan yang jauh
lebih hebat untuk membantu mengekalkan kesihatan, katanya.

Kaijun berkata walaupun sebab sebenar tidak dapat dijelaskan penyelidikan kesihatan mental ke atas 1,000 responden berusia 70 tahun di Jepun mendapati, mereka yang makan sekurang-kurangnya dua biji tomato seminggu hidup lebih gembira berbanding kelompok yang tidak mengamalkannya.
Agensi

Cuaca ubah rasa air laut

Sekumpulan nelayan menangkap ikan di Lautan Pasifik berhampiran Pelabuhan Chimbote, Peru. - Foto REUTERSSekumpulan nelayan menangkap ikan di Lautan Pasifik berhampiran Pelabuhan Chimbote, Peru. - Foto REUTERS
California: Satu kajian saintifik yang dijalankan mendapati air di lautan dengan kandungan garam tinggi kini semakin masin, manakala air di lautan yang kurang garam pula semakin tawar.

Apa yang menyebabkan perubahan dalam paras kandungan garam dan apa atau siapa yang bertanggungjawab adalah masalah yang masih dikaji penyelidik.
Kandungan garam memainkan peranan penting dalam kitaran air antara permukaan bumi dan atmosfera dan sekali gus cuaca pada peringkat global.


Pasukan penyelidik dari Institut Oseanografi Scripps di La Jolla, di sini, dan Makmal Nasional Lawrence Livermore, menggunakan model meliputi 11,000 tahun dan data dari 50 tahun moden, membuat kesimpulan perubahan dalam paras kandungan garam dan suhu sudah pasti disebabkan aktiviti manusia.

Kajian mendapati perubahan ini tidak semata-mata berpunca daripada kitaran alam semula jadi. Sebahagiannya akibat perbuatan manusia sendiri, kata salah seorang penyelidik, David Pierce.
Keadaan perubahan itu bergantung di mana saintis lautan membuat kajian, katanya.

Keadaannya berbeza di seluruh dunia. Atlantik semakin masin sementara Pasifik, terutama Pasifik utara dan barat tropika Pasifik, semakin tawar. Perubahan sejak 50 tahun lalu adalah kira-kira 0.2 psu (unit kemasinan praktikal) iaitu kira-kira 0.5 peratus.
Lautan Atlantik biasanya lebih masin berbanding Pasifik, kerana angin meniup air bebas garam tersejat dari Atlantik ke Pasifik, kebanyakannya di Isthmus Panama.

Kajian mereka diterbitkan bulan lalu dalam Nota Penyelidikan Geofizikal.

Lautan membentuk 71 peratus permukaan bumi. Kemasinan air laut didorong fenomena sejatan, hujan dan aliran sungai ke dalam laut. Mekanisme rumit itu dikaitkan dengan suhu udara dan air.

Pierce dan rakannya mendapati bahawa perubahan dalam paras kemasinan air laut bergantung kepada kitaran itu.

Penyelidik mengambil rekod air masin dan suhu dari 1955-2004 yang mengukur 701.04 meter bahagian atas di garisan Khatulistiwa serta lautan sederhana. Data itu paling kuat untuk 25 meter bahagian atas, kata Pierce.

Agensi

Gempa bumi 5.2 magnitud gegar Peru



LIMA: Gempa bumi berukuran 5.2 magnitud menggegarkan kawasan tumpuan pelancong di Cusco iaitu tapak kota peninggalan tamadun Inca, awal pagi tadi.

Pakar seismologi berkata, bagaimanapun tiada laporan mengenai kerosakan.
Gempa bumi itu berlaku pada kedudukan 129 kilometer timur laut bandar Cusco pada jam 3.49 petang waktu tempatan dan kedalaman yang dicatatkan ialah 41.5 kilometer.

Institut Geofizik Peru berkata, kejadian itu adalah kali keempat dan paling kuat dirasai di seluruh negara berkenaan. - AFP